Dewan Rakyat kecoh Rayer tuntut Hadi disiasat

Dewan Rakyat kecoh Rayer tuntut Hadi disiasat

Sesi perbahasan di Dewan Rakyat petang ini kecoh selepas seorang penyokong kerajaan menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berhubung kenyataan mengenai rancangan menjatuhkan kerajaan.

Ketika membahaskan Belanjawan 2023, RSN Rayer (PH-Jelutong) memaklumkan ada membaca laporan akhbar hari ini mengenai kenyataan Abdul Hadi, yang didakwa bertentangan dengan undang-undang.

“Kelmarin dalam Dewan Rakyat, Yang Berhormat (YB) Marang menyatakan bahawa pihak sebelah sana (pembangkang) sedang merancang untuk menjatuhkan kerajaan ini.

“Saya menuntut Menteri Dalam Negeri menyiasat kerana perkara ini menyalahi undang-undang Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 124(b).

“Seksyen ini memperuntukkan barang siapa dengan apa-apa cara melakukan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun,” katanya.

Namun, perbahasan itu bertukar kecoh selepas Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) bangun mencelah yang membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(6) mengenai larangan ahli Dewan Rakyat mengeluarkan sangkaan jahat ke atas ahli yang lain.

Misbahul Munir menegaskan tuduhan Rayer kononnya Abdul Hadi sedang merancang menjatuhkan kerajaan adalah sangkaan jahat, kerana Presiden PAS itu tidak pernah berkata sedemikian, sebaliknya hanya membuat kenyataan politik.

“Itu kenyataan saja bukan rancangan, melainkan Tuan Guru (Abdul Hadi) menyebut ‘kami merancang untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan’…Tuan Guru tak sebut pun. Ini suatu sangkaan jahat, YB Jelutong wajib tarik balik,” katanya dengan nada tinggi.

Mempertahankan ucapannya, Rayer menegaskan kenyataan Abdul Hadi itu dilaporkan dalam akhbar, namun Misbahul Munir menegaskan laporan akhbar boleh diputar belit dan bukan kenyataan sebenar oleh Ahli Parlimen Marang itu.

Namun, Rayer enggan menarik balik dan menegaskan kenyataan sedemikian pasti ditafsir sebagai menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong sekiranya ia dikeluarkan oleh Ahli Parlimen DAP, selain parti lawan akan membuat laporan polis terhadap mereka.

“Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh YB Marang di Dewan Rakyat kelmarin apabila ditemu bual wartawan, dilaporkan oleh semua surat khabar. Jangan nafikan,” katanya.

Keadaan semakin panas apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan kemudian bangun sambil bertikam lidah, menyebabkan Timbalan Speaker, Alice Lau meminta semua pihak duduk dan bertenang.

“Jangan panas dalam Dewan. Sila duduk. Ahli Yang Berhormat, kalau panas boleh rehat sekejap. Saya minta YB Jelutong gulung,” katanya.

“Saya mohon perkara ini diberi perhatian kerana rakyat tak boleh merana kalau berlaku sesuatu yang dirancang oleh pembangkang. Saya mohon menyokong, saya mohon Marang supaya tidak derhaka,” kata Rayer menamatkan perbahasannya.

Bagaimanapun, situasi panas belum tamat apabila Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) pula bangun membangkitkan Peraturan Mesyuarat 23(i) mengenai larangan kepada ahli Dewan membangkitkan pertanyaan dikeluarkan mengenai betul atau tidak penerangan dalam laporan akhbar.

Enggan memanjangkan kekecohan itu, Alice menegaskan sudah meminta Rayer meneruskan perbahasannya dan mana-mana Ahli Parlimen yang tidak bersetuju dengan keputusannya boleh mengemukakan usul berasingan.

“Saya sudah buat ruling tadi untuk YB Jelutong teruskan. Kalau tak puas hati dengan keputusan saya, sila buat usul. Saya nak teruskan perbahasan,” katanya. BH

Dewan Rakyat kecoh Rayer tuntut Hadi disiasat

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

“Ingat LRT bapak kau punya”

A Aida takkan beri ‘job’ kepada Hafidz Roshdi

Syamsul enggan cerai Puteri Sarah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker