Naib ketua AMK dakwa Blisson hantar mesej ‘Habislah Azmin’

Seorang naib ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengecam timbalan ketua AMK Sabah, Blisson Zainuddin kerana membayangkan wujud komplot dari dalam PKR berhubung skandal video seks yang dikaitkan dengan Azmin Ali.

Syed Badli Syah Syed Osman dalam kenyataan medianya berkata cubaan Blisson memberi gambaran bahawa Rafizi Ramli terlibat dalam penyebaran video berkenaan adalah berniat jahat dan sengaja ingin memecahbelahkan perpaduan dalam PKR.

Malah katanya beliau juga berasa sangat curiga dengan tindakan Blisson kerana hanya dua hari lalu menghantar mesej melalui applikasi Whatsapp kepadanya dengan mengatakan tidak menyokong Azmin.

Mesej itu antara lain berbunyi :-

“Hari tu saya sma haziq bah”

“Dia memang mau kasih azmin tu”

“Habis la azmin ni”

“Ni kali laa”

Terdahulu, Blisson dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur mendakwa Haziq Abdullah Abdul Aziz meminta daripadanya maklumat mengenai aktiviti dan jadual Azmin semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan bulan lepas.

Haziq merupakan Ketua AMK Santubong, yang baru-baru ini mendakwa adalah individu dalam rakaman video seks yang dikaitkan dengan seorang lelaki mirip Azmin.

Dalam video pengakuannya, Haziq mendakwa pertemuan intim dengan menteri hal ehwal ekonomi itu berlaku di Sandakan dalam tempoh PRK tersebut.

Blisson, yang membuat akuan bersumpah mengenai pendedahannya turut menyifatkan video berkenaan sebagai fitnah.

Baca: Kalau intim dengan Azmin, kenapa minta jadual dari saya?

Beliau juga membayangkan ada komplot dari dalam dengan mendakwa Haziq dibenarkan bertanding pemilihan PKR walaupun merupakan ahli baru dan rapat dengan kem Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

‘Dua hari lalu tak sokong Azmin’

Selain itu Blisson juga mempersoalkan mengapa Haziq tidak dipecat atau digantung daripada parti itu selepas mengaku melakukan jenayah dan memfitnah Azmin.

Beliau berkata perkara itu memberi gambaran bahawa Haziq telah dilindungi oleh pemimpin-pemimpin tertentu PKR.

Sementara itu Syed Badli turut menyertakan lampiran tangkap layar perbualan Whatsapp tersebut beserta gambar yang dihantar oleh Blisson kepadanya.

“Dalam perbualan ringkas tersebut beliau juga mengakui yang beliau tidak menyokong YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya sendiri tidak jelas apakah niat Blisson yang secara tiba-tiba memulakan perbualan menerusi whatsapp berkaitan isu ini kerana saya langsung tidak berminat untuk melayan isu politik lucah dan fitnah.

“Justeru itu timbul persoalan apakah niat sebenar beliau apabila dua hari yang lalu beliau tidak menyokong Azmin dan hari ini beliau tampil dengan membuat dakwaan mengaitkan individu lain dalam kes ini,” katanya.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker