Cucu P Ramlee pernah terima royalti hanya RM19.90

Cucu P Ramlee pernah terima royalti hanya RM19.90

Menghitung hari, hanya empat bulan lagi tempoh kontrak agihan royalti Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee bagi tempoh 50 tahun akan berakhir.

Dilanjutkan atau sebaliknya selepas tarikh 29 Mei depan, waris lain termasuk cucu bintang legenda, Najua P Ramlee, 36, yang juga penerima wang royalti daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) langsung tidak pernah bersuara.



Tidak seperti bapa saudaranya, Sazali, 63, yang merayu agar kerajaan membantu memanjangkan tempoh wang royalti karya diterima, Najua dan waris lain pula hanya membisu seribu bahasa.

Bertemu Najua, itulah persoalan utama diajukan. Walaupun agak keberatan mengulasnya kerana disifatkan agak sensitif dan bimbang ada hati terluka, anak kepada Allahyarham Nasir P Ramlee itu berkata, dia tidak pernah meletakkan harapan untuk tempoh royalti dilanjutkan.

“Jujurnya, saya tidak kisah mengenai wang royalti. Ini adalah duit arwah (P Ramlee), kami hanya menumpang rezekinya.

“Bila isu tempoh wang royalti 50 tahun bakal berakhir, ramai menghubungi bertanyakan reaksi saya mengenainya. Namun, tidak memberi apa-apa komen.



“Saya memang tak tahu nak jawab apa. Bagi saya, jika lanjutkan, silakan. Kalau tak berjaya, tidak mengapa. Saya tak terkesan pun,” katanya kepada BH Online.

Memandangkan urusan pengagihan royalti dibuat mengikut kaedah faraid, Najua mendedahkan, jumlah diterima tidak banyak selepas diagihkan kepada lapan waris termasuk Sazali.

“Selepas arwah bapa meninggal dunia, Amanah Raya memberi mandat untuk saya menguruskan royalti ini.

“Jadi, sebanyak 50 peratus wang royalti diterima saya serahkan kepada Uncle Sazali. Baki selebihnya, saya agihkan kepada adik-beradik lain.



“Sebagai anak perempuan, jumlah yang saya terima tak banyak mengikut faraid.

“Pernah berlaku wang royalti diterima hanya RM19.90. Apabila lihat dalam akaun, saya sangka itu adalah wang hibah insuran, tetapi rupa-rupanya royalti arwah datuk.

“Bila kenang semula, rasa lucu pula. Disebabkan itu, saya tidak mengharapkan sangat,” katanya.

Tambah Najua, dia tidak boleh menolak, apatah lagi, menjadi waris yang dilantik oleh Amanah Raya untuk menguruskan pengagihan royalti.



“Jika saya menolak, semua waris lain tidak akan dapat wang royalti. Jadi, saya tidak mahu waris lain susah kerana saya tahu mereka sangat memerlukan wang royalti ini.

“Jadi, saya terima tanggungjawab ini dengan berlapang dada,” katanya.

Najua turut meluahkan kekecewaan dengan dakwaan dia dan keluarganya mengabaikan Sazali yang kini hidup susah.

“Ada pihak menuduh kami meminggirkan Uncle Sazali. Itu tidak benar.



“Walaupun hubungan kami tidak rapat, saya masih membantunya. Wang royalti diterimanya selepas arwah bapa saya meninggal dunia pada 2008 atas usaha saya.

“Ketika arwah bapa masih hidup, Uncle Sazali tak merasa duit royalti ini. Tetapi, saya sendiri tidak pasti apakah sebabnya.

“Apabila saya ambil alih untuk pengagihan royalti, saya perjuangkan hak Uncle Sazali dengan memperuntukkan 50 peratus wang royalti diberikan kepadanya.

“Sepanjang 15 tahun ini, Uncle Sazali hidup dengan wang royalti yang saya perjuangkan untuknya. Namun, jujurnya, saya kurang selesa apabila Uncle Sazali terlalu meminta-minta tempoh agihan wang royalti dilanjutkan,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran drama Peluang Ketiga di One City Subang, Subang Jaya, baru-baru ini.



Sebelum ini, Sazali yang juga kategori orang kurang upaya (0KU) dilaporkan merayu kerajaan menimbang cadangan melanjutkan tempoh kontrak royalti lagu karya arwah bapanya.

Sazali mendakwa semakin uzur dan hanya bergantung kepada royalti itu bagi menampung perbelanjaan kos perubatan dirinya dan isteri, Hamidah Hitam

Sehubungan itu, beberapa pihak termasuk artis dan persatuan hiburan memohon kerajaan memanjangkan tempoh perlindungan karya muzik atau seni menerusi Akta Hak Cipta 1987 daripada 50 tahun kepada 70 tahun.

Ia bukan hanya melindungi lagu malar segar dihasilkan, malah lebih lama perlindungan hak cipta diberi lebih menguntungkan setiap pencipta dan pemuzik yang terbabit dalam penghasilan sesebuah karya.

MACP pula bersedia membincangkan dan memperhalusi isu berkenaan bersama kerajaan.

Terdahulu, selepas P Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973, royalti daripada karya lagunya yang diurus MACP diserahkan kepada isterinya, Allahyarham Puan Sri Saloma.

Namun, selepas Saloma meninggal dunia pada 25 April 1983, royalti daripada MACP itu diberikan pula kepada Allahyarham Nasir P Ramlee yang sepakat membahagikan perolehan diterima kepada beberapa waris lain.

Apabila Nasir meninggal dunia pada 23 November 2008, kontrak royalti MACP itu diteruskan kepada waris lain termasuk Sazali sehingga mencapai tempoh 50 tahun selepas kematian P Ramlee. BH

Cucu P Ramlee pernah terima royalti hanya RM19.90

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Khairy dilamar jadi DJ radio bersama Fara Fauzana, Johan

Pekerja seks gatal jalin hubungan sulit dengan suami ditampar isteri

Muka deejay wanita melecur silap tembak meriam konfeti [VIDEO]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker