Umpan Khairy, Shahril jadi PM petanda DAP tiada calon layak

Umpan Khairy, Shahril jadi PM petanda DAP tiada calon layak

Baru-baru ini, bekas Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Dr Ong Kian Ming mengajak bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, menyertai DAP kerana parti itu tiada calon untuk diangkat menjadi Perdana Menteri (PM).

Cadangan bekas ahli Parlimen itu bagaimanapun dilihat banyak pihak sebagai pandangan peribadi, namun beberapa penganalisis politik berpandangan ia memberikan petunjuk sememangnya DAP memerlukan calon PM dalam kalangan orang Melayu.



Malah, Naib Pengerusi DAP Pusat, Nga Kor Ming ketika diajukan soalan mengenai benarkah DAP tiada calon PM, beliau hanya menyatakan kenyataan Kian Ming mengenai calon PM hanya pandangan peribadi dan parti itu memberikan kebebasan kepada anggotanya memberikan pendapat termasuk berkaitan isu politik.

Berdasarkan amalan, walaupun tidak dinyatakan dalam Perlembagaan, jawatan PM sememangnya diisi calon dalam kalangan orang Melayu. Justeru, jika dilihat kepada barisan kepemimpinan DAP, parti yang kini menjadi komponen terpenting dalam Pakatan Harapan (PH) dan sebahagian dalam Kerajaan Perpaduan masih belum mempunyai ramai pemimpin Melayu dalam barisan tertinggi parti.

Dalam barisan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, hanya empat pemimpin Melayu mempunyai jawatan dengan jawatan tertinggi sebagai Timbalan Setiausaha Agung dipegang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Tengku Zulpuri dalam kalangan ahli parti dikira kelompok pemimpin generasi baharu walaupun aktif dalam DAP lebih 10 tahun serta pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.



Namun, dari segi ketokohan, kurang menyerlah dan jika dibandingkan dengan populariti Khairy yang disebut Kian Ming sebagai ‘sesuai menjadi calon PM mewakili DAP’, begitu juga dari segi populariti, jauh ketinggalan.

Bermula sebagai Ketua Pemuda, Khairy pernah dilantik Menteri Belia dan Sukan ketika era Datuk Seri Najib Razak menjadi PM, kemudian dalam pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Ahli Parlimen Rembau itu dilantik sebagai Menteri Sains dan Teknologi. Kemudian ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri beliau dilantik sebagai Menteri Kesihatan.

Sementara itu, Shahril walaupun tidak pernah dilantik sebagai menteri, ketokohan dan populariti beliau lebih menyerlah ketika menjadi Ketua Penerangan UMNO dan Naik Ketua Pemuda UMNO.

Namun, DAP mempunyai beberapa pemimpin politik muda dalam kalangan orang Melayu seperti peguam yang juga Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman atau lebih dikenali sebagai Rara.



Rara, menjadi satu-satunya wakil orang Melayu menang pada pemilihan DAP tahun lalu, manakala Tengku Zulpuri dan Syahredzan dilantik menganggotai CEC. Turut berada dalam barisan CEC, Sheikh Umar Bagharib Ali yang juga dilantik parti bukan dipilih perwakilan.

Pendekatan menonjolkan nama Melayu dalam barisan kepemimpinan bukan perkara baharu bagi DAP. Sejak ditubuhkan pada 1966, beberapa pemimpin Melayu diberikan tempat dalam parti itu termasuk Mohd Nor Jeffrey sebagai Naib Pengerusi (1967-1970), Daeng Ibrahim Othman sebagai Penolong Setiausaha Agung (1967-1971) serta Naib Pengerusi (1971-1977) dan Ibrahim Singgeh sebagai Penolong Setiausaha Agung (1971-1977).

Strategi belum berjaya

Peralihan masa juga menyaksikan ada sahaja nama Melayu berada dalam kepemimpinan DAP seperti Fadzlan Yahya, Ahmad Ton, Ahmad Nor dan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.



Namun, strategi menonjolkan pemimpin Melayu ini masih belum berjaya menarik sokongan pengundi dan rakyat, justeru usaha mencari calon PM mereka sendiri juga dilihat masih jauh perjalanannya. Tidak hairanlah nama Khairy dan Shahril diseru untuk menyertai DAP supaya dapat menjadi calon PM dari parti itu.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malay- sia (USM), Prof Dr P Sivamurugan, berkata DAP cuba menarik sokongan golongan Melayu profesional, berpendidikan dan mempunyai aura sebagai idola atau pemimpin kerana parti itu sejak sekian lama dianggap melengkapi latar kepelbagaian parti.

“Pelawaan Kian Ming ke atas Khairy dan Shahril jelas menjadi petunjuk keinginan untuk membina keyakinan dan kepercayaan ke atas DAP walaupun keduanya barangkali akan mempunyai pendirian berbeza.

“Dengan adanya hasrat meletakkan calon PM daripada DAP, menunjukkan parti itu ingin terus kekal signifikan dalam politik arus perdana dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim dan ekosistem politik tanah air. DAP juga kini memiliki pemimpin pelbagai latar popular dalam kalangan masyarakat dan jika ada kehadiran lebih ramai pemimpin Melayu ke parti ini, ia mampu mengubah persepsi ke atas parti ini,” katanya.



Menyokong kenyataan itu, penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, berkata pelawaan ke atas Khairy dan Shahril itu walaupun daripada bekas pemimpin DAP membuktikan DAP mulai sedar untuk mengekalkan kelangsungan perjuangan yang selama ini bergantung harap kepada undi orang bukan Melayu.

“DAP kini tidak lagi boleh fokus kepada kaum tertentu sahaja yang mana tuntutan kini mahukan ruang dan peluang kepada semua kaum serta ini bukan sekadar ucapan di bibir, tetapi perlu dibuktikan melalui tindakan,” katanya.

Ketika ini, terdapat pelbagai isu menyebabkan DAP masih dipandang serong masyarakat Melayu yang tidak boleh dipisahkan dengan Islam. Kehadiran UMNO dalam Kerajaan Perpaduan menjadi satu kelebihan kepada DAP, apabila UMNO tidak lagi lantang menyerang mereka selepas ‘bersahabat’ di bawah Kerajaan Perpaduan.

Namun, parti pembangkang seperti Perikatan Nasional (PN) melalui PAS dan BERSATU begitu lantang memainkan isu ditimbulkan DAP untuk mengurangkan pengaruh parti itu, selain dilihat mahu mencalarkan imej UMNO yang dikenali sebagai parti mewakili orang Melayu-Islam terbesar negara ini.



Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang kemungkinan diadakan Julai ini sudah tentu menjadi medan ujian pertama, sejauh mana DAP sebagai parti komponen PH dapat bekerjasama dengan UMNO/Barisan Nasional (BN).

Sikap berhati-hati dan kurang lantang DAP ketika ini terutama dalam isu berkaitan orang Melayu dan Islam antara strategi dilihat baik untuk meraih sokongan orang Melayu Islam terutama orang muda di bandar.

Sejauh mana DAP mampu menarik sokongan orang Melayu seterusnya dapat mengetengahkan calon PM mereka sendiri, semuanya bergantung kepada masa dan prestasi DAP dalam Kerajaan Perpaduan. BH

Umpan Khairy, Shahril jadi PM petanda DAP tiada calon layak

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

“Sarah Rasa Nak Matilah, Macam Malaikat Dah Duduk Sebelah”(Video)

Angel Dolla bercinta dengan Nadhir Nassar

Janna Nick nikahi Dini Schatzmann di Langkawi 10 Jun

Bapa sanggup putus hubungan – Mark Adam

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker