Nicola Gratteri, ‘musuh ketat’ geng mafia Itali
PENDAKWA raya ini sudah lali dengan ancaman bunuh malah beliau tidak gentar mahupun tunduk sebaliknya tetap melaksanakan tanggungjawabnya untuk memerangi sindiket jenayah terancang.
Keberanian luar biasa Nicola Gratteri turut menyebabkan beliau menjadi sasaran utama mafia berprofil tinggi di Itali dan hidupnya sentiasa berdepan bahaya hingga diberikan kawalan keselamatan yang ketat sejak April 1989.
“Segalanya bermula pada 1990-an apabila pintu rumah tunang saya menjadi sasaran tembakan dan dia menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang memberi amaran keras kepadanya,” ujar Gratteri yang turut memandu kereta kalis peluru.
Pada 2005, pihak berkuasa pernah memintas perbualan antara bos mafia dan menantunya yang mendedahkan betapa sindiket jenayah di Rom membenci Gratteri.
“Adakah kita perlu meletupkan kawalan keselamatannya juga?”
“Ya. Ini kerana mereka menghancurkan dan membawa ‘bencana’ kepada kita,” jawab bos mafia itu yang akhirnya berjaya diberkas tidak lama kemudian.
Sindiket jenayah di Rom sememangnya ‘berdendam’ dengan individu yang cuba menjatuhkan mereka.
Pada 1992, Hakim Giovanni Falcone dilaporkan terbunuh dalan kejadian letupan bom yang dipasang pada lebuh raya berhampiran Palermo yang didalangi mafia Sicily, Cosa Nostra.
Kejadian menggemparkan itu turut meragut nyawa isterinya bersama tiga anggota polis.
Kira-kira dua bulan kemudian, rakan sekerjanya, Paolo Borsellino pula jadi sasaran pembunuhan selepas beliau terkorban dalam letupan kereta.
Kejadian yang menimpa rakan-rakannya bagaimanapun tidak mematahkan semangat Gratteri, 64.
“Saya perlu rasional dan tidak wajar takut dengan kematian. Jika tidak, saya tidak akan dapat menjalankan tugas untuk mengheret geng jenayah yang semakin bermaharajalela ke muka pengadilan,” tegasnya yang kini berkhidmat sebagai Pendakwa Raya Awam di Catanzaro setelah menghabiskan masa selama beberapa dekad untuk ‘menumpaskan’ geng jenayah.
Gratteri yang mendapat julukan ketua pendakwa raya antimafia pernah mengetuai kes perbicaraan mafia terbesar dalam tempoh tiga dekad yang bermula di Calabria pada Januari 2021.
Ia melibatkan kira-kira 900 saksi yang tampil memberikan keterangan terhadap lebih 350 defendan termasuk ahli politik yang menganggotai kumpulan mafia paling berkuasa di Itali digelar ‘Ndrangheta.
Kira-kira 10 bulan selepas itu, hakim menjatuhkan hukuman ke atas 70 anggota geng mafia berpengaruh itu atas pertuduhan cubaan membunuh dan memeras ugut.
Mahkamah juga bakal membicarakan kira-kira 355 individu termasuk pegawai korup yang bersekongkol dengan geng mafia terkaya di Itali itu.
Sebelum ini, Gratteri berikrar untuk menghapuskan kejahatan ‘Ndrangheta yang telah menggugat kedudukan Cosa Nostra yang lebih terkenal di Sicily.
“Saya hanya bersikap realistik. Geng ‘Ndrangheta sangat ramai, bijak dan kuat serta memegang prinsip kerahsiaan yang tinggi. Mahu hapuskan ‘Ndrangheta? Ia adalah perkara yang mustahil,” katanya.
‘Ndrangheta mula mendapat perhatian umum setelah perbicaraan maxi pada 1986-1992 yang meletakkan seramai 475 individu di kandang tertuduh walaupun ia dipercayai wujud sejak akhir abad ke-18.
Rangkaian jenayah terdiri daripada kira-kira 150 keluarga itu terlibat dalam pelbagai kegiatan haram, namun mereka ‘sangat pakar’ dalam aktiviti pengedaran kokain dan dipercayai mengawal 80 peratus sindiket penyeludupan dadah di Eropah.
Ugutan berterusan yang diterima daripada ‘Ndrangheta memaksa Gratteri mendapatkan perlindungan daripada 15 pengawal keselamatan peribadi dan perlu sentiasa berpindah lokasi.
“Saya perlu berwaspada kerana saya mempunyai lebih ramai musuh berbanding rakan baik dan mereka bukan hanya dalam kalangan mafiosi (geng mafia),” katanya.
KHIDMAT CEMERLANG
Nicola Gratteri dilahirkan pada 22 Julai 1958 di Gerace, Reggio Calabria dan merupakan anak ketiga daripada lima adik-beradik.
Ibu bapanya adalah petani miskin dan beliau membesar dalam persekitaran yang mana ramai rakan sebayanya menjadi geng ‘Ndrangheta atas desakan hidup.
“Saya tidak mudah terpengaruh sejak dari awal kerana tahu membezakan mana yang baik dan buruk. Saya sering melihat mayat yang menjadi mangsa kekejaman mafia bergelimpangan di tepi jalan,” ujarnya.
Selepas tamat pendidikan di sekolah tinggi, Gratteri melanjutkan pengajian di Fakulti Undang-undang di University of Catania dan kemudiannya menyertai badan kehakiman.
Ketika memegang jawatan sebagai timbalan pendakwa raya di Locri pada awal 1990-an, beliau sudah terlibat dengan siasatan kes ‘Ndrangheta, politik, freemason dan sindiket penyeludupan dadah serta senjata.
Pada 1993, beliau pernah terselamat dalam tiga cubaan serangan terancang dalam tempoh 21 hari.
Khidmat Gratteri yang cemerlang menyebabkan beliau diberi kepercayaan untuk mengendalikan kes memerangi mafia dan kejayaannya dalam siri operasi menyasarkan geng jenayah terancang telah menjadikan namanya popular dalam kalangan penjenayah dan turut berada dalam ‘senarai bunuh’ geng ‘Ndrangheta hingga kini. – Agensi
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929
CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]
Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda
Baca Artikel Menarik:
- Sol oh Sol!
- Mukhriz tak matang – Marzuki
- 1 kilometer untuk ke tandas
- BN akan cabar kemenangan Hadi di Marang
- Dokumen diperlukan untuk terima bantuan awal persekolahan
- Didera, dibuang tepi jalan
- Lawatan sekolah berakhir dengan murid menari tarian tiang
- Skim pengeluaran awal KWSP hingga RM30,000 dimohon pencarum
- Tuduhan wujud perwakilan import memalukan PAU – Megat Zulkarnain
- Jaga mulut atau ‘tsunami hijau’ terus membesar – Sanusi
- Ismail kecewa tiada pertandingan ‘Top 2’ ‘
- Kenyataan Khairy berniat jahat – Jamal
- Perwakilan jerit ‘boo’ diupah RM300?
Layari Laman Facebook MYKMU.NET