Sangat mengejutkan apabila Saifuddin mempercayai Hamzah – Aktivis Hak Pelarian

Sangat mengejutkan apabila Saifuddin mempercayai Hamzah – Aktivis Hak Pelarian

Aktivis hak pendatang menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk berbincang dengan mereka mengenai isu pekerja asing dan pelarian, bukannya dengan Hamzah Zainudin.

Mereka mendakwa pendirian Hamzah tegas terhadap pendatang dan pelarian semasa beliau menjadi menteri dalam negeri sebelum ini.

Sabtu lepas, Saifuddin berkata, beliau akan mendapatkan tips daripada Hamzah mengenai tadbir urus kementerian itu. Katanya, beliau banyak belajar daripada Hamzah selepas menggantikannya sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna pada 2018.

Tiga aktivis memberitahu FMT bahawa jika Saifuddin mahukan tips mengenai isu pendatang, beliau sebaliknya perlu melibatkan diri dengan kumpulan sivik yang bekerja rapat dengan komuniti pendatang dan pelarian.

Kumpulan-kumpulan ini, termasuk organisasi berasaskan komuniti, lebih faham tentang keperluan dan kebimbangan pendatang dan pelarian, kata mereka.

Mahi Ramakrishnan darpadai Beyond Borders berkata, tindakan Saifuddin mendekati Hamzah membimbangkan kerana bekas menteri dalam negeri itu “sangat memusuhi” pelarian dan pekerja asing.

“(Hamzah) menggalakkan serbuan imigresen dan melayan pelarian dan pendatang seperti penjenayah,” katanya.

“Beliau tidak berminat dengan dasar progresif yang dapat melindungi hak pelarian dan pekerja asing.”

Adrian Pereira daripada North South Initiative berkata, tidak masuk akal untuk mendapatkan nasihat daripada pentadbiran yang “gagal mengurus” pemerdagangan manusia di Malaysia, meletakkan negara di tahap paling rendah dalam laporan tahunan pemerdagangan manusia Jabatan Negara AS.

Beliau menggesa agar diwujudkan undang-undang dan dasar untuk pengurusan pekerja asing, yang akan merangkumi setiap peringkat kitaran penghijrahan, daripada pengambilan kepada penempatan kerja, penghantaran pulang dan integrasi semula.

Bekas pengerusi Alliance of Chin Refugees James Bawi Thang Bik juga berkata, menteri baharu itu tidak seharusnya mendapatkan tips daripada penyandang terdahulu jawatan itu.

“Sangat mengejutkan apabila (Saifuddin) mempercayai Hamzah,” katanya.

“Kerajaan baharu patut gubal dasar baharu yang lebih baik untuk menggantikan dasar lama.”

Beliau berkata, “sangat buruk” jika Kementerian Dalam Negeri hanya mengambil bulat-bulat dasar lama, berbanding mempunyai dasar baharu yang lebih sejajar dengan amalan antarabangsa.

“Saya harap menteri akan bekerja dengan UNHCR berhubung isu pelarian dengan penuh hormat dan pemahaman kerana ini melibatkan nyawa manusia,” tambahnya.

Oktober lepas, Hamzah memberitahu pejabat UNHCR di Malaysia dan kumpulan hak asasi manusia supaya tidak campur tangan dalam langkah kerajaan menghantar pulang pelarian Myanmar.

Susulan tindakan pelarian Rohingya melarikan diri beramai-ramai dari pusat tahanan imigresen di Kedah pada April, Hamzah berkata, mereka harus pulang ke negara asal jika tidak berpuas hati dengan cara mereka dilayan di Malaysia.

Pada Jun, Hamzah turut dikritik setelah beliau memandang remeh laporan kematian di pusat imigresen dengan berkata, orang ramai tidak seharusnya terlalu cepat menuding jari kepada pihak berkuasa kerana “kadang-kadang sambil berjalan pun orang boleh mati.” FMT

Sangat mengejutkan apabila Saifuddin mempercayai Hamzah – Aktivis Hak Pelarian


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Anwar ‘tegur’ Syed Mokhtar, Bernas – Pesawah akan terima bayaran RM60j

Anwar arah siasat perbelanjaan RM600 bilion semasa era PN

Jangan berani sentuh Messi – Tyson

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker