69 jemaah B40, M40 tolak subsidi; bayar kos penuh ikut syarat kemampuan

69 jemaah B40, M40 tolak subsidi; bayar kos penuh ikut syarat kemampuan

MAKKAH: Seramai 69 jemaah B40 dan M40 menolak bantuan kewangan haji atau subsidi yang layak mereka peroleh sebagai Dhuyufurrahman, tahun ini, sebaliknya membayar kos penuh RM30,850 kerana berpegang kepada syarat istitha’ah atau kemampuan dalam kewajipan menunaikan ibadah itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata kira-kira 400 jemaah pula mengambil inisiatif mengurangkan kebergantungan mereka terhadap bantuan kewangan haji, dengan membuat pembayaran tambahan antara RM1,000 hingga RM12,000 berbanding kos bersubsidi yang dikenakan.

Beliau berkata, dana bantuan yang tidak digunakan itu akan diagihkan semula kepada pendeposit TH dalam bentuk dividen pada tahun berikutnya.

Malah, katanya, ada kira-kira 60,000 pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) yang belum berjaya dalam rayuan dan masih menunggu giliran menunaikan haji, turut menyatakan persetujuan untuk membayar kos penuh itu.

Mohd Na’im sekali gus menjelaskan bahawa jemaah yang berjaya dalam rayuan untuk menunaikan haji di luar giliran, perlu membayar kos penuh RM30,850 kerana dianggap sebagai berkemampuan dengan mempunyai simpanan mencukupi.

“Seramai 31,600 jemaah dapat ke Tanah Suci untuk menunaikan haji, tahun ini, daripada berjuta-juta yang masih menunggu giliran.

“Bayangkan jika mereka yang merayu dapat memotong giliran dan memperoleh pula bantuan kewangan haji, sedangkan beribu-ribu lagi pendeposit berkemampuan serta bersetuju untuk membayar RM30,850 tetapi tidak berjaya dalam rayuan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat TH di Makkah, Abraj Al-Janadriyah, dan beramah mesra dengan jemaah Malaysia, semalam.

Yang turut hadir ialah Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman; serta Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Terdahulu pada sesi ramah mesra, seorang jemaah wanita meminta supaya golongan B40 dan M40 yang berjaya dalam rayuan untuk menunaikan haji di luar giliran, juga diberikan bantuan subsidi.

Sambil menjelaskan ibadah haji diwajibkan ke atas mereka yang berkemampuan berdasarkan ayat al-Quran dan hadis, Mohd Na’im berkata, TH menyediakan bantuan kewangan haji bagi kebajikan jemaah yang layak serta mengikut giliran diperuntukkan.

Justeru bagi tawaran pada Musim Haji 1444H/2023M, katanya, jemaah yang diberi keutamaan adalah mereka yang sudah tiba giliran pada 2020 hingga 2022 tetapi tidak dapat pergi ke Tanah Suci berikutan pandemik COVID-19.

Apabila berlaku kekosongan atas pelbagai faktor seperti jemaah terbabit sudah meninggal dunia atau tidak dapat pergi disebabkan alasan tersendiri, beliau berkata, TH membuka kepada rayuan pendeposit di luar giliran.

“Sebagai contoh, jemaah yang merayu ini gilirannya adalah pada 2026 dan sepatutnya akan menerima bantuan kewangan haji tahun itu. Apabila membuat rayuan, ia diterima dan dia dimasukkan pada 2023.

“Asas dasar TH ialah mereka yang membuat rayuan adalah golongan berkemampuan, iaitu sudah mempunyai simpanan mencukupi sebanyak RM30,850. Oleh itu, mereka merayu untuk menunaikan haji tahun ini serta tidak mahu menunggu hingga tahun giliran mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Na’im yang turut diberikan taklimat selama kira-kira dua jam mengenai operasi haji tahun ini, mendapati semua kemudahan dan perkhidmatan disediakan TH adalah sangat sistematik dan disifatkan bertaraf antarabangsa.

Malah, katanya, beliau turut menyaksikan sendiri komitmen tinggi petugas haji dalam usaha mengutamakan keselamatan, kesihatan serta kebajikan jemaah Malaysia yang selama ini diiktiraf sebagai berdisiplin, memiliki sikap baik dan berilmu.

Beliau berkata, penerbangan tempahan khas yang terakhir bersama 357 jemaah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah, malam tadi.

Mohd Na’im bagaimanapun memaklumkan, dua jemaah Malaysia sudah meninggal dunia pada musim haji ini, termasuk kes pertama pada 4 Jun lalu membabitkan seorang wanita berusia 57 tahun dari Raub, Pahang, akibat kegagalan jantung ketika berada di Makkah.

Kes terbaru pula membabitkan seorang jemaah wanita warga emas berumur 75 tahun dari Selangor yang meninggal dunia di Hospital Pakar Raja Faisal pada jam 4.16 pagi 19 Jun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

“Saya bersama pengurusan tertinggi TH mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga arwah yang berada di Tanah Suci dan tanah air.

“Insya-Allah, TH akan melaksanakan badal haji untuk kedua-dua Allahyarhamah pada musim ini,” katanya sambil memaklumkan 56 jemaah Malaysia sedang menerima rawatan di Pusat Rawatan TH Makkah dan lima lagi di hospital Arab Saudi.

Sementara itu, Mohd Na’im juga menasihati jemaah Malaysia supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan Kerajaan Arab Saudi serta menjaga kesihatan, selain mengamalkan sikap toleransi dan empati terhadap petugas haji yang gigih menyantuni mereka.

Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia yang beragama Islam supaya tidak terperdaya dengan tawaran pakej haji oleh syarikat tidak dilesenkan TH atau orang perseorangan yang mencurigakan, selain jangan menyalahgunakan visa pelancong atau visa umrah untuk melaksanakan ibadah haji. BH

69 jemaah B40, M40 tolak subsidi; bayar kos penuh ikut syarat kemampuan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Suami Fatin Afeefa kutuk media Malaysia

Diva AA serang Diva BB? (Video)

Seluar Hannah Delisha jadi bualan, ramai sakit mata

Ajak swafoto lepas tumbuk, tunggu polis datang kutip

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker