Harga siling daging tempatan tidak masuk akal

PUTRAJAYA: Kira-kira 10,000 penternak ruminan di seluruh negara memohon pertimbangan kerajaan meneliti semula harga daging segar tempatan yang ketika ini dianggap tidak munasabah.

Pengerusi Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR), Hussain Jaapar berkata, hasrat itu disampaikan dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar menyemak kembali Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2021.

“Saya berasa amat lega mendengar jaminan pihak kementerian untuk segera bertindak dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Terdahulu beliau bersama Timbalannya, Nordin Mat dan Setiausaha Agungnya, Mahfiah Mustapa hadir menyerahkan memorandum bantahan GTR berhubung isu SHMMP di sini hari ini.

Ia diterima Ketua Pegawai Komunikasi, Unit Komunikasi Korporat kementerian, Yunus Tasim dengan memorandum itu juga diserah kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Beliau dilapor berkata, pihak kementerian itu akan meneliti memorandum tersebut sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi setelah berbincang dengan semua agensi yang terlibat.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan desakan penternak tempatan yang kecewa dan mahu kerajaan mengkaji balik SHMMP Hari Raya Puasa 2021 kerana jelas menindas golongan itu.

Bagaimanapun, menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi membidas dakwaan itu dan berkata, kawalan harga siling bermula semalam hingga 20 Mei ini tidak menganiaya mereka.

Mengulas lanjut, Hussain berkata, GTR mewakili lebih 5,000 penternak berdaftar di negara ini kecewa dengan SHMMP itu yang seperti mahu ‘membunuh’ terus industri ruminan domestik.

“Malah ia dibuat tanpa perbincangan atau tinjauan pendapat dengan pemain industri yang amat tertekan teruk akibat kenaikan kos ternakan terutama harga bahan makanan,” katanya.

Beliau memberi contoh produk dedak termasuk jagung dan soya telah naik berulang kali lebih 20 peratus sejak tiga tahun lalu tetapi anehnya, harga jualan daging pula dikawal kerajaan.

Harga ditetapkan RM34 sekilogram di Semenanjung dan RM26.50 di Sabah ujarnya, amat tidak logik dengan situasi semasa berbanding harga kawalan ayam segar yang naik 5.5 peratus.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker