Microsoft, Google disasar jadikan Malaysia sebagai hab data – Tengku Zafrul

Microsoft, Google disasar jadikan Malaysia sebagai hab data – Tengku Zafrul

Malaysia mahu menarik Microsoft Corp dan syarikat induk Google, Alphabet Inc dalam usaha untuk menjadi hab data dan pangkalan rantaian bekalan yang neutral di tengah-tengah ketegangan Amerika Syarikat (AS)-China.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata kementerian itu mahu menarik seberapa banyak pelaburan yang boleh dan secara perlahan-perlahan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pusat data.

“Kejayaan pelaburan Malaysia tahun ini termasuk menarik syarikat seperti Tesla Inc dan Amazon Web Services (AWS).

“Tesla merancang untuk mengimport kenderaan elektriknya ke negara Asia Tenggara dan membina rangkaian pengecas super, manakala AWS akan melabur RM25.5 bilion dalam infrastruktur pengkomputeran awan menjelang 2037,” katanya dalam satu temubual bersama Bloomberg TV.

Tengku Zafrul berkata, ketegangan yang memuncak antara Washington dan Beijing semakin mendorong perniagaan global untuk mencari lokasi di luar China.

“Malaysia bersaing dengan negara Asia Tenggara lain seperti Vietnam dan Thailand untuk pelaburan yang bertujuan membina rantaian bekalan baharu.

“Kita sedang melihat banyak penjajaran semula rantaian bekalan, yang mahukan daya tahan dan keselamatan apabila mereka datang ke rantau ini,” katanya.

Malaysia menarik RM71.4 bilion dalam pelaburan yang diluluskan pada suku pertama tahun ini, meningkat 67 peratus daripada tahun sebelumnya.

Pelaburan langsung asing (FDI) membentuk lebih daripada 52 peratus daripada aliran dan Malaysia turut memperoleh RM23 bilion potensi pelaburan semasa misi perdagangan di Jepun baru-baru ini.

Malaysia sedang berusaha untuk memanfaatkan daya tarikannya sebagai hab semikonduktor di tengah-tengah geopolitik serantau yang tidak menentu.

Tengku Zafrul berkata, Tesla memilih Malaysia kerana ekosistem yang terbukti telah dibina sejak lima dekad lalu.

“Kami kini berada dalam kedudukan untuk menjadi neutral dan sebahagian penting daripada rantaian bekalan kritikal. Malaysia adalah penerima manfaat bersih,” katanya.

Malaysia memenuhi kira-kira 13 peratus daripada permintaan global bagi pengujian dan pemasangan cip.

Tengku Zafrul berkata, beliau menganggarkan bahawa Malaysia menampung suku daripada keperluan pengujian dan pemasangan cip Amerika Syarikat (AS).

Katanya, syarikat-syarikat dalam sektor berkenaan sudah pun menyediakan perkhidmatan bernilai lebih daripada RM200 juta kepada Tesla.

Ekonomi Malaysia amat bergantung kepada perdagangan dan begitu terdedah kepada kejutan yang berlaku daripada gangguan, khususnya membabitkan China yang menjadi rakan perdagangan terbesar negara ini sejak 2009.

Tengku Zafrul berkata, gangguan sedemikian dijangka menjadikan 2023 tahun yang amat mencabar bagi pertumbuhan, selain kesan daripada dasar monetari yang ketat dan impak berterusan konflik Russia-Ukraine. BH

Microsoft, Google disasar jadikan Malaysia sebagai hab data – Tengku Zafrul

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Perempuan Itu ‘panas’

‘Fitnah Kepala Otak Kau!’ Lufya Warning Dedah Video ‘Sejarah Hitam’ Bekas Suami

Wan Rosdy sebak kenang nasib Najib

Lelaki dakwa lihat makhluk asing tinggi 3 meter

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker