Banyak negara alami penyusutan mata wang, tidak bermakna semuanya gagal – Zafrul

Banyak negara alami penyusutan mata wang, tidak bermakna semuanya gagal – Zafrul

Pengukuhan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) yang disebabkan oleh tindakan negara itu menaikkan kadar faedah dengan agresif merupakan penyumbang utama yang menyebabkan mata wang Malaysia dan negara-negara lain menyusut.

Ringgit telah menyusut sebanyak 10.5 peratus sejak awal tahun hingga ini tetapi mata wang negara lain turut jatuh pada kadar lebih tinggi.

Situasi ini membuktikan penyusutan mata wang termasuk yang dialami oleh Malaysia adalah satu fenomena global.



Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, jelas sekali kesan peningkatan kadar faedah AS memberi impak kepada kebanyakan negara di dunia, tetapi ini tidak bermakna kesemua negara ini boleh dikira “gagal”.

”Setiap negara mempunyai cabaran dan dasar-dasar monetari masing-masing dan nilai mata wang sesebuah negara bukanlah kayu pengukur tunggal untuk menentukan sama ada mereka berhadapan dengan krisis atau tidak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan ini bagi menjawab pelbagai laporan, kebimbangan dan pertanyaan yang diajukan kepada Kementerian Kewangan, terutamanya berkait kedudukan nilai mata wang ringgit dan perkembangan semasa ekonomi negara.

Menjelaskan situasi itu, Tengku Zafrul berkata, definisi sebenar krisis ekonomi adalah apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merosot secara mendadak, kadar pengangguran dan kebankrapan meningkat dengan ketara dan taraf hidup keseluruhan penduduk terkesan.



Manakala definisi krisis kewangan pula adalah apabila sesetengah aset kewangan tiba-tiba susut nilainya secara mendadak dalam masa yang singkat.

Ini termasuklah kejatuhan nilai pasaran saham dan mata wang yang mendadak dalam masa yang singkat serta kegagalan Kerajaan untuk membayar hutang negara.

Jelasnya, tetapi situasi Malaysia hari ini berbeza jika dibandingkan dengan tahun 1998-1999, 2009, mahupun 2020.

”Apa yang kita alami sekarang yang bermula sebagai tekanan inflasi global kini telah menyebabkan ketidaktentuan di pasaran kewangan di serata dunia.



Impaknya termasuk pengurangan akses kepada dana dan juga kadar pembiayaan yang meningkat, yang akan terus menjejaskan lagi ekonomi.

”Seterusnya, kita juga perlu mengambil maklum dolar AS berkedudukan istimewa iaitu sebagai mata wang rizab dunia dan dianggap sebagai aset selamat (safe haven assets).

Dalam konteks ketidaktentuan global seperti ini, pastinya pelabur global akan memindahkan dana mereka ke AS, justeru meningkatkan lagi permintaan untuk dolar AS.

”Namun wajar diulang, pergerakan nilai mata wang sesebuah negara bukanlah kayu pengukur tunggal untuk menentukan sama ada mereka berhadapan dengan krisis atau tidak,” tambah beliau lagi.

Hakikatnya, Malaysia sebagai sebuah ekonomi kecil yang terbuka, tidak terkecuali daripada tempias cabaran-cabaran yang dihadapi oleh seluruh dunia.

Namun, katanya, jumlah dagangan luar Malaysia adalah sekitar RM1.8 trilion bagi lapan bulan pertama tahun 2022, iaitu melebihi 120% daripada KDNK pada tahun 2021.

Bagaimanapun, kata beliau, kesemua faktor-faktor ini juga akan memberi impak kepada unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi tahun 2023, yang dijangka akan lebih rendah dari tahun 2022.

Walaupun Bank Dunia menyemak unjuran KDNK tahun ini lebih tinggi, mereka juga terpaksa menurunkan unjuran KDNK tahun hadapan dari 4.5% kepada 4.2% namun ia tidak langsung memenuhi definisi kemelesetan ekonomi atau krisis, terutama sekali kerana asas-asas ekonomi negara ini tetap kukuh.

Sebagai contoh, bagi enam bulan pertama tahun ini, aliran masuk pelaburan asing bersih kekal pada tahap yang memberangsangkan dengan jumlah RM41.7 bilion, manakala jumlah pelaburan yang diluluskan mencatatkan nilai RM123.3 bilion.

Ini melibatkan lebih dari 1,700 projek dan dijangka mewujudkan lebih dari 57,000 peluang pekerjaan, sekali gus kadar pengangguran juga terus menurun ke 3.7% pada Julai 2022, berbanding nilai tertinggi 5.3% pada Mei 2022.

Menurut Tengku Zafrul, ringgit juga terus meningkat berbanding beberapa negara maju dan membangun yang lain.

Sambil mengulangi fakta-fakta ini, beliau berkata, seluruh Keluarga Malaysia perlu bersama-sama memahami bahawa ada pelbagai faktor-faktor luaran yang bukan di dalam kawalan kerajaan, tetapi memberi impak langsung kepada isu nilai mata wang ringgit dan inflasi.

”Seperti yang dinyatakan oleh Bank Dunia baru-baru ini, tiada penyelesaian yang cepat dan mudah kepada situasi ringgit berbanding dolar AS.

Apa yang boleh dilakukan adalah memberi tumpuan kepada pengukuhan asas ekonomi dan pembaharuan struktur.

”Sehubungan itu, kerajaan akan terus memastikan akaun semasa sentiasa kekal dalam lebihan, didorong oleh eksport yang terus meningkat, dan negara tidak mengalami defisit berkembar.

‘Setakat tahun ini, akaun semasa kekal positif dengan jumlah RM3.0 bilion pada suku pertama, dan RM4.4 bilion pada suku kedua. ”Yang sama penting, sistem kewangan negara dan pasaran saham terus berfungsi dengan baik dan teratur.

Sehingga kini, tiada gangguan kepada pengantaraan kewangan, dan aktiviti pinjaman kekal lancar.

Aktiviti perniagaan juga terus mendapat akses kepada pembiayaan kewangan daripada institusi perbankan dan pasaran modal.

”Pasaran saham pula terus menunjukkan aliran masuk bersih berjumlah RM6.7 bilion dari pelabur asing, dan RM2.3 bilion dari pelabur runcit.

”Polisi atau dasar pertukaran Ringgit yang fleksibel dan dinamik oleh Bank Negara, rizab antarabangsa yang mencukupi dan kukuh, pasaran saham yang merangkumi pelbagai sektor, sistem perbankan yang teguh serta pelabur institusi tempatan yang kukuh, akan terus meningkatkan daya tahan Malaysia untuk menampan sebarang pengeluaran aliran modal dari negara serta menyerap sebarang kejutan luar,” jelasnya. MG

Banyak negara alami penyusutan mata wang, tidak bermakna semuanya gagal – Zafrul


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Isu rumah MRF: Sidang akhbar jadi gelanggang tikam lidah

Kisah A.R. Tompel meninggal akibat kemalangan jalanraya, beri kesan pada P. Ramlee

Gelaran Datuk Seri Mahadi Didakwa Palsu?

Banyak negara alami penyusutan mata wang, tidak bermakna semuanya gagal – Zafrul

Related Articles

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker