Annuar beri bayangan syor Najib dipertimbangkan

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa membayangkan ada perkara menarik yang bakal diumumkan oleh Menteri Kewangan ketika membuat ucapan penggulungan Belanjawan 2021, petang ini.

“Saya yakin syor yang telah dibawa oleh (Ahli Parlimen) Pekan mendapat perhatian Menteri Kewangan walaupun kedua-dua isu itu sebenarnya tiada dalam bajet yang dibentangkan kerana ia bersifat polisi sahaja,” katanya dalam satu ciapan di Twitternya hari ini.

Meskipun tidak mengulas secara terperinci mengenai hantaran tersebut, umum sedia maklum antara isu yang diperjuangkan bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah lanjutan moratorium pukal selama enam bulan lagi serta pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang lebih meluas kepada pencarum.

Kedua-dua cadangan tersebut tidak dimasukkan ke dalam Belanjawan 2021 ketika dibentangkan pada 6 November lalu.

Walaupun kerajaan telah bersetuju untuk membenarkan pengeluaran simpanan KWSP sehingga RM60,000 berbanding permintaan ramai iaitu RM10,000 sahaja namun syarat-syarat yang ditetapkan menyebabkan ramai golongan yang terjejas kecewa.

Antara syarat yang diumumkan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan KWSP adalah pencarum mestilah hilang kerja, diberi cuti tanpa gaji dan tiada sumber pendapatan akibat penularan wabak Covid-19.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu hantaran di Facebooknya memaklumkan beliau bersama Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman telah mengadakan pertemuan dengan Zafrul di Dewan Rakyat.

Antara yang dibincangkan menurut beliau adalah mengenai lanjutan moratorium dan pengeluaran KWSP. MG

Belanjawan 2021: UMNO syor pengeluaran akaun 1 KWSP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker