Israel kalah dalam perang di TikTok

BAITULMUQADDIS  – Platform media sosial popular, TikTok menjadi antara  medium paling utama dalam menyebarkan maklumat terkini ke seluruh dunia  mengenai konflik antara Israel dan Palestin.

Menurut laporan Badan Penyiaran Britain (BBC) baru-baru ini, belia Palestin dan Israel menggunakan platform tersebut untuk berkongsi suasana di medan perang dan menyuarakan isi hati mereka tentang krisis tersebut.

Aplikasi TikTok mempunyai kira-kira  700 juta pengguna bulanan yang aktif di seluruh dunia.

Rakaman tembakan roket ke arah Israel, kemusnahan di Gaza dan protes Palestin semuanya menjadi tular di TikTok dan telah membawa situasi semasa konflik ke skrin telefon penduduk di seluruh dunia.

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan TikTok dan laman media sosial lain turut digunakan untuk  menyebarkan berita palsu dana fahaman ekstremisme.

Bahkan sebelum pertempuran  meletus seminggu lalu, ketegangan antara Palestin dan Israel telah pun bermula di TikTok.

Pada bulan lalu, sebuah video di Baitulmuqaddis Timur menunjukkan sekumpulan remaja menampar dua budak Yahudi Ortodoks di kawasan pengangkutan awam menjadi viral dalam aplikasi tersebut.

Klip tunjuk perasaan juga mula muncul di TikTok dengan pengguna menyebar kan video di bawah tanda pagar #SaveSheikhJarrah, merujuk kepada rancangan Rejim Zionis mengusir  warga Palestin di sebuah kawasan kejiranan di Baitulmaqdis Timur.

Seorang penganalisis Media Sosial, Chris Stokely-Walker berkata, kemudahan penggunaan dan populariti TikTok memungkinkan penyebaran pantas kandungannya.

“Merakam video melalui aplikasi ini sangat mudah sehingga sesiapa sahaja dari usia 12 hingga 90 tahun boleh melakukannya sendiri tanpa bantuan profesional.

“Ini mengambil kira jumlah tontonan yang meluas kerana TikTok mempunyai kira-kira 732 juta pengguna aktif bulanan di seluruh dunia. Oleh itu, jika anda memuat naik sesuatu, kandungan itu akan dilihat oleh ramai orang.”

Pengguna TikTok serta laman media sosial lain seperti Facebook, Instagram dan Twitter kini menggunakan hashtag #SaveSheikhJarrah di samping rakaman pertempuran dengan pasukan keselamatan Israel dan juga keadaan di Gaza untuk meraih simpati masyarakat dunia.

Sebuah klip video yang memaparkan penduduk Palestin melarikan diri daripada  serangan Israel di Gaza mencatat   lebih daripada 44 juta tontonan di TikTok.

Satu lagi catatan oleh pengguna TikTok,  Sabrina Abukhdeir yang merekodkan lebih 1.5 juta tontonan menunjukkan kanak-kanak Palestin yang menangis dan kehancuran sebuah blok bertingkat di Gaza.

“Kalian tahu apa yang harus dilakukan,” tulisnya sambil menggesa orang ramai untuk berkongsi videonya.

Dr Gabriel Weimann dari Universiti Haifa di Israel mengatakan bahawa terdapat pertempuran “hati dan fikiran” secara online dan ia bukan perang sama seperti yang sedang terjadi di Semenanjung  Gaza.

“Bercakap bagi pihak Israel, saya perlu katakan pengaruh media sosial kami tidak kuat, tidak teratur dan kurang meyakinkan.

“Mungkin kerana di Israel tidak ada yang menyangka bahawa TikTok akan menjadi platform yang kuat atau penting,” jelasnya. – Agensi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker