PRU15: Izinkan ‘undi tidak hadir’

DEMOKRASI diharuskan apabila hak mengundi sukar dilaksanakan. Dalam merealisasikan Keluarga Malaysia, kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Parlimen harus memastikan setiap rakyat boleh mengundi dengan mudah dan tanpa kos tinggi. Fenomena penghimpitan undi (vote suppression) di mana kadar mengundi untuk golongan pengundi tertentu rendah kerana halangan tersirat mesti ditamatkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika kita ingin merealisasikan semangat keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam konsep Keluarga Malaysia.

Maka kita tidak boleh melihat kadar mengundi secara kebangsaan. Sebaliknya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kerajaan, Parlimen, parti-parti politik dan masyarakat mesti bertanya, adakah mana-mana kumpulan yang kadar mengundinya jauh lebih rendah daripada rakyat umum? Apabila undi terhimpit maka suara tidak kedengaran di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, masalah mereka diabaikan dan ketinggalan dalam pembangunan tanah air.

Kumpulan-kumpulan yang tertinggal ini mungkin dikenal pasti daripada bilangan umur, geografi, kelas sosioekonomi, taraf pendidikan, kaum dan sebagainya. Kalau pengundi memang secara sukarela tidak ingin mengundi, maka pilihan ini harus dihormati. Akan tetapi kalau ‘kepontengan’ dalam pilihan raya bukan sukarela tetapi kerana halangan-halangan tersirat, maka SPR, kerajaan, Parlimen dan masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk meminimumkan halangan-halangan ini untuk memaksimumkan keterangkuman politik.

Sehingga Disember lalu, satu halangan besar ialah perlunya warganegara berkelayakan untuk mendaftar sendiri sebagai pengundi dan proses itu mungkin mengambil beberapa bulan.



Halangan ini kini telah diatasi oleh pendaftaran pengundi secara automatik (AVR) yang dilaksanakan bersama Undi18. Tahniah kepada kerajaan Pakatan Harapan yang menggerakkan reformasi ini, Parlimen yang menyokong sepenuhnya, kerajaan Keluarga Malaysia yang memastikan kelengkapannya dan SPR yang melaksanakannya.

Akan tetapi, tiga faktor yang tetap menghimpit undi di tanah air ialah kemiskinan, wilayah dan umur. Jika mengundi memakan belanja perjalanan dan mengambil cuti daripada kerja, maka sudah tentu ada golongan kurang berada yang rela melepaskan peluang untuk mengundi.

KAMPUNG

Mengapa pengundi miskin tidak berada di kampung atau bandar sendiri semasa pilihan raya? Sudah tentu bukan kerana melancong tetapi mencari rezeki.



Di sini masuknya faktor kedua, wilayah. Kalau pengundi yang miskin tinggal di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor dan Melaka, maka mereka boleh mencari pekerjaan tidak jauh dari kampung atau bandar sendiri kerana pesat pembangunan.

Apa jadi kalau mereka tinggal di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan? Maka mereka mungkin terpaksa merantau ke negeri lain.

Malah, untuk rakyat Sabah dan Sarawak, ramai terpaksa menyeberangi Laut China Selatan dan kembali ke kampung sendiri, bermaksud perbelanjaan untuk naik kapal terbang.

Ini adalah akibat pembangunan tidak seimbang di antara wilayah.



Bukti terbaik ialah pengkelasan golongan B40, M40 dan T20 yang cukup berbeza antara negeri. Kalau sebuah rumah tangga berpendapatan RM9,000 pada 2019, ia dikira B40 di Kuala Lumpur (di bawah RM9,150) tetapi T20 di tujuh negeri lain, yakni Kelantan (RM6,620 dan ke atas), Kedah (RM7,550), Pahang (RM7,600), Perak (RM7,640), Perlis (RM7,930), Sabah (RM8,200) dan Sarawak (RM8,650).

Dengan jurang pembangunan yang begitu tinggi, hairankah kita rakyat tidak berhenti-henti berhijrah dari negeri lain ke pusat pembangunan di Pantai Barat?

Ini membawa kepada faktor ketiga, umur. Pembangunan tidak seimbang paling mengesani golongan muda kerana mereka yang paling cenderung untuk berhijrah mencari rezeki atau ilmu. Negeri-negeri yang pesat pembangunan ekonomi juga mempunyai lebih banyak institusi pengajian tersohor.

VAKSIN

Setahap mana seriusnya penghimpitan undi atas faktor kemiskinan, wilayah dan umur kerana pengundi di luar kawasan tidak sanggup menampung kos untuk balik mengundi? Tiada data dalam kadar mengundi mengikut pendapatan rumah tangga atau umur boleh didapati dalam ruangan awam, tetapi kadar mengundi mengikut negeri sedia wujud.

Ini adalah fakta yang seharusnya mengejutkan seluruh Keluarga Malaysia terutama SPR.

Dalam PRU 2018, kadar mengundi kebangsaan ialah 82 peratus, Sabah cuma 77 peratus dan Sarawak (Parlimen sahaja) lebih rendah lagi, 73 peratus. Dalam PRU2013 dan 2018, kadar mengundi ialah 85 peratus dan 76 peratus di peringkat kebangsaan, tetapi cuma 80 peratus dan 69 peratus di Sabah dan lebih rendah lagi, 76 peratus dan 65 peratus di Sarawak.

Dari 2001 ke 2021, lima pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang tidak sewaktu dengan PRU mencatatkan kadar mengundi tidak melebihi 70 peratus, malah ada yang serendah 61 peratus.
SPR mempunyai tanggungjawab untuk mengatasi fenomena ‘penghimpitan undi’ untuk Sabah dan Sarawak ini sekalipun ia tidak disengajakan. Sungguhpun terdapat faktor selain kerumitan untuk pengundi di luar wilayah balik mengundi, ia harus diatasi dengan menyediakan kemudahan mengundi secara tidak hadir.

Seperti bagaimana Kementerian Kesihatan menubuhkan Pusat Pemberian Vaksin untuk memastikan tiada yang ketinggalan dalam pemberian vaksin kerana faktor geografi dan sebagainya, SPR seharusnya berikthiar untuk menubuhkan Pusat Pengundian Luar Wilayah, sekurang-kurangnya satu di setiap negeri dalam PRU15.

Pengundi di luar wilayah bolehlah mengundi awal tiga hari sebelum hari pengundian di negeri mereka bermastautin dan kertas undi boleh dihantar balik ke kawasan masing-masing untuk dikira pada hari pengundian. Semua ini boleh berlaku di bawah pemantauan ejen-ejen parti tanpa was-was.

Ini akan memudahkan penikmatan hak mengundi untuk hampir 300,000 pengundi Sabah di Semenanjung, 230,000 pengundi Sarawak di Semenanjung dan 80,000 pengundi Semenanjung di Sabah dan Sarawak.

Sambutan Hari Malaysia ini lebih bermakna kalau Perdana Menteri boleh menjanjikan ‘undi tidak hadir’ dalam PRU15 untuk mengurangkan penghimpitan undi atas faktor kemiskinan, wilayah dan umur.

Mangis, durian dan rambutan,
Isi dimakan, biji jangan ditelan,
Sama-sama kita anak watan,
Jangan ada undi ketinggalan. – UTUSAN

PROFESOR Wong Chin Huat ialah ahli sains politik di Sunway University yang khusus dalam sistem pilihan raya, demokrasi berparlimen dan politik parti. Beliau ialah Timbalan Ketua (Strategi) Pejabat Asia untuk Sustainable Development Solutions Network (SDSN).

 

 

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Tunai umrah untuk Ratu Elizabeth II

Rafizi nak tipu apa lagi? – Zahida

Shahidan tak dapat bezakan antara orang UMNO atau orang Shahidan

Related Articles

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker