ISU PAS SEMENTARA SABAH (PSS) : SEBUAH PENGKHIANATAN DAN PENDERHAKAAN YANG TERANCANG

Pas Sementara Sabah (PSS) sudah ibarat duri dalam daging dan pasir masuk ke mata. Sikap berdolak-dalik pentadbiran WARISAN dalam hal ini amat memualkan dan mengundang kemarahan meluap-luap rakyat Sabah.

Kenyataan bercanggah samada boleh atau tidak dokumen ini digunakan kelak sebagai asas permohonan kewarganegaraan, ternyata mengundang polemik berbanding penjelasan. Begitu juga dengan angka PATI yang terlibat yang berbeza-beza diberikan. Ini mengundang lebih banyak persoalan berbanding jawapan.

Ironinya, pemimpin kadazan-dusun-murut (KDM) yang kononnya memperjuangkan hak anak negeri Sabah, ternyata mempunyai lidah bercabang dua. Mereka begitu bersemangat mahu mempertahankan hak anak negeri, tetapi pada masa yang sama lebih mesra PATI hingga sanggup menggadaikan keselamatan dan kedaulatan negeri. Kenyataan beberapa pemimpin asal KDM seperti Darrel Leiking dan Wilfred Madius Tangau hanyalah menyimbah lagi petrol ke dalam api yang sedang bernyala. Ternyata mereka ini mahu memperbodohkan rakyat Sabah dengan menyokong WARISAN dalam PRK P176 Kimanis. Mereka harus menyedari dan menginsafi bahawa, satu undi untuk WARISAN bererti satu undi untuk PSS dilaksanakan. Inilah satu pengkhianatan tahap tertinggi kepada negeri ini.

WARISAN begitu teruja dan bersungguh-sungguh mahu melaksanakan PSS sehingga menimbulkan lebih banyak persoalan di kalangan rakyat. Kegelojohan Azis Jamman mengeluarkan kenyataan juga mengundang persepsi bahawa dia sengaja diletakkan di Kementerian Dalam Negeri dengan agenda tertentu. Malah Azis Jamman lebih kerap memberi jaminan mulut bahawa pemegang PSS tidak akan dibenarkan memohon warganegara Malaysia. Beliau lupa siapa dirinya. Beliau hanyalah Timbalan Menteri Dalam Negeri dan jaminan mulutnya tidak laku sama sekali. Rakyat sudah semakin matang dan cerdik tentang apa yang berlaku. Azis Jamman tidak mampu menjelaskan rasional PSS, apalagi mampu mempertahankan dasar. Apa Azis Jamman boleh buat sebagai Timbalan Menteri?

Rakyat Sabah bukan lagi mudah terbelit dengan penjelasan separuh masak WARISAN dan UPKO. Apa gunanya slogan ‘Sabah Kita Punya’ ? Sedangkan keutamaan WARISAN dan UPKO hanyalah mahu menguruskan PATI kononnya. Rakyat Sabah lebih memerlukan perhatian dan pembelaan. Dengan 3 Menteri penuh dan 2 Timbalan Menteri diperingkat pusat, WARISAN gagal melindungi hak rakyatnya sendiri, malah mengutamakan PATI yang tidak termaktub langsung hak mereka baik disisi Perlembagaan Persekutuan mahupun Undang-Undang Tubuh Negeri Sabah.

Apalah sangat yang mahu diurus oleh WARISAN dalam kes PATI ini? Mereka bukanlah golongan istimewa yang wajib dihampar dengan permaidani merah. Selain IMM13, pemegang Kad Burung-Burung dan Kad Bancian hendaklah ditangkap dan dihantar pulang kerana keberadaan mereka adalah secara tidak sah dan melanggar undang-undang imigresen di negara ini. Status kedua pemegang kad ini bukanlah suatu kebenaran untuk menetap, bekerja dan bergerak bebas di bumi Sabah. Malah, hanya bertujuan bagi tujuan pengesanan dan bancian sahaja.

Keberadaan mereka ini mengundang lebih banyak masalah sosial, ekonomi, keselamatan,pendidikan, kesihatan dan lain-lain lagi. Ketidakpedulian dan ketulian pentadbiran WARISAN dalam hal ini memberi persepsi bahawa PSS itu merupakan agenda tersembunyi bagi menjamin survival politik sebuah parti di bumi Sabah. Sedangkan masih banyak agenda pembangunan dan masalah harian rakyat Sabah yang tidak diberi perhatian sepenuhnya oleh WARISAN. Kelewatan dan gendala projek Pan Borneo yang sepatutnya diberi keutamaan, seolah-olah pekak dan tuli kepada WARISAN. Kenaikan berterusan kos sara hidup, masalah air bersih, bekalan elektrik, perumahan rakyat, peluang pekerjaan, bantuan sara hidup golongan miskin, petani dan nelayan, juga gagal menarik minat pentadbiran WARISAN.

Kini rakyat Sabah telah sedar pembohongan dan ketidakupayaan WARISAN mentadbir negeri. Tidak timbul kerajaan ini masih baharu atau tidak. Rakyat sudah biasa selesa menikmati pelbagai nikmat pembangunan dan bantuan daripada sebuah kerajaan yang mesra rakyat. Rakyat tidak biasa dengan pentadbiran yang mesra PATI.

Kerajaan sepenggal mungkin bakal menjadi kenyataan. Kimanis mungkin menjadi titik permulaan yang buruk buat WARISAN.

UMNO dan Barisan Nasional dengan ini mencabar pentadbiran WARISAN agar berdebat dalam tempoh terdekat bagi memberi peluang untuk menjelaskan kepada rakyat Sabah rasional disebalik perlaksanaan PSS ini. Walaupun UMNO hanyalah pembangkang, tetapi UMNO sedia menjadi tuan rumah dan menyediakan moderator bagi melicinkan debat tersebut. Ayuh berdebat sebagai anak jantan, WARISAN jangan lagi berselindung disebalik agenda sempit kepartian. Jangan biarkan kami dan rakyat Sabah tunggu terlalu lama. Cabaran dilontar, gayung bersambut. Ayuh WARISAN! Apalagi mau tipu?

KETUA UMNO SABAH
Kimanis
9hb Januari 2019

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker