Pencabulan serius hak asasi manusia etnik Uighur, minoriti Muslim di Xinjiang

Pencabulan serius hak asasi manusia etnik Uighur, minoriti Muslim di Xinjiang

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengeluarkan laporan menggemparkan yang ditunggu-tunggu sekian lama, mendakwa berlaku pencabulan serius terhadap hak asasi manusia membabitkan etnik Uighur dan kumpulan lain yang kebanyakannya Muslim di wilayah Xinjiang, China.

Menurut laporan itu yang dikeluarkan di Geneva pada jam 11.47 malam tadi, tuduhan berhubung penyeksaan ke atas golongan terbabit adalah boleh dipercayai dan berkemungkinan berlaku jenayah kemanusiaan.

Laporan berkenaan yang mengambil masa kira-kira setahun, dikeluarkan hanya 13 minit sebelum Michelle Bachelet menamatkan penggal empat tahunnya sebagai Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia.

Bekas Presiden Chile itu bertekad memastikan laporan itu siap dan diumumkan, meskipun berdepan tekanan hebat daripada Beijing yang berang.

“Saya pernah menyatakan akan menerbitkannya sebelum mandat saya berakhir, dan kini saya telah melakukannya.

“Isu terbabit adalah serius, dan saya membangkitkannya kepada pihak berkuasa atasan peringkat wilayah dan nasional di negara itu,” kata Bachelet dalam satu e-mel kepada AFP.

China sudah bertahun-tahun didakwa menahan lebih sejuta individu etnik Uighur dan minoriti Muslim lain di wilayah Xinjiang, malah dituduh melakukan pelbagai penderaan. Bagaimanapun, Beijing menolak sekeras-kerasnya tuduhan terbabit dengan mendakwa negara itu menggerakkan pusat latihan vokasional di Xinjiang dengan tujuan menentang keganasan.

Namun, Bachelet akhirnya memutuskan bahawa penilaian penuh perlu dilaksanakan terhadap situasi di Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang (XUAR) itu.

“Pencabulan hak asasi manusia yang serius telah dilakukan di XUAR dalam konteks penerapan strategi menentang keganasan dan ekstremisme oleh kerajaan,” menurut laporan itu.

Hasil penilaian terbabit juga menggariskan kebimbangan akan layanan ke atas mereka yang ditahan dalam tempat yang dipanggil ‘Pusat Latihan dan Pendidikan Vokasional’ di China itu.

“Tuduhan mengenai bentuk penyeksaan atau layanan buruk, termasuk rawatan perubatan secara paksaan dan keadaan penahanan yang teruk, adalah boleh dipercayai, malah begitu juga dengan dakwaan berhubung insiden keganasan seksual dan berasaskan jantina membabitkan individu.

“Tahap penahanan sewenang-wenang serta diskriminasi ke atas etnik Uighur dan kumpulan lain yang kebanyakannya Muslim, menurut undang-undang serta dasar dalam konteks sekatan dan rampasan secara umumnya terhadap hak asasi yang dinikmati secara individu serta kolektif, berkemungkinan merupakan jenayah antarabangsa, khususnya jenayah terhadap kemanusiaan” kata laporan itu lagi.

Laporan berkenaan sekali gus menggesa Beijing, PBB dan seluruh dunia supaya memberi tumpuan kepada situasi yang digambarkan di Xinjiang itu.

“Keadaan hak asasi manusia di XUAR juga memerlukan perhatian segera oleh kerajaan, sistem hak asasi manusia dan badan antara kerajaan bawah PBB, serta komuniti antarabangsa secara lebih meluas,” menurut laporan terbabit.

Begitupun, laporan setebal 49 muka surat itu tiada merujuk genosid, iaitu antara tuduhan utama oleh pengkritik China, termasuk Amerika Syarikat (AS) serta Ahli Parlimen di negara Barat yang lain.

Sementara itu, Duta China ke PBB di New York, Zhang Jun, berkata Beijing telah menegaskan kepada Bachelet bahawa negara berkenaan ‘menentang sekeras-kerasnya’ penilaian terbabit.

“Apa dipanggil sebagai isu Xinjiang itu adalah pembohongan yang direka sepenuhnya atas motivasi politik, dan sudah tentu tujuannya ialah untuk menggugat kestabilan serta menghalang pembangunan China,” katanya kepada pemberita selepas pejabat Bachelet mengumumkan bakal mengeluarkan laporan berkenaan.

Zhang mendakwa, Bachelet sepatutnya kekal ‘bebas’ dan tidak tunduk kepada ‘tekanan politik’ daripada negara Barat.

Sebelum ini, Bachelet dan pihak pejabatnya berulang kali menjelaskan bahawa punca laporan itu tertangguh ialah ia telah dihantar ke Beijing terlebih dahulu untuk sebarang komen, seperti yang lazim dilakukan bagi laporan seumpama itu. Bagaimanapun, Zhang kekal mendakwa bahawa China tidak melihat laporan itu, dan ‘menentang ia sepenuhnya’.

“Ia hanya menjejaskan kerjasama antara PBB dengan negara anggota. Ia ternyata mencampuri hal ehwal dalaman China,” kata Zhang.

Dalam pada itu, Bachelet menegaskan bahawa dialog dengan Beijing bukan bermaksud ‘membiarkan, mengabaikan atau menutup mata.’

Namun, beliau menambah: “Tindakan sesetengah negara mempolitikkan isu hak asasi manusia yang serius ini, tidak membantu. Mereka membuatkan tugas itu menjadi lebih sukar, rundingan menjadi lebih sukar, dan pembinaan kepercayaan serta keupayaan untuk benar-benar ada impak di lapangan menjadi lebih sukar.” BH

Pencabulan serius hak asasi manusia etnik Uighur, minoriti Muslim di Xinjiang


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pukulan Khairulaming, Pelanggan Beratur Panjang Mahu Rasa Nasi Lemak RM1.00 Bangsudu

Wanita Ini Dedahkan Sisi Gelap Bisnes Mesin Air

Misteri Raja bertanduk dua disebut dalam al-Quran – Bhg 1

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker