PH lakukan pendakwaan terpilih terhadap saya – Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melakukan pendakwaan terpilih yang bermotifkan politik terhadapnya dan lebih 20 pemimpin Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ahmad Zahid, 69, berkata apabila BN gagal membentuk kerajaan pada 2018, beliau dan pemimpin lain termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah diheret ke mahkamah atas kesalahan jenayah.

“Yang Arif, saya sedari bahawa pada 9 Mei 2018, apabila kerajaan di bawah BN telah gagal memperoleh kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan, maka gabungan parti lain ambil alih dan dalam bulan Jun (2018) laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibuat kepada saya,” katanya.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal ketika membela diri atas 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Menurut Ahmad Zahid, apabila gabungan baharu PH mengambil alih, pertuduhan terhadap 15 individu di mahkamah telah ditarik balik antaranya Ahli Parlimen Bagan Lim

Guan Eng, Ahli Parlimen Sungai Buloh R. Sivarasa, Naib Presiden PKR ketika itu Rafizi Ramli dan beberapa individu lain.

“Kalau ini bukan pertuduhan bermotifkan politik, saya tidak tahu apakah lagi istilah lain yang digunakan? Yang dituduh ditarik balik (kes) oleh peguam negara ketika itu, manakala individu dari parti yang kalah diheret ke mahkamah untuk dituduh.

“Apa yang mahu saya sebut di sini ialah keyakinan kami kepada mahkamah yang adil serta sistem perundangan yang betul,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Ahmad Zahid berkata kertas laporan dalam siasatan sepatutnya mengutamakan untuk menyiasat isu yang merosakkan sistem keadilan dan penguatkuasaan, bukannya dijadikan sebagai satu langkah untuk membalas dendam oleh pemimpin yang mengambil alih kerajaan.

Kepada soalan Ahmad Zaidi sama ada beliau diugut secara halus atau kasar contohnya oleh perdana menteri dan timbalan perdana menteri berhubung kes YAB, Ahmad Zahid berkata:

“Tidak spesifik diugut perkara yang berhubung kait dengan YAB tetapi ugutan pada jawatan yang saya pegang dalam parti apabila saya jalankan tugas sebagai Presiden UMNO”.

“Seorang yang telah jadi perdana menteri ketika itu iaitu Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) menyatakan beliau mahu jumpa saya dan ugutan yang dibuat jika saya tidak keluar parti dan membubarkan UMNO, sesuatu akan dilakukan kepada saya, tentulah pertuduhan yang dibuat kepada saya ekoran daripada ugutan itu,” katanya.

Katanya Dr Mahathir mengakui di dalam beberapa media bahawa beliau memintanya (Ahmad Zahid) keluar parti dan membubarkan UMNO dan pengakuan tersebut merupakan bukti yang kukuh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 2 petang.

– Bernama

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Roti Gardenia naik harga lagi

PN ada kelebihan – Shabery

Warkah Najib dari Penjara Kajang, suasana Dewan Merdeka hiba

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker