Jahil, ego dan taasub

Jahil, ego dan taasub

SEBAHAGIAN manusia masih terjebak dalam kesesatan sama ada disebabkan belum menerima seruan Islam mahupun sudah sampai dakwah Islam kepadanya.

Kesesatan terbabit berpunca dari pelbagai faktor seperti kejahilan dalam aspek akidah, syariah ataupun akhlak.

Masyarakat Arab jahiliah suatu ketika dahulu digelar sebagai jahil kerana mereka mencampuradukkan kepercayaan agama dengan penyembahan berhala, amalan sihir dan khurafat.

Jahil adalah salah satu sifat keji kerana mendorong kepada tindakan mendustakan Allah dan rasul, sombong, degil, syirik dan melampau.

Kejahilan dalam beragama pula adalah suatu keadaan yang tercela sebagaimana dinyatakan Allah SWT dalam al-Quran surah al-A’raf ayat 198-199 yang bermaksud: “Dan jika kamu menyeru benda-benda (yang kamu sembah) itu untuk mendapat petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat mendengarnya dan engkau nampak benda-benda itu memandangmu padahal mereka tidak melihat. Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).”

Seseorang yang jahil tidak mempunyai pengetahuan sebenar terhadap sesuatu perkara atau kepercayaan. Lebih parah lagi jika golongan ini mendakwa bahawa mereka berada di pihak benar, sekali gus menimbulkan keraguan kepada pihak lain.

Kesesatan juga berpunca dari sumber ilmu yang tidak sahih dan diragui seperti dakwaan atau mimpi individu tertentu, laman web dan media sosial yang tidak berautoriti serta bahan rujukan yang tidak ditashihkan oleh mana-mana ilmuwan dan pakar dalam bidang agama.

Selain itu, mempelajari ilmu daripada guru dan pembimbing yang tidak mempunyai keahlian dalam agama juga menjadi punca terjerumus ke lembah kesesatan. Sebagai contoh, sebahagian golongan mendakwa mengikuti ajaran tasawuf dan tarekat, tetapi menyeleweng sehingga tidak lagi menunaikan solat kerana kononnya sudah mencapai maqam tertentu, menyanjungi guru setaraf dengan Rasulullah SAW dan pelbagai lagi.

Justeru cari guru yang memiliki ilmu dan salasilah yang betul, takut kepada Allah SWT, muktabar dan menepati ciri-ciri guru yang mengajar dan mendidik.

Sifat taasub dalam beragama juga boleh membutakan mata dan hati kepada kebenaran, enggan menerima teguran serta tidak mahu mengakui kesalahan dan memperbaiki kesilapan yang dilakukan. Sifat fanatik dan taasub adalah dilarang Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam surah al-Maidah ayat 77 yang bermaksud: “Katakanlah Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.”

Kaum Nabi Nuh AS suatu ketika dahulu begitu taasub sehingga membuat patung dan menamakan dengan nama orang soleh yang mereka kagumi dan ikuti serta akhirnya menjadi berhala sembahan.

Kesesatan juga disebabkan oleh sifat ego, degil, menentang dan menolak kebenaran sebagaimana yang berlaku ke atas kaum keluarga Nabi Nuh AS. Perkara terbabit dijelaskan Allah SWT dalam surah Hud ayat 46 yang bermaksud: “Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil.”

Sifat ego juga digambarkan melalui penolakan iblis terhadap perintah Allah SWT sehingga akhirnya diusir dari syurga seperti firman Allah dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 34 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam.” Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.”

Sebahagian orang pula terjebak dalam kesesatan kerana mengutamakan kepentingan duniawi seperti kekuasaan dan pengaruh, keuntungan kebendaan dan hasutan hawa nafsu. Perkara terbabit dijelaskan dalam al-Quran surah al-A’raf ayat 175-176 yang bermaksud: “Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi, ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.”

Sebahagian riwayat menyatakan ayat terbabit merujuk kepada kisah mengenai seorang lelaki yang bernama Bal’ah atau Barsisah, pengikut Nabi Musa AS. Beliau adalah seorang yang menguasai kitab Taurat, tetapi terpesona dengan keindahan dunia sehingga sanggup mengutamakan dunia berbanding akhirat.

Mari kita semua kembali kepada ajaran Islam dengan merujuk kepada ilmuwan sebenar dalam agama seperti yang ditegaskan Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 43 bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

Rasulullah SAW memberikan amaran bahawa memperkatakan sesuatu tanpa ilmu akan membawa kepada kesesatan sebagaimana maksud sebuah hadis daripada Amru bin al-As beliau menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu secara sekali gus daripada hamba-hamba-Nya, tetapi mengangkatnya dengan cara mematikan ulama sehingga tidak ada lagi orang alim, orang ramai mengangkat pemimpin yang jahil (menjadi pemimpin mereka). Pemimpin itu ditanya mengenai sesuatu isu, lalu mereka mengeluarkan fatwa tanpa berdasarkan ilmu. Mereka menjadi sesat dan menyesatkan orang lain.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Di Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) beriltizam untuk terus memberikan kesedaran, kefahaman dan pengukuhan terhadap pegangan ajaran Islam berlandaskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah supaya dapat menjadi benteng kepada ancaman pelbagai ajaran dan kepercayaan yang menyeleweng dari akidah Islam yang sebenar.

Selain memperkukuhkan kefahaman akidah melalui program penerangan dan pendidikan, Jawi turut melaksanakan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 bagi mengelakkan umat Islam terjerumus dalam kesesatan dan penyelewengan.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Jahil, ego dan taasub


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Sifu Pemasaran Koyak Selepas Ditanya Soal Kejayaan Bisnes Terdahulu ( Video)

Mat Sabu, Chin Tong dulu rasmi projek yang digantungkah? – Najib

Aiskrim Haagen-Dazs ditarik balik KKM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker