Apakah kewajaran melantik TPM pada waktu sekarang?
PENEGASAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang keperluan untuk melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) ketika ini sememangnya menarik perhatian.
Mengapa menarik? Pertama ia dibuat ketika tempoh kerajaan memerintah berbaki kurang setahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tiba.
Reaksi umum terhadapnya dingin, sepertimana reaksi terhadap politik itu sendiri.
Ramai yang melihatnya tidak perlu memandangkan saiz kabinet sedia ada yang terlalu besar dan sudah ada empat menteri kanan.
Kedua cara PN meminta jawatan tersebut terutamanya Bersatu.
Dikhabarkan jawatan tersebut sudah dipersetujui oleh Perdana Menteri (PM) malah telah dimeterai secara sah.
Orang kuat Muhyiddin, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan bekas Pegawai Kanannya, Datuk Dr Marzuki Mohamad mengesahkan perkara tersebut.
Namun hal ini telah dinafikan bukan sahaja oleh orang-orang UMNO malah sekutu rapat Bersatu dalam PN sendiri, Pas.
Kita tidak tahu apa ‘deal’ antara pihak yang terlibat.
Malah PM sendiri masih belum buat apa-apa kenyataan.
Perkara sedemikian bukanlah sesuatu yang janggal dalam berpolitik.
Perbuatan tawar-menawar, pampas-memampas memang lumrah biasa.
Maka tak salahlah kalau Muhyiddin minta jawatan tersebut atas dasar sokongan partinya membolehkan beliau menjadi PM.
Cuma secara peribadi mungkin lebih valid kalau Muhyiddin minta PM gugurkan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri dan gantikannya dengan pemimpin Bersatu berbanding meminta jawatan TPM.
Umumnya jawatan TPM wujud secara konvensyen dan berdasarkan kuasa prerogatif PM sahaja.
Ia tidak termaktub di dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang hanya memperuntukkan pembentukan jawatan Perdana Menteri, Jemaah Menteri, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha Politik serta Setiausaha Parlimen selepas memperoleh mandat memerintah.
Maknanya melantik Setiausaha Parlimen lebih penting daripada TPM kerana ia termaktub dalam Perlembagaan.
Tapi jawatan Setiausaha Parlimen tidak lagi wujud apabila Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi menjumudkannya selepas dibadai ‘Tsunami pembangkang’ dalam PRU12 tahun 2008.
Jadi apa perlunya jawatan TPM ini? Jawapannya bergantung kepada keperluan politik semasa dan kepentingannya dalam mengekalkan kuasa.
Kewujudan jawatan TPM bermula selepas negara merdeka bertujuan untuk membantu PM.
Walaupun begitu, sepanjang sejarah jawatan tersebut diwujudkan, ia lebih bersifat mengganjar dan membalas jasa atas sokongan yang diberikan.
Di peringkat awal, TPM dilihat regu gandingan kepada PM dalam pemerintahan.
Hubungan keduanya saling melengkapi dan menutupi kekurangan bukan sahaja dalam kerajaan tetapi juga parti.
Hal ini berlangsung dengan baik sehinggalah era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi PM.
Berbanding gandingan Tunku – Tun Razak – Tun Hussein Onn – Dr Mahathir, dinamika kedudukan TPM di zaman Dr Mahathir menjadi PM lebih kompleks dan mencabar.
Yang pasti ketika era UMNO-Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan, jawatan TPM lebih bersifat kepartian.
Secara tradisi Timbalan Presiden UMNO akan menyandang jawatan TPM. Ia sekali gus mengukuhkan cengkaman dan kuasa Presiden bukan sahaja dalam parti malah kerajaan dengan menggunakan jawatan TPM untuk mengikat sokongan.
Maka mana-mana individu yang tidak sealiran dengan Presiden akan kecundang sebelum waktunya.
Ini berbeza selepas PRU14. Pakatan Harapan (PH) sebaliknya melantik Pengerusinya (Dr Mahathir) sebagai PM dan Presidennya sebagai TPM.
Lebih unik selepas ‘Langkah Sheraton’ Muhyiddin tidak melantik TPM dalam kabinetnya tetapi membawa empat menteri kanan.
Di hujung pemerintahannya, beliau telah melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai TPM bagi menyelamatkan kerajaannya yang diasak UMNO tetapi gagal.
Langkah ini kemudiannya dikekalkan oleh Ismail Sabri sehingga sekarang.
Lintasan ringkas tersebut jelas memperlihatkan fungsi sebenar TPM dalam politik dan pemerintahan.
Secara perundangan, tidak timbul keperluan jawatan tersebut. namun secara politik, ia sangat penting dan strategik dalam percaturan kuasa baik dalam parti mahupun kerajaan.
Jawatan TPM menjadi bidak penting percaturan kuasa dan sokongan dalam kerajaan dan parti.
Selain daripada bersifat ganjaran kepada sokongan dan posisi strategik memperkukuhkan kedudukan, sukar untuk melihat kewajaran jawatan TPM wujud terutamanya dalam waktu sebegini.
Boleh ada TPM kalau ia mewujudkan gandingan mantap memperkemaskan urus tadbir negara.
Tapi kalau sekadar untuk membalas jasa dan sokongan sahaja, tidak perlu.
Apatah lagi dapat TPM yang kurang cekap dan tidak membantu PM, baik dalam parti mahupun kerajaan.
*Mujibu Abd Muis Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Baca Artikel Menarik:
- Suami maut dipercayai dipukul isteri depan anak
- Rizal van Geyzel direman sehari
- Tawar elaun cari calon isteri
- Realiti sebalik isu TPM
- Gaji penjawat awam dan swasta di Malaysia tercorot berbanding negara ASEAN lain
- Isu Intan Najuwa peluk Aliff Aziz di Genting Highlands
- Jalan ‘jem’ kita kena sabar – Mohd Amar (Video)
- Kongress PKR, Kak Wan menangis kerana pengkhianatan
- Memang kenderaan milik PDRM lah…
- Anak ahli politik dipenjara 12 bulan jual jam tangan curi
- Duta Besar ke Indonesia: Tajuddin akur, terima keputusan kerajaan
- Wanita lompat ke dapur McDonald’s untuk sediakan hidangan sendiri
- Pencen untuk bekas tentera, jangan samakan dengan ahli Parlimen – JHEV
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Tangkapan ikan gergasi ‘oarfish’ cetus kepercayaan gempa dahsyat bakal menyusul
You must be logged in to post a comment.