Ikan kurang, bisikan juga kian perlahan

Ikan kurang, bisikan juga kian perlahan

Aktiviti berbisik dalam urusan jual beli ikan di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga di sini didapati suram berikutan hasil tangkapan yang dibawa pulang nelayan berkurangan kebelakangan ini.

Keadaan itu didakwa berlaku sejak April lalu, sekali gus menyaksikan peningkatan harga ikan pada ketika ini.

Tinjauan di pasar bisik mendapati kebanyakan peraih dan pengunjung perlu menunggu lama bagi nelayan tiba membawa hasil tangkapan.

Hasil dikatakan berkurangan sejak akhir-akhir ini manakala faktor cuaca yang menyebabkan laut bergelora tambah menyukarkan mereka pulang.

Seorang nelayan, Ahmad Saari, 67, berkata situasi itu dialami lebih 100 nelayan setempat sejak tiga bulan lalu, namun cekal turun ke laut bagi mencari pendapatan menyara keluarga.

“Jika dahulu boleh bawa balik lebih 500 kilogram (kg) hasil tangkapan sehari, kini nak bawa balik hasil antara 100 ke 200 kg sehari pun agak susah.

“Cuaca sekarang tidak menentu tetapi nelayan tetap turun ke laut sebab fikir banyak mulut perlu disuap, namun hasil tidak seberapa, malah apabila dihitung segala kos yang dikeluarkan, memang tidak bawa balik modal.

“Saya sebagai tekong (pemilik) kena fikir juga awak-awak (pekerja) yang nak cari rezeki. Kadang-kadang kami keluar jam 5 pagi pulang ke jeti lewat petang atau malam kerana hasil tangkapan berkurangan sedangkan sepatutnya kami pulang jam 11 pagi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ahmad yang menjadi nelayan sejak lebih 20 tahun lalu berkata, kekurangan hasil tangkapan menjadikan harga ikan naik, namun nelayan masih menjualnya pada harga munasabah.

“Di pasar bisik ini, ikan kembung dijual nelayan RM8 sekilogram tetapi di pasar lain itu bukan di bawah tanggungjawab nelayan kerana mereka juga perlu mengupah pekerja dan sebagainya.

“Apabila dilihat, untung tidaklah sebesar mana kerana hasil yang diperoleh pun antara RM250 ke RM350 sehari.

“Macam saya perlu menyediakan kira-kira RM13,000 setahun untuk penyelenggaraan bot, membeli pukat baharu dan menukar minyak enjin,” katanya.

Syukri Darus, 45, yang pernah menjadi tekong terpaksa menjual bot miliknya tahun lalu kerana sukar mencari pendapatan berikutan hasil tangkapan yang berkurangan.

“Hasil laut dah tak macam dulu dan berkurangan selepas tsunami pada 2004.

“Jika dahulu ikan kembung boleh dijual RM1 sekilogram, sekarang susah nak dapat. Saya terpaksa jual bot kerana tak bawa balik modal, malah tanggung kerugian.

“Sekarang saya cari rezeki dengan menjadi awak-awak, itu pun hasil tangkapan tak banyak. Sebab itu harga ikan sekarang agak tinggi tetapi nelayan tidak dapat buat apa-apa kerana ini bukan kehendak kami,” katanya. BH

Ikan kurang, bisikan juga kian perlahan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Nabila Huda tinggalkan Melodi

Mat Kilau : Syamsul Yusof beri amaran

Elaun RM4,733 tak cukup

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker