Ikram sokong hukuman mati dimansuhkan

Ikram sokong hukuman mati dimansuhkan

Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram) mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori seperti yang diumumkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) baru-baru ini.

Namun, pemansuhan hukuman mati mandatori bukan bermakna hukuman mati sudah tiada lagi dan dihapuskan dalam undang-undang jenayah di Malaysia, tetapi apa yang dimaksudkan dengan pemansuhan hukuman mati mandatori ialah mahkamah tidak lagi terikat untuk hanya memberikan hukuman mati sahaja bagi kesalahan-kesalahan tertentu.

Presidennya, Badlishah Sham Baharin berkata, pemansuhan hukuman mati mandatori akan membolehkan mahkamah untuk mempunyai pilihan dengan memberikan hukuman lain selain hukuman mati sekiranya mahkamah mendapati ia adil untuk diputuskan sedemikian untuk kesalahan-kesalahan tersebut.

Malah, peruntukan hukuman mati dalam undang-undang jenayah Islam hanya melibatkan kesalahan seperti membunuh, berzina dalam keadaan sudah berkahwin dan hirabah yang mana kesemuanya juga adalah tidak mandatori dan memerlukan piawaian pembuktian yang jauh lebih tinggi daripada yang digunakan dalam sistem undang-undang jenayah di Malaysia sekarang.

”Ini selaras dengan saranan Ikram tiga tahun lepas yang menyokong pemansuhan hukuman mati mandatori berdasarkan prinsip bahawa nyawa seorang manusia adalah sangat berharga yang mana ia hanya boleh diambil dalam keadaan yang sangat terhad dan juga dengan syarat yang sangat ketat selari dengan prinsip Maqasid Syariah iaitu pemeliharaan nyawa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, Ikram berkesempatan menghadiri dua siri town hall dengan Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori iaitu pada 4 dan 19 November 2019 yang mana Ikram telah pun menyampaikan saranan termasuklah mencadangkan supaya diwujudkan peruntukan undang-undang yang membolehkan keluarga mangsa memberikan kemaafan kepada pesalah disertai dengan penerimaan bayaran pampasan sebagai alternatif bagi kesalahan yang membawa kepada kematian individu selari dengan konsep diyat dalam undang-undang jenayah Islam.

Hal ini berbeza dengan undang-undang jenayah Malaysia yang memperuntukkan jumlah yang lebih besar bagi kesalahan yang membawa kepada hukuman mati iaitu melibatkan sekitar 33 kesalahan dengan 11 daripadanya adalah hukuman mati mandatori, jelas beliau.

Dalam masa yang sama, Ikram konsisten berpendirian bahawa hukuman mati tetap perlu dikekalkan dengan sekurang-kurangnya lima cadangan pembaikan seperti mana yang telah dikemukakan sebelum ini.

Lima saranan itu ialah:

a) Hukuman mati hendaklah dikekalkan sebagai pilihan hukuman bagi kesalahan jenayah yang membawa kepada kematian atau pun kerosakan yang jauh lebih besar daripada kematian;

b) Bagi kesalahan yang tidak membawa kepada kematian ataupun kerosakan yang jauh lebih besar daripada kematian, IKRAM bersikap terbuka untuk peruntukan-peruntukan tersebut dikaji semula oleh kerajaan dengan mempertimbangkan keberatan setiap kesalahan tersebut dan tujuan hukuman;

c) Peruntukan perlu disediakan bagi membolehkan keluarga memberikan kemaafan kepada pelaku kesalahan disertai dengan penerimaan bayaran pampasan sebagai alternatif kepada hukuman mati bagi kesalahan yang membawa kepada kematian individu;

d) Piawaian pembuktian ditingkatkan daripada melangkaui keraguan munasabah (beyond reasonable doubt) kepada melangkaui sebarang keraguan (beyond any doubt) untuk membolehkan hukuman mati diberikan sekali gus boleh mengelakkan mahkamah daripada menjatuhkan hukuman mati kepada yang tidak sepatutnya; dan,

e) Hak pembelaan yang terbaik perlu disediakan kepada setiap Orang Kena Tuduh (OKT) termasuklah memberikan akses kepada OKT untuk mendapatkan khidmat guaman yang terbaik bagi membantu mahkamah membuat keputusan yang adil dan setimpal. MG

Ikram sokong hukuman mati dimansuhkan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Nasi lemak berlauk tahi ikan bilis

Janna Nick bangga, fenomena Gatal jangkiti PSY

BBQ meletup ketika berkelah bikin ramai terkejut (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker