Seludup orang lagi lumayan

Seludup orang lagi lumayan

Keuntungan RM220,000 untuk satu trip perjalanan antara 40 minit hingga sejam dari Bintan, Riau dan Batam menggunakan bot pancung berkuasa tinggi menjadikan aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini tidak pernah mampu dibanteras sepenuhnya.

Bayaran lumayan diterima sindiket antarabangsa itu untuk membawa anggaran 50 Pati sekali penghantaran pula dibahagikan kepada enam sindiket lain yang lebih kecil iaitu ketua sindiket, ejen/pengurus, penghubung (transporter), tekong darat, penjaga tempat penampungan atau rumah transit dan tekong laut.

Ejen, penghubung, tekong darat dan laut juga dipercayai mendapat komisen antara RM250 hingga RM350 setiap Pati.

Tarikan ekonomi terutama untuk bekerja di ladang atau pembinaan dengan gaji antara RM80 hingga RM150 sehari adalah lumayan berbanding di daerah mereka yang mundur.

Ini menjadikan Pati dari Lombok hingga ke Aceh berebut datang mencari rezeki. Tragedi 15 Disember tahun lalu yang mengorbankan 21 nyawa manakala 13 selamat dan 16 masih hilang di Tanjung Balau bolehlah dikatakan sebagai takdir.

Sejak kejadian itu, sindiket masih terus menjalankan operasi, tetapi agak terbantut kerana pihak berkuasa Indonesia juga bersiap siaga mencegah kegiatan sindiket terbabit selepas tragedi itu menjadi berita utama di republik berkenaan.

Malah, pihak berkuasa Indonesia juga sudah menahan tiga suspek terbabit penyeludupan Pati di Tanjung Balau, Tanjung Uban, Bintan.

Kini, sejak pembukaan sempadan negara, aktiviti penyeludupan dikatakan akan aktif semula.

Menurut sumber, terdapat puluhan rumah penampungan (rumah transit) diwujudkan sindiket antarabangsa di beberapa lokasi stategik di sepanjang Sumatera dan Kepulauan Riau. Antaranya, Dumai, Tanjung Balai, Tanjung Uban, Batam, Karimun, RokanHilir, Bengkalis dan Pulau Rupat.

Semua Pati terbabit dibahagi kepada dua kategori iaitu yang pertama kali mahu ke Malaysia atau yang menjadikan laluan haram atau tidak diwartakan sebagai jalan untuk pulang dan masuk semula selepas bekerja di negara ini.

Bagi yang pertama kali, kadar bayaran adalah tinggi hingga mencecah 15 juta rupiah (RM4,400) manakala untuk yang sudah biasa menggunakan laluan haram ini, mereka hanya perlu membayar tambang RM500 hingga RM1,000 seorang sehala.

Beliau berkata, dianggarkan terdapat puluhan lorong tikus yang menjadi sasaran sindiket menurunkan Pati terbabit sama ada di pantai barat Johor atau pantai timur Johor.

Lorong tikus itu pula sentiasa berubah-ubah mengikut situasi operasi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Sebagai contoh, di pantai timur Johor dari Penawar, Kota Tinggi sehingga ke Tenggaroh, Mersing adalah antara lokasi yang sering digunakan sindiket untuk pendaratan dan lokasi membawa Pati keluar.

Lokasi itu adalah pantai berpasir, berdekatan jalan raya, selain kawasan pedalaman yang jauh daripada pengawasan pihak berkuasa. Keluasan pantai timur pula membabitkan Tambak Johor di bahagian timur sehingga sempadan Pahang meliputi pantai sepanjang 254 kilometer atau 137 batu nautika dan kawasan seluas 10,445 kilometer persegi.

Di pantai barat pula adalah kawasan sungai, muara dan parit serta paya bakau kawasan operasi yang digunakan sindiket, sebagai contoh Sungai Pulai, Gelang Patah.

Jajaran pantai barat bermula dari perairan Sungai Kesang di Muar sehingga Tambak Johor di bahagian barat yang meliputi pantai Selat Melaka sepanjang 231 kilometer atau 125 batu nautika dan kawasan seluas 3,889 kilometer persegi.

Sumber berkata, kebanyakan Pati ini direkrut sindiket untuk bekerja di negara ini melalui iklan yang menawarkan gaji lumayan tetapi kadar bayaran yang dikenakan adalah tinggi terutama bagi mereka yang tidak memiliki pasport sehingga mencecah 15 juta rupiah (RM4,400).

Katanya, pada masa sama, sindiket turut menawarkan khidmat hanya membayar tambang pada bila-bila masa terutama ketika mahu pulang menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

Dianggarkan, hampir 300,000 warga Indonesia termasuk Pati pulang ke tanah air mereka untuk menyambut lebaran dan akan memasuki semula negara ini selepas seminggu atau dua minggu hari raya.

“Menjelang hari raya Aidilfitri baru-baru ini, sindiket sibuk untuk menguruskan Pati yang ingin pulang dengan mengenakan bayaran tambang adalah antara RM500 hingga RM1,000 seorang sehala. Biasanya ke Karimun, Tanjung Balai atau Batam,” katanya.

Menyedari akan kepentingan menjaga kedaulatan negara, operasi berterusan membabitkan kerjasama beberapa agensi iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia sentiasa digerakkan.

Hasil kerjasama ini, beberapa sindiket antarabangsa berjaya dibanteras namun bilangan sindiket terutama pecahan kepada sindiket besar masih beroperasi.

Rumah usang jadi pusat transit

Kewujudan rumah usang digelar penduduk setempat sebagai ‘rumah hantu’ di persisir pantai di Tanjung Tohor, Muar di sini, mencetuskan pelbagai persoalan.

Malah pasukan penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga sering melihat ‘kelibat’ mencurigakan di rumah berkenaan ketika melakukan rondaan di perairan Batu Pahat.

Namun hakikatnya rumah kosong itu adalah markas transit digunakan sindiket penyeludupan manusia menggunakan nama samaran Edi Lopez dan Acing.

Wartawan Harian Metro yang meninjau sendiri lokasi terbabit mendapati rumah usang yang dibina berpuluh tahun lalu itu tidak berpenghuni selain kosong tanpa sebarang kelengkapan.

Mendedahkan kepada Harian Metro, Pengarah APMM Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, sindiket didalangi individu menggunakan nama samaran Edi Lopez dan Acing itu menjadikan rumah berkenaan sebagai transit penyeludupan manusia.

“Sindiket ini membawa masuk dan keluar warga asing dengan jumlah kecil bagi mengelakkan tindakan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Perairan Batu Pahat – Muar ini menjadi pilihan sindiket untuk membawa masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Bangkalis, Indonesia masuk ke negara ini kerana mempunyai terdapat penanda di perairan negara.

“Jika tiba di satu boya di perairan ini, mereka tahu sudah memasuki perairan Malaysia dan akan mendaratkan semua Pati di rumah kosong berkenaan. Pati ini kemudian akan diambil tekong darat,” katanya.

Nurul Hizam berkata, sindiket mengenakan caj antara RM500 sehingga RM3,000 kepada setiap seorang warga asing yang ingin menggunakan perkhidmatan.

“Mengenai bayaran, kebiasaan harga yang perlu dibayar oleh warga asing bagi memasuki atau keluar dari negara bergantung kepada jenis bot, lokasi dan kesukaran bagi sindiket.

“Ada yang mengenakan bayaran yang murah serendah RM500 sehingga RM3,000. Semuanya bergantung kepada lokasi, cuaca dan jenis bot digunakan,” katanya.

Menurutnya, selain memasuki negara ini dengan menggunakan khidmat dua sindiket itu, APMM turut mengesan pihak majikan di Malaysia yang turut bersengkongkol dengan sindiket.

“Kita dapat lihat cubaan warga asing memasuki perairan negeri Johor ini ekoran pembukaan semula sektor-sektor ekonomi di negara kita.

“Permintaan tenaga kerja asing terutama di sektor pertanian dan perkhidmatan menjadi tarikan kepada golongan Pati untuk memasuki negara secara tidak sah,” katanya.

Berkas 104 warga asing sejak 2021

Seramai 104 pendatang tanpa izin (Pati) yang cuba memasuki negara ini melalui perairan Johor diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sejak tahun lalu.

Pengarah APMM Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, jumlah tahanan itu membabitkan 99 warga Vietnam dan lima warganegara Indonesia.

“Bagi tahun ini pula, APMM Johor berjaya menahan enam Pati warga Indonesia membabitkan tiga lelaki dan tiga wanita yang cuba memasuki perairan negeri Johor di Tanjung Piai.

“Malangnya tekong laut yang membawa masuk Pati itu berjaya melarikan diri ke perairan Indonesia. Dia meninggalkan semua enam Pati terbabit bersama sebuah bot kayu. Semua enam Pati ini sudah dibicarakan pada 21 Mac lalu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga berjaya merampas dua bot kayu yang dipercayai digunakan sindiket untuk membawa masuk dan keluar Pati.

“APMM sentiasa melakukan kerjasama erat bersama agensi sahabat terutama membabitkan perkongsian maklumat bagi mengekang jenayah rentas sempadan di perairan negeri Johor,” katanya. HM

Seludup orang lagi lumayan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Intan Najuwa calon menantu ‘limited edition’

Janna Nick persetan netizen

Mimy Fly terkilan teman lelaki dipanggil negro

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker