Aidilfitri: Syawal Empat Anak Yatim Piatu Suram Kerana Tragedi Hitam

Aidilfitri: Syawal Empat Anak Yatim Piatu Suram Kerana Tragedi Hitam

PUTATAN: Nahas dua tahun lalu yang menimpa tujuh beranak sehingga meragut tiga nyawa masih terbayang di ingatan empat beradik yang kini menjadi anak yatim piatu.

Malah sambutan Syawal yang kebiasaannya meriah tetapi suram pada tahun ini kerana masih mengingati tragedi hitam yang menimpa mereka ketika melalui Jalan Kimanis-Keningau, Papar.

Menurut Nursazzey Shazmeka Mazlan, 16, sehingga kini dia tidak dapat melupakan apa yang berlaku pada malam kejadian sehingga menyebabkan mereka tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama-sama ibu bapa serta adiknya.

“Selalunya pada waktu ini (menjelang Hari Raya) kami bertungkus lumus menyediakan pelbagai persiapan untuk menyambut Hari Raya bersama-sama.

“Ayah akan sibuk menghias rumah mengikut kemahuan ibu dan pada masa sama, saya dan adik-adik akan membantu mengemas serta membersihkan rumah sebagai persediaan untuk menyambut Hari Raya,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Keramat, di sini, baru-baru ini.

Nursazzey Shazmeka berkata, sejak ibu bapanya meninggal dunia, semua keperluan ketiga-tiga adiknya diuruskan olehnya sendiri.

“Kalau dulu saya dan ibu akan bersama-sama membeli pakaian untuk adik-adik atau membeli barangan untuk keperluan rumah.

“Tetapi sekarang, semua saya lakukan sendiri, kena berdikari untuk uruskan adik yang masih kecil,” katanya.

Nursazzey Shazmeka (tengah), bersama adik-adiknya Muhammad Irfan Ihtisyam (kiri) dan Nurmya Shaznira (kanan) ketika ditemui pemberita di kediaman mereka di PPR Taman Sri Keramat, Putatan.

Sementara itu, Muhammad Irfan Ihtisyam, 11, mengakui masih teringat kedua ibu bapa dan kakaknya yang sudah meninggalkan mereka selamanya.

“Tetapi saya harus kuat memandangkan saya seorang saja anak lelaki untuk membantu kakak untuk menguruskan adik-adik yang lain,” katanya.

Menurut nenek mereka pula, Naisah Miss, 61, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga keempat-empat cucu sejak anak perempuannya meninggal dunia dalam nahas itu.

“Saya sedih kerana mereka kehilangan kedua ibu bapa ketika masih kecil, jadi saya dan suami ambil tanggungjawab untuk menjaga mereka.

“Syukur Alhamdulillah rezeki mereka sebagai anak yatim piatu mendapat perhatian daripada pelbagai pihak untuk membantu termasuk dari segi kewangan untuk persekolahan dan sebagainya,” katanya.

Naisah berkata, tiada kesukaran untuk menjaga kesemua cucu-cucunya itu kerana yang sulung pun sudah besar dan boleh mengurus adik-adiknya.

Dalam kejadian 31 Mac 2021, lori tunda yang dinaiki tujuh beranak itu terbabas dan menyebabkan Mazlan Abdullah, 38, isterinya Norafidah Sukeymin, 37, bersama anak kedua mereka, Nursazilla Shazmira, 12, meninggal dunia.

Bagaimanapun, Nursazzey Shazmeka, Muhammad Irfan Ihtisyam, Nurmya Shaznira, 8 dan adik bongsu mereka, Nurnafisya Shazniza, 5, terselamat dalam kejadian itu.-SH

Aidilfitri: Syawal Empat Anak Yatim Piatu Suram Kerana Tragedi Hitam

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Drama Raya PETRONAS 366 gambaran ketabahan rakyat Malaysia (Video)

Dituduh memondan, Aliff Syukri nak saman pula

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker