UiTM nafi tamatkan perkhidmatan 600 pensyarah sambilan

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada Rabu menafikan laporan sebuah portal berita semalam yang mendakwa universiti itu memberhentikan 600 pensyarah sambilannya.

UiTM dalam satu kenyataan hari ini menegaskan tiada pensyarah sambilan ditamatkan perkhidmatan seperti yang dilaporkan dan dakwaan portal itu adalah tidak tepat dan amat dikesali.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata pengambilan pensyarah sambilan di UiTM adalah berbeza mengikut semester berdasarkan keperluan subjek di setiap fakulti.



Tambahnya, UiTM sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengajian Tinggi berhubung pembangunan serta operasi universiti.

“Untuk makluman semua, pengambilan pensyarah sambilan di UITM untuk setiap semester adalah berdasarkan kepada keperluan program dan subjek di setiap fakulti.

“Justeru, jumlahnya adalah berbeza-beza pada setiap semester. Oleh itu, laporan yang mengatakan UiTM memberhentikan pensyarah sambilan adalah tidak tepat dan amat dikesali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam kenyataan bertulis UiTM kepada portal berkenaan juga tidak sama sekali menyentuh isu berkaitan pemotongan bajet universiti.



Justeru katanya, isu pemberhentian pensyarah sambilan tidak timbul sama sekali.

“UiTM juga sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi yang amat prihatin terhadap pembangunan serta pengoperasian universiti.

“Sehubungan itu UiTM menegaskan bahawa institusi ini akan mendokong serta memastikan pendidikan bumiputera terus diperkasakan dalam mendepani cabaran norma baharu,” katanya.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker