Azman Komited Teruskan Perancangan Pembangunan Serkam
Azman Komited Teruskan Perancangan Pembangunan Serkam

JASIN, 2 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Datuk Azman Abdullah komited untuk meneruskan perancangan pembangunan terdahulu serta memberi perhatian kepada keperluan dan permasalahan rakyat sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Beliau berkata, antara perkara yang sering dibangkitkan penduduk sepanjang kempen ialah keperluan menaik taraf jalan termasuk infrastruktur lain yang belum diselesaikan di sesetengah kawasan.
Menurutnya, segala aduan dan permintaan rakyat akan diambil perhatian bagi membolehkan tindakan susulan serta permohonan peruntukan dibuat mengikut keperluan dan kemampuan yang ada.
“Dalam keadaan sekarang ini, apabila turun berkempen, saya minta rakan-rakan dan jentera saya mengambil perhatian terhadap masalah sebenar rakyat.
“Ada juga masalah yang kita sudah tahu, contohnya permintaan untuk jalan dan longkang yang tidak dapat diselesaikan. Mungkin peruntukan kita terhad, tetapi insya-Allah jika diberi kepercayaan, saya akan cuba membantu sebaiknya,” katanya.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- PRN Melaka: Kempen Bijaksana, Jangan Terjebak Politik Kotor – Ab Rauf
- Impian Mak Mah Tercapai, UMNO Cawangan Kampung Bukit Kecil Ditubuhkan
- Momentum Jentera Membara, Sedia Sasar Kemenangan – Tuminah Kadi
Azman berkata, beliau juga akan meneliti perancangan yang telah dirangka oleh wakil rakyat terdahulu, khususnya inisiatif yang mendapat sambutan baik dan memenuhi keperluan masyarakat setempat, supaya kesinambungannya dapat dipastikan.
Menurutnya, keutamaan bukan sekadar menyelesaikan masalah kecil yang dibangkitkan penduduk, tetapi memastikan perancangan pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat dapat diteruskan.
“Saya tidak mahu berjanji bulan bintang tetapi insya-Allah, jika diberi kepercayaan, saya akan melakukan yang terbaik untuk rakyat Serkam.
“Rakyat Serkam amat istimewa bagi saya. Sebelum diumumkan sebagai calon lagi, saya sudah menyatakan bahawa jika diberi peluang, biarlah saya bertanding di DUN sendiri kerana jiwa saya di Serkam,” katanya.
Beliau turut menegaskan kesediaannya untuk memikul amanah yang diberikan pengundi dengan penuh tanggungjawab, selain memastikan kebajikan dan kepentingan masyarakat Serkam terus menjadi keutamaan.-UMNO Online
Azman Komited Teruskan Perancangan Pembangunan Serkam
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Acik Zul Utamakan Rekod Perkhidmatan, Bukan Janji Bulan Dan Bintang
- PRN: Wanita UMNO Optimis Birukan Melaka – Rosni Zahari
- Gelombang Kebangkitan BN Johor, N.Sembilan Perlu Diteruskan Ke Melaka – Adnan
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.