Mendepani aliran selain Ahli Sunah Waljamaah

Mendepani aliran selain Ahli Sunah Waljamaah

Oleh Dr Mohd Hasrul Shuhari

Iftar Ramadan Sempena Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia 2022M/1443H dianjurkan oleh Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG MALAYSIA) pada 7 April lalu bersamaan 5 Ramadan 1443H (Khamis). Ia antaranya turut dihadiri Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Menteri Kanan Pendidikan.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara rakaman video, ulama Al-Azhar terkenal kerana memiliki pelbagai ilmu, namun sifat atau pendirian yang dipegang tetap sederhana dan moderat, selain mereka menjadi tumpuan serta rujukan dalam bidang ilmu agama dan diiktiraf sebagai bertaraf ‘alami dan muktabar.

Menurut Perdana Menteri lagi: “Al-Azhar Asy-Syarif juga menjadi sebuah institusi agama yang berjaya melahirkan ribuan alim ulama, dengan membawa pemikiran Wasatiyyah (kesederhanaan) Islam dalam menangani pemikiran ekstremisme dan fanatisme di seluruh dunia. Semoga Allah SWT memelihara Al-Azhar Asy-Syarif dan para pendukung manhajnya.”

Tambahnya lagi: “Kewujudan institusi keilmuan Islam di dunia khususnya di Malaysia, adalah hasil kurikulum pendidikan yang diasaskan oleh manhaj Universiti Al-Azhar terdahulu yang jauh ke hadapan dalam arena pendidikan atau Tarbiyyah Islamiah. Manhaj Al-Azhar terbukti dapat mempertahankan akidah Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) daripada beberapa fahaman seperti Khawarij, Muktazilah, Syiah, Salafi, Zahiriyyah, Batiniyyah, Takfiriyyah, Liberalisme, Pluralisme dan beberapa fahaman yang muncul pada zaman moden ini.”

Berkenaan sejarah Al-Azhar secara ringkas, Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia menerbitkan buku bertajuk Perpaduan Ummah Merentasi Ideologi pada 2015. Prof Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti kini bertugas sebagai Profesor Akidah dan Pemikiran Islam di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Negara Brunei Darussalam, merangkap Presiden WOAG Malaysia menulis salah satu artikel dalam buku ini dengan judul Pendekatan Wasatiyyah al-Azhar dalam Penyatuan Ummah.

Menurutnya, Universiti Al-Azhar yang terletak di tengah kota raya Kaherah diasaskan pada 3 April 970 Masihi dalam zaman pemerintahan Fatimiyyah yang beribu negarakan Maghribi. Satu rombongan yang diketuai oleh Jawhar al-Saqali dihantar oleh Mu’aziddun al-Daulah ke Kaherah untuk pembinaan kota Kaherah dan meletakkan batu asas bagi pembinaan sebuah al-jami’ yang akan dibina selama dua tahun. Selepas siap dibina operasi pengajian dilancarkan selepas solat Jumaat pertama diadakan (iaitu pada 24 Jun 972M/Ramadhan 361H) dan al-Jami’ ini bertukar menjadi al-Azhar Jamian wa Jami’ah (Al-Azhar sebagai masjid dan universiti) sehingga sekarang.

Pusat ilmu ini berkembang berabad-abad lamanya menawarkan pengajian Syiah Batiniyyah sehingga akhirnya Mesir dikuasai Sultan Salahuddin al-Ayyubi (1168M/564H) yang mengisytiharkan akidah al-Asha’irah sebagai akidah negara dan sekali gus bertukar menjadi Institusi Pengajian Sunni terbesar sehingga sekarang. Al-Azhar memperkenalkan manhaj wasati yang lebih sistematik dalam melahirkan pelajarnya yang mendukung manhaj ini untuk disebarkan ke lokasi masing-masing.

Menurut Pusat Fatwa Jordan (Dairah al-Ifta’ al-‘Amm fi al-Mamlakah al-Urduniyyah al-Hashimiyyah) dalam kitab akidah terbitan rasmi berjudul ‘Aqidah al-Muslim, antara tokoh pendokong mazhab al-Asha’irah ini yang masyhur ialah Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang terkenal dengan kejayaannya membebaskan Palestin daripada penjajahan Tentera Salib. Menurut Imam al-Sayuti, Sultan Salahuddin bermazhab fekah al-Syafie dan bermazhab akidah al-Asha’irah yang memberi perhatian khusus dalam usaha menyebarkan mazhab akidah al-Asha’irah. Antaranya ialah, selepas berjaya menguasai pemerintahan yang sebelumnya dikuasai Syiah Fatimiyyah, beliau memerintahkan muazzin melaungkan bacaan kitab akidah al-Asha’irah pada waktu al-tasbih (sebelum azan Subuh) setiap malam. Beliau juga di samping menghafal al-Quran menghafal matan kitab al-Tanbih yakni kitab fekah mazhab al-Shafie.

Selain itu, menurut Imam al-Sayuti, disebabkan Sultan Salahuddin sangat mengambil berat mengenai akidah al-Asha’irah, maka seorang ulama yang bernama al-Sheikh al-Nahwi Muhammad ibn Hibbah menulis kitab akidah al-Asha’irah dan menghadiahkannya kepada baginda. Kemudian kitab yang berjudul al-‘Aqidah al-Salahiyyah terbabit diperintahkan supaya diajar kepada masyarakat termasuk kanak-kanak di bawah pemerintahan Sultan Salahuddin al-Ayyubi.

Berdasarkan artikel Pendekatan Wasatiyyah al-Azhar dalam Penyatuan Ummah tadi, al-Azhar memandang Imam Abu al-Hassan al-Asy’ari sebagai seorang tokoh akidah yang cukup agung. Kehebatan tokoh ini boleh dilihat dan dikaji melalui karya peninggalan beliau dan segala hujah beliau yang menolak aliran lain seperti Muktazilah dan Syiah berdasarkan mantik atau penghujahan akal yang sejahtera.

Artikel terbabit juga menyatakan, manhajnya ini tersebar di seluruh dunia melalui tokoh besar termasuk aliran Imam al-Maturidi diikuti oleh tokoh mutakallimin al-Baqillani, al-Imam al-Haramain, al-Razi dan al-Ghazali. Akidah ini dikembangkan oleh al-Sanusi dan akhirnya diolah dan digilap oleh sekumpulan ulama al-Azhar seperti Sheikh Ibrahim al-Laqqani. Silibus akidah mempunyai anjakan paradigma melalui susunan institusi al-Azhar bukan lagi melalui personaliti tokoh besar ulama seperti al-Baqillani atau al-Ghazali. Al-Azhar sebagai institusi pendidikan bagaikan mengambil alih peranan ini dalam menyebarluas akidah al-Asha’irah dengan syarah dan ulasan yang dicetak dan disiarkan.

Pada 2014, Muktamar Antarabangsa diadakan di al-Azhar bertujuan bagi mendepani teroris dan ekstremis. Menurut Sheikh al-Azhar Prof Dr Ahmad al-Tayyib dalam artikel seminar yang bertajuk Bahaya Takfir (Khuturah al-Takfir), mazhab al-Asha’irah adalah mazhab majoriti umat Islam. Menurutnya, ada pihak yang mendakwa mazhab ini sebagai sesat, menyeleweng dan lain-lain meskipun lebih 90 peratus daripada keseluruhan umat Islam di timur dan barat adalah bermazhab al-Asha’irah. Beliau menyeru supaya kembali kepada mazhab majoriti umat Islam ini yang antara cirinya adalah tidak mudah mengkafirkan umat Islam.

Sebagaimana bidang ilmu lain seperti ilmu hadis, ilmu fekah dan ilmu tasawuf yang ada sejarah perkembangannya disusun ulama secara sistematik, ilmu akidah ini juga sedemikian. Ia pasti bermula daripada Nabi Muhammad SAW, diwarisi kepada sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin. Kemudian disusun secara sistematik, dijaga dan dipelihara untuk mendidik umat Islam dan mempertahankan mereka dalam mendepani cabaran kontemporari oleh madrasah besar Ahli Sunah Waljamaah aliran al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah antaranya menerusi peranan besar seperti yang digalas oleh institusi al-Azhar ini. Oleh itu, dapat difahami bahawa ulama besar al-Azhar yang juga mantan Mufti Mesir Prof Dr Sheikh ‘Ali Jum’ah pernah menjelaskan, akidah al-Asha’irah sebenarnya adalah menepati akidah Rasulullah SAW dan sahabat RA sendiri.

Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Mendepani aliran selain Ahli Sunah Waljamaah


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Dipaksa Makan Najis? 10 Fakta Baru Kes Penderaan Bella

Daphne Iking rasa janggal tanpa tudung

Wanita Malaysia tumbuh ‘tanduk’ pada payudara

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker