AHTV: Malaysia bakal hab pengeluar kenderaan elektrik di ASEAN
AHTV: Malaysia bakal hab pengeluar kenderaan elektrik di ASEAN
TANJUNG MALIM – Malaysia bakal menjadi sebuah hab pengeluar kenderaan elektrik dan pembekal komponen ke pasaran ASEAN, bahkan ke pasaran yang lebih luas lagi dengan kewujudan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangunan itu juga dapat menarik minat pelabur-pelabur asing khususnya dari China dan negara lain kerana berpotensi memperkasakan ekosistem dunia automotif dalam satu kawasan yang besar.
Menurut beliau, sekiranya di negara lain seperti Amerika Syarikat boleh bangga dengan Detroit iaitu sebuah daerah yang terkenal dengan industri pembuatan keretanya, tidak mustahil satu hari nanti, Tanjung Malim akan dikenali sebagai hab permotoran yang hebat di rantau ini.
“Selain itu, Tanjung Malim bakal menyaksikan limpahan ekonomi daripada aktiviti projek pembangunan AHTV yang dijangka menjana peluang pekerjaan sebanyak 370,000 sepanjang pembinaan dan 160,000 apabila beroperasi kelak.
“Pembangunan lain yang mempunyai rantaian ekonominya seperti Taman Perindustrian dan pembangunan hartanah bagi tujuan komersial secara keseluruhannya berpotensi menjana sebanyak RM32 bilion menjelang tahun 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran AHTV di Proton City di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan dan Datuk Seri Ir Wee Ka Siong.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi DRB-Hicom, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
Sebelum ini, pembangunan AHTV telah dicadangkan lebih 10 tahun lalu bagi memantapkan operasi pengilangan Proton dari Shah Alam, Selangor ke Tanjung Malim, supaya lebih berpusat dan mampu meningkatkan produktiviti.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, pada masa sama, AHTV juga disasarkan menjadi pusat rujukan pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi teknologi berasaskan pematuhan iklim global dengan penubuhan Universiti Penyelidikan yang signifikan dengan industri ini.
Ujar beliau secara tidak langsung, pembangunan itu dapat memberi tumpuan kepada kemajuan kenderaan elektrik yang menjadi hala tuju masa depan industri automotif dengan memanfaatkan Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi mutakhir.
Tambahnya, usaha membangunkan AHTV sebagai hab baharu pengeluaran kenderaan elektrik ini adalah selari dengan hasrat dan komitmen kerajaan ke arah pencapaian matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) selain menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang tahun 2050.
“Kerajaan berharap projek pembangunan ini akan dapat memacukan pembangunan industri hiliran dan lain-lain sektor yang menumpukan teknologi terkini terutamanya dalam penggunaan dan pengurusan sumber yang cekap sekali gus mengurangkan kesan rumah hijau.
“Dengan hala tuju yang dibuat secara teliti, AHTV akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk tempatan, malah kepada negara Malaysia amnya.
“Diharapkan agar pelancaran AHTV ini menjadi penanda aras kepada satu lagi pembangunan negara yang berimpak tinggi dan memacu kejayaan negara secara holistik.
“Saya yakin dan percaya, dengan kemampuan DRB-HICOM dibantu penyelarasan bersama agensi kerajaan yang berkaitan serta dana yang disalurkan, ia mampu menjadi projek mega kawasan perindustrian automotif yang gah di rantau ini,” katanya.
Ismail Sabri menambah, bagi memenuhi keperluan dari segi tenaga kerja terlatih, pendidikan, dan juga penyelidikan, beliau mencadangkan agar Universiti Pendidikan Sultan Idris yang juga terletak dalam wilayah Lembah Berteknologi Tinggi membangunkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan iaitu Center of Advanced Automotive Research and Training (CAART).
Dilengkapi dengan bilik kuliah, kemudahan penginapan dan makmal berteknologi tinggi, CAART di Universiti Pendidikan Sultan Idris ini akan memberikan tumpuan kepada penyelidikan, latihan kemahiran, pembangunan sumber manusia, serta penyelenggaraan yang berkaitan dengan teknologi automotif terkini.
“Ini bagi memastikan permintaan dan bekalan dari segi teknologi terkini, latihan serta sumber tenaga manusia di AHTV dapat dilestarikan secara produktif,” katanya.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyaksikan majlis menandatanganimemorandum persefahaman (MoU) berkaitan AHTV membabitkan DRB-HICOM dan Kerajaan Negeri Perak bagi mengenal pasti peruntukan tanah tambahan yang sesuai di sekltar kawasan itu bagi pembangunan AHTV.
Kawasan di sekeliling kilang PROTON Tanjong Malim kini berkeluasan 1,600 hektar yang kebanyakannya telah didiami oleh Universiti Pendidikan Sultan ldris, vendor sedia ada, sebagai premis komersial dan sebagai hartanah kediaman.
Tanah tambahan itu khas untuk pembangunan AHTV, termasuk universiti penyelidikan.
DRB-HICOM turut menandatangani satu lagi MOU bersama Geely Holding Group.
MOU dengan pemegang saham PROTON, yang ditandatangani secara dalam talian pada 11 April 2022, adalah untuk membangunkan AHTV secara bersama dan bekerjasama dalam mengenal pasti vendor dan pelabur ke hab itu. MG
AHTV: Malaysia bakal hab pengeluar kenderaan elektrik di ASEAN
Baca Artikel Menarik:
- Fahmi bidas Rafizi Ramli
- Kejam! Zionis biar wanita Palestin yang ditembak berlumuran darah hingga mati
- Perkahwinan anak David Beckham ‘paling membazir’
- Sajian Tujuh Kawah Wak Lan Dan Pencuci Mulut Raja Buah Memang Berbaloi Untuk Santapan Berbuka Puasa
- LHDN Komen Video Aisar Tunjuk Duit Berkepuk-Kepuk
- Nurul Izzah tidak bertanding pada pemilihan PKR
- Bung Moktar tempelak Muhyiddin cakap tak serupa bikin
- Penyanyi Yasin Perlu Rawatan Pakar Psikiatri Segera – Peguam
- Status hina Nabi Muhammad, Uthaya kena angkut dengan polis
- Amirudin sindir Farhash ikutnya ke mana saja
- Ketua parti, menteri minta saya lompat parti
- Banduan lolos dari tahanan pecah masuk rumah penduduk pula
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.