Ini istilah Ahli Parlimen lompat parti – Wan Junaidi

a

Ini istilah Ahli Parlimen lompat parti – Wan Junaidi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan tiga perkara utama mengistilahkan seseorang Ahli Parlimen melompat parti, dalam draf pentadbiran Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti Lompat Parti.

Beliau berkata, apabila seorang Ahli Parlimen yang memenangi pilihan raya dan kemudian mengumumkan keluar parti politik dengan menyatakan menjadi ahli bebas atau menyertai parti politik lain adalah dikirakan telah melompat parti.

“(Kedua) Seorang Ahli Parlimen telah memenangi kerusi Parlimen tetapi dipecat oleh parti juga dikirakan sebagai melompat parti. Ini bagi tujuan untuk memastikan Ahli Parlimen patuh kepada perlembagaan dan peraturan serta disiplin parti.

“Parti yang memecat Ahli Parlimen akan berhadapan risiko kehilangan kerusi dan pilihan raya perlu diadakan semula,” katanya menjawab soalan Senator John Ambrose di Dewan Negara, yang ingin tahu sejauh mana tindakan serta perancangan telah dirangka dalam melaksanakan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti.

Wan Junaidi berkata, tindakan lompat parti itu juga termasuk bagi Ahli Parlimen bebas yang memenangi kerusi ditandingi pada pilihan raya, namun mengumumkan menyertai mana-mana parti politik selepas kemenangannya.

Beliau berkata, ini kerana tindakan itu dianggap bercanggah dengan amanah yang dipilih oleh rakyat kerana semasa pilihan raya, rakyat memilih Ahli Parlimen itu disebabkan beliau bertanding sebagai calon bebas serta berkemungkinan menolak calon lain.

“Sekiranya Ahli Parlimen bebas menyertai mana-mana parti, pilihan raya perlu diadakan semula dan individu tersebut tidak hilang kelayakan untuk bertanding mewakili parti baharu dalam tempoh 60 hari beliau dipecat (sebagai Ahli Parlimen) dan ia akan diumumkan oleh Dewan Rakyat sebagaimana tertakluk kepada Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Wan Junaidi berkata, jika rang undang-undang berkenaan diluluskan maka ia akan dikuatkuasakan secara prospektif dan bukannya retrospektif, malah majoriti Ahli Parlimen bersetuju dengan draf pentadbiran rang undang-undang itu menerusi hasil sesi libat urus yang dilaksanakan sebelum ini.

“Secara ringkasnya, dengan penguatkuasaan rang undang-undang ini tindakan lompat parti dapat dicegah dengan pelaksanaan pilihan raya semula untuk memastikan mandat kembali kepada rakyat sekiranya berlaku lompat parti oleh ahli-ahli Parlimen,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, rang undang-undang yang sedang digubal itu mempunyai tiga pengecualian iaitu apabila parti politik terbubar dengan sendirinya maka Ahli Parlimen daripada parti itu tidak diistilahkan sebagai lompat parti.

“Kedua, apabila seseorang itu (Ahli Parlimen) dilantik menjadi Speaker Dewan Rakyat serta Dewan Negara dan keahlian dia dalam parti tidak dikatakan melompat parti dan dia kekal menjadi ahli.

“Ketiga, penggabungan antara parti dengan parti lain. Itu hak parti untuk bergabung. Contohnya dalam satu gabungan yang besar, satu parti hendak keluar daripada gabungan itu maka ia tidak diistilahkan sebagai lompat parti,” katanya. FMT

Ini istilah Ahli Parlimen lompat parti – Wan Junaidi


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pensyarah hina pelajar B40 tak mampu beli laptop (Video)

Rupanya Patung Seks, Penduduk Kampung Digempar Mayat Dalam Tong Sampah [VIDEO]

Mentaliti ‘toksik’, kelas rendah! TMJ kritik siapa?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker