TLDM rancang beli 3 lagi kapal LMS tahun ini

TLDM rancang beli 3 lagi kapal LMS tahun ini

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merancang untuk mendapatkan sekurang-kurangnya tiga lagi kapal misi pesisir (LMS) tahun ini, kata Panglimanya, Mohd Reza Mohd Sany.

Beliau berkata, peruntukan untuk perolehan aset itu sedang diusahakan TLDM dan Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein.

Katanya, kelompok kedua itu sebagai tambahan kepada empat unit LMS yang telah diterima TLDM ketika perolehan kelompok pertama kapal itu.

“Setakat ini, di peringkat TLDM, kami telah buka kertas cadangan kepada beberapa negara, antaranya China, Belanda serta Turki dan kami telah menyenarai pendek beberapa cadangan.

“Apabila TLDM telah dapat bajet, barulah kami akan memilih syarikat mana yang berjaya membina LMS berkenaan,” katanya kepada Bernama di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di ibu negara.

Empat unit kelompok pertama LMS itu adalah Kapal Diraja (KD) Sundang yang ditauliah pada 5 Mac 2021, KD Badik (20 Okt 2021), KD Keris (15 April 2019) dan KD Rencong (28 Jan 2022).

Reza berkata, perolehan kelompok kedua LMS itu dirancang bagi menggantikan aset TLDM yang usang.

Sementara itu, Reza berkata, TLDM juga dijangka menerima dua Helikopter Operasi Maritim AW139 pada April ini dan sebuah lagi September ini.

“Tiga jenis helikopter ini akan berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah dan untuk perolehan seterusnya, kami sedang buat di tahun-tahun berikutnya,” katanya.

Mengenai kapal tempur pesisir pantai (LCS), Reza berharap kerajaan dapat membuat keputusan dalam tempoh terdekat, sama ada ingin meneruskan projek bersama syarikat Boustead atau sebaliknya.

“LCS sebagaimana kita tahu, syarikat Boustead ada sedikit masalah dan TLDM mengharapkan kerajaan dapat buat keputusan tahun ini. TLDM berpendapat projek ini (LCS) harus diteruskan kerana ia telah lama.”

Awal Januari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan dua ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat terbabit dalam kontrak perolehan enam kapal LCS kerana disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran kepada tiga syarikat di luar negara. FMT

TLDM rancang beli 3 lagi kapal LMS tahun ini


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Amelia Henderson terima lamaran Aedy Ashraff (Video)

Zara dituduh guna duit NGO beli kereta mewah

Sajat bayar teman lelaki untuk ‘melekat’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker