Pilihanraya: Parti, calon, isu atau persepsi



PRN Johor 12 Mac

DALAM mana-mana pilihan raya, kerap kita mendengar mengenai percaturan parti politik untuk memenangi pilihan raya tersebut sama ada pilihan raya umum, negeri mahupun pilihan raya kecil.

Gelagat pola pengundian banyak bergantung kepada kesetiaan terhadap parti, pemilihan calon atau isu yang dibawa sehingga mempengaruhi emosi pengundi. Adakala kesemua itu tidak mempunyai pemberat kerana pergelutan untuk mendekat persepsi dengan apa cara sekalipun.

Parti politik mempunyai tanggungjawab besar yang perlu digalas di pelbagai peringkat bagi memastikan ia tidak tewas dan relevan.

Parti yang mempunyai guna tenaga, logistik dan jentera ampuh dianggap mempunyai kelebihan berbanding parti lain.

Jentera yang sepadu akan memastikan penyokong ‘putih’ kekal bersama mereka. Ia dilakukan secara emosional ataupun pendekatan yang akan membolehkan penyokongnya kekal setia.




Namun, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, ada penyokong ‘putih’ yang berpaling tadah atau memberikan sokongan palsu sewaktu ditemui oleh jentera, menyebabkan wujud aliran keluar sokongan kepada parti lain.

Hatta, sejak 2018, kebanyakan parti politik amat berhati-hati walau dengan penyokong tegar mereka.

Strategis parti tahu bagaimana untuk mengenali kelompok yang benar-benar setia. Jika angkanya sudah cukup untuk menang, jentera akan diminta tidak mendekati penyokong putih yang was-was kepada perayu undi.

Calon juga adalah salah satu faktor yang menjadi tumpuan berbanding pilihan raya sebelum ini. PRN Melaka menunjukkan calon telah memainkan peranan signifikan untuk mengembalikan kepercayaan apabila wujud perubahan sehingga 80 peratus dalam pemilihan calon hampir kesemua parti bertanding.

Walaupun ciri-ciri calon yang disenaraikan semua parti bertujuan untuk menunjukkan calon itu adalah yang terbaik, sebenarnya calon menjadi aset dan bukan liabiliti kepada parti supaya jentera mudah mempromosi dan ‘menjual’ calon tersebut.




Calon yang disukai, dianggap boleh menang dan diterima parti serta pengundi. Adakala, parti tahu calon itu sukar menang tetapi terpaksa dicalonkan kerana desakan tertentu.

TREND PENGUNDIAN

Faktor ketiga yang boleh mempengaruhi trend pengundian adalah isu semasa. Isu rasuah, kronisme, integriti, pecah amanah dan kegagalan menjalankan tanggungjawab sewaktu berkuasa menjadi modal mempengaruhi pengundi.

Bagaimanapun, isu nasional kurang memainkan peranan pada PRN kerana pengundi mahukan jaminan ke atas isu lokal seperti kesejahteraan, pembangunan, peluang pekerjaan, pendidikan, pengangguran, perumahan dan kaedah mengurangkan kos sara hidup ketika pandemik.

Pada masa sama, jika nilai kepimpinan ditunjukkan sewaktu berkuasa, pengundi akan memberikan pengiktirafan sewajarnya. Namun, faktor parti, calon dan isu boleh menjadi tidak relevan jika persepsi pengundi sukar ditembusi.




Persepsi yang sudah dibina sekian lama untuk membenci sesebuah parti politik tidak memerlukan melihat kepada kesungguhan parti membawa perubahan dan pengenalan calon berwibawa.

Persepsi yang barangkali terbawa-bawa dengan informasi yang sampai kepada mereka melalui pelbagai pelantar media sosial tanpa diteliti kesahihannya menyebabkan persepsi sebegini rupa tertanam tanpa dicari rasionalnya.

Selain melihat kepada parti, calon, isu dan persepsi, ada pengundi yang akan melakukan ‘undi protes’ kerana calon mereka tidak dipilih atau rasa kecewa dengan parti sendiri.

Pengundi atas pagar pula akan membuat keputusan pada saat-saat akhir dengan melihat secara menyeluruh, malah membuat keputusan tidak keluar mengundi kerana kurang yakin dengan parti yang bertanding.

Jika ia adalah antara perkara yang boleh mendorong pola pengundian, bagaimana PRN Johor? Apakah ‘kesetiaan parti’ menjadi ‘penentu’ kemenangan?




Dalam politik tanah air, tidak ada musuh yang kekal. Kesemua jentera akan tertumpu di Johor dan merancakkan PRN kali ini.

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bukan isteri arwah yang kejar harta tetapi plaintif – Hakim

Kembali dalam politik, Ini jawapan Rafizi Ramli



Leave a Reply

Your email address will not be published.