PRN Johor: Pengundi harap SOP lebih ketat

JOHOR BAHRU – Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin dirasai dengan pelbagai parti politik telah memulakan gerak kerja masing-masing meskipun hari penamaan calon berbaki 10 hari lagi.

Beberapa pemilih berdaftar yang ditemui akur dengan ketetapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya negeri pada 12 Mac nanti namun mereka memohon supaya prosedur operasi standard (SOP) diperketat.

Tinjauan Bernama di sekitar pusat bandar raya di sini pada Rabu mendapati ramai pengundi mahukan pelaksanaan SOP yang ketat supaya tidak terdedah kepada jangkitan Covid-19 memandangkan kes pandemik itu semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Hamzi Hanif Jamaludin, 26, meluahkan kebimbangan terhadap varian Omicron yang kini telah menjangkiti ramai orang.

“SOP sepatutnya diperketat kerana kes meningkat di negeri ini. Kita harus berjaga-jaga pada masa awal ini, buatlah persediaan untuk pergi mengundi supaya tidak berlaku kes semakin meningkat kerana PRN,” katanya.

Penjawat awam itu turut mencadangkan parti politik mahupun calon yang bertanding supaya berkempen menerusi media sosial bagi mengurangkan program secara bersemuka sekali gus dapat mengelak risiko jangkitan Covid-19.

“Bagi pengundi pula, sebaiknya selepas sahaja mengundi, balik terus ke rumah sebab semasa PRN nanti keadaan akan sesak dan sukar untuk menjangkakannya,” katanya.

Senada dengan Hamzi Hanif, seorang pengusaha kedai dobi yang ingin dikenali sebagai Lee pula berkata, pihak berkaitan perlu mengutamakan keselamatan dan kesihatan pengundi terutama dalam kalangan warga emas dan berisiko tinggi.

“Sejujurnya, saya sendiri bimbang untuk pergi mengundi nanti tetapi saya akan tunaikan tanggungjawab bergantung kepada keadaan.

“Kalau kes Covid-19 makin meningkat, mungkin saya tidak keluar mengundi sebab takut dijangkiti kemudian merisikokan keluarga dan orang sekeliling saya,” kata wanita berusia 50 tahun itu.

Bagi Rosidi Ismail, 42, beliau berharap SPR akan mempertingkatkan kawalan semasa hari pengundian seperti mengehadkan bilangan pengundi yang akan memasuki pusat pengundian.

Peniaga runcit itu berkata, seeloknya pihak berkuasa menggariskan peraturan kepada pengundi supaya hadir ke pusat mengundi seorang diri dan tidak membenarkan membawa anak kecil dan sebagainya.

Pada 11 Februari lepas, SPR memaklumkan SOP bagi PRN Johor kini pada peringkat akhir untuk dimuktamadkan dan akan diumum sebelum hari penamaan calon.

SPR menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala penamaan calon pada 26 Feb dan pengundian awal pada 8 Mac. – Bernama

PRN Johor: Pengundi harap SOP lebih ketat

 


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


SPRM tahan pengarah jabatan lulus tiket penerbangan anak isteri

Khemah kenduri kahwin halang pintu rumah jiran

Twin Jets Resort Berkonsepkan Kapal Terbang Bakal Dibuka Tak Lama Lagi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker