Dihalau tuan rumah sewa
Dihalau tuan rumah sewa
Perjalanan hidup sebagai usahawan pastinya perlu mengharungi pelbagai cabaran, apatah lagi tiada latar belakang pendidikan sempurna atau mempunyai keterbatasan keupayaan diri.
Namun, berkat kesabaran dan semangat tidak putus asa kejayaan akhirnya dapat dikecapi biarpun terpaksa berdepan pahit manis untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.
Ikuti pengalaman usahawan berjaya yang juga seorang buta huruf dan asnaf iaitu Azim, Abdul Raman dan Zaidi yang mengharungi selok- belok perniagaan sehingga menjadi inspirasi kepada masyarakat lain.
Temerloh: Biarpun buta huruf dan hanya bersekolah sehingga Tingkatan Satu, Azim Jaafar tidak menjadikannya penghalang untuk dirinya berjaya sebagai usahawan.
Buktinya, perniagaan nasi kukus ayam berempah dijalankan Azim, 33, sejak empat tahun lalu mendapat sambutan pelanggan sehingga kini.
Azim yang menetap di Taman Temerloh Makmur di sini, mengakui pelbagai cabaran dilaluinya untuk sampai ke tahap sekarang namun dia tidak berputus asa kerana enggan berhenti di tengah jalan.
“Saya dimasukkan ke kelas pemulihan dari Tahun Satu hingga Tahun Enam kerana masalah tidak boleh membaca.
“Di sekolah menengah pula, saya hanya sempat belajar sehingga Tingkatan Satu dan berhenti selepas emak meninggal dunia kerana malu apabila tidak mampu membayar yuran sekolah.
“Selepas berhenti sekolah, saya lakukan pelbagai pekerjaan untuk cari duit antaranya bekerja sebagai pembantu di kedai makan, kedai runcit, kedai ayam dan restoran makanan segera.
“Di samping itu, saya pernah juga mencari rezeki sebagai jurusolek, model sambilan dan berniaga makanan selama tiga tahun di bazar Ramadan dekat Puchong, Selangor,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Azim, selepas lebih sedekad menetap di ibu kota, dia akhirnya pulang ke kampung empat tahun lalu.
“Sebenarnya, saya pulang ke kampung kerana dihalau selepas gagal melangsaikan tunggakan rumah sewa selama tiga bulan.
“Sedih juga namun saya cuba ikhtiar cari rezeki dengan berniaga dan modal permulaan adalah RM50 diberikan ayah (Wan Jaafar Wan Seman, 65).
“Mujur ayah bantu kerana saya memang tiada wang langsung ketika dan tiga bulan pertama, saya hanya berniaga di tepi jalan saja kemudian diberi gerai dengan bantuan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT),” katanya.
Menurut Azim, dia tidak berseorangan sebaliknya dibantu tiga pekerja bagi menyiapkan hidangan, membantu membungkus makanan dan melayan pelanggan yang datang untuk membeli untuk dibawa pulang kerana tiada ruang makan disediakan.
Azim berkata, setakat ini, dia hanya mempunyai satu cawangan di Taman Temerloh Jaya namun ada perancangan untuk meluaskan lagi rangkaian perniagaannya itu.
“Berniaga ini ada turun naiknya dan memang tidak mudah lebih-lebih lagi buat saya yang buta huruf serta tiada kelulusan akademik yang tinggi.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana perniagaan semakin stabil dengan anggaran pulangan RM15,000 sebulan.
“Disebabkan buta huruf, saya pernah diejek malah sehingga kini masih tidak boleh mengeja dengan betul kerana setiap kali muat naik hantaran di laman sosial akan ada yang menegur.
“Cuma, saya percaya, sesiapa saja mampu berjaya selagi rajin berusaha dan tidak berputus asa. Lagipun, hendak seribu daya , tak hendak seribu dalih,” katanya yang baru mendirikan rumah tangga dengan isterinya, Anis Romli, 33, pada 1 Januari lalu.
Gagal hingga jadi asnaf
Sekitar tahun 2011, perniagaan yang dijalankan Zaidi Omar, 53, mengalami kegagalan sehingga dia bergelar asnaf dan mendapatkan bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (Maim).
Kejatuhan itu membuatkan dirinya dan keluarga hilang sumber pendapatan dan menerima bantuan kira-kira RM30,000 daripada Maim serta agensi lain.
Katanya, dalam tempoh lima tahun menerima bantuan dan akhirnya pada 2017 dia berjaya keluar sepenuhnya daripada garis kemiskinan dan memulangkan semula bantuan diterima.
“Pada 2018, saya menerima ikon Usahawan Asnaf peringkat kebangsaan dan saya kini usahawan sosial di mana saya kembali semula kepada pihak Maim dan bersama-sama menubuhkan Persatuan Komuniti Usahawan Asnaf Negeri Melaka yang bertujuan untuk membantu lebih ramai golongan asnaf di sini.
“Asal saya bukan orang susah, tetapi disebabkan kesilapan saya abaikan beberapa perkara jadi Allah SWT letakkan saya di satu tempat di mana saya diuji seketika dan diberi peluang kedua untuk bangkit.
“Saya jadi pemudah cara untuk beritahu apa yang usahawan perlukan kerana hanya yang pernah bergelar asnaf lebih tahu apa yang harus dilakukan bagi memastikan perniagaan dijalankan berjaya.
“Pada 2019, saya mewujudkan Hab Pengeluaran Produk Usahawan Asnaf Maim di Taman Klebang Utama dan bermula itulah beberapa usahawan asnaf dilatih untuk menghasilkan produk mereka dari segi pembungkusan, pelabelan, pengurusan kewangan dan pelbagai lagi.
“Di hab ini kita menggunakan teknologi terkini iaitu retort untuk bantu keluarkan produk asnaf iaitu makanan sedia dimakan, mereka ini dibimbing sehingga berjaya keluar daripada bantuan asnaf juga,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Zaidi berkata, dia merancang untuk membantu menyatukan asnaf di seluruh Malaysia dan menyasarkan melahirkan jutawan dalam kalangan asnaf mengguna pakai modul kursus yang dibangunkannya bersama pakar akademik.
Tidak hanya itu, bagi melebarkan lagi sayapnya, Zaidi turut menubuhkan Koperasi Usahawan Asnaf Melaka Berhad dalam misi meningkatkan ekonomi golongan asnaf yang mahu berubah ke arah lebih baik.
“Idea penubuhan koperasi datang kerana kita tahu masalah utama asnaf pada masa sekarang membabitkan soal pemasaran dan kebanyakan mereka biasanya bergerak sendirian.
“Berdasarkan pengalaman, saya tahu jika bergerak sendiri adalah sukar untuk berjaya dan melalui Persatuan Komuniti Usahawan Asnaf, saya menerima banyak peluang perniagaan untuk diterokai.
“Daripada penubuhan koperasi dan persatuan ini, saya kumpulkan data kegagalan golongan asnaf ini dan saya berkongsi pengalaman selama 21 tahun dalam perniagaan bersama mereka.
“Kita kena ada disiplin keusahawanan untuk keluarkan diri daripada penerima bantuan. Sebenarnya, bantuan diterima apabila kita gunakan dan uruskan dengan betul ia sangat membantu,” katanya. HM
Dihalau tuan rumah sewa
Baca Artikel Menarik:
- ‘Main belakang’: Mahkamah Rayuan tolak rayuan KJ
- Penceraian Ezurin Khyra tidak dapat diterima peminatnya
- Geng Suami Kelaparan Tunggu Pegang Pinggan, Geng Isteri Ambil Gambar Dulu (Video)
- Ramai bimbang episod beraya di perantauan berulang lagi
- Dividen Tabung Haji 3 peratus?
- Tidak Sangka!!..Wajah Maskulin, Suara ‘Jantan’ Antara Ciri-Ciri Lelaki Sperma Tidak Sihat
- Boleh tahan kebebalan Wan Saiful – Najib
- Individu kesan imej zombi guna Google Maps
- Erin sempat bergelar isteri untuk 2 hari sahaja
- Jaga-Jaga Buat Pesakit Diabetes Yang Perlu Elak 5 Menu Sedap Setiap Sarapan Pagi
- Ketua Pemuda Pas ‘serang’ Zahid
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.