Pegawai MARA lapor polis dakwa difitnah, nafi tuduhan salah guna kuasa

Pegawai MARA lapor polis dakwa difitnah, nafi tuduhan salah guna kuasa

Lima pegawai MARA dikaitkan dengan isu integriti dan salah guna kuasa membabitkan anak syarikat agensi itu, MARA Corporation (MARA Corp) membuat laporan polis mendakwa mereka difitnah.

Laporan itu dibuat mereka secara berasingan di Balai Polis Dang Wangi hari ini.



Semua mereka menafikan terbabit dalam perbuatan salah guna kuasa seperti dilaporkan dalam satu dokumen yang tular di media sosial, sejak kelmarin.

Pegawai terbabit turut mendakwa individu menandatangani dokumen itu melakukan fitnah terhadap mereka.

Menurut laporan Berita Harian, seorang daripada mereka dalam laporannya, turut mendakwa mengesyaki individu menandatangani dokumen itu cuba mengalih perhatian Pengerusi MARA terhadap isu salah guna kuasa yang dilakukannya sendiri.

Dia mendakwa, pegawai MARA Corp mengesan satu isu dalaman membabitkan penanda tangan dokumen itu berkaitan penyalahgunaan kad kredit korporat syarikat.



Katanya, siasatan dijalankan sejak awal tahun lalu mendapati penanda tangan dokumen itu melanggar polisi penggunaan kemudahan dengan menggunakan kad kredit itu untuk aktiviti politik serta peribadi beliau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya, mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Kertas Inkuiri Polis (KEP) dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.

Kelmarin, tular di media sosial satu dokumen berbentuk surat permohonan untuk melakukan siasatan terhadap lima pegawai tinggi MARA.



Pendedahan itu dibuat satu pemilik akaun Twitter menerusi ciapannya, yang turut melampirkan enam surat terbabit berhubung integriti pegawai MARA.

Surat bertarikh 30 Jan didakwa pemilik akaun Twitter terbabit, dihantar oleh Pengerusi Eksekutif MARA Corp, Suhaili Abdul Rahman kepada Pengerusi MARA, Azizah Mohd Dun.

Susulan itu, Azizah dalam kenyataan, kelmarin, menafikan berlaku salah guna kuasa atau urus tadbir dalam agensi berkenaan dan anak syarikatnya, seperti didakwa.

Beliau dipetik sebagai berkata, pihaknya tidak memandang ringan dakwaan itu dan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana individu terbabit dalam salah guna kuasa atau tidak berintegriti.



Katanya, pihaknya juga memandang serius terhadap penyebaran dokumen pentadbiran dalaman kepada pihak awam sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap MARA dan anak syarikat berkaitan.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan, semalam, memaklumkan akan memulakan siasatan berkenaan isu berkenaan esok.

“SPRM memandang serius dakwaan wujud isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan MARA yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi berkenaan.

“Susulan itu, SPRM telah menerima satu aduan berkaitan isu ini dan akan memulakan siasatan pada 7 Feb 2022 dengan mengambil keterangan beberapa saksi daripada MARA Corporation,” katanya. FMT



Pegawai MARA lapor polis dakwa difitnah, nafi tuduhan salah guna kuasa


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Keluarga Pelakon Ezzaty Abdullah Ada Dalam Kereta Api Terbakar Di Kelantan, Dukung Nenek Sekali



Lelaki cedera dibelasah kekasih gelap isteri

Wanita dihimpit lelaki tunjuk kemaluan ketika menunggang motosikal [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker