PRN Johor: Bukan sahaja guna logo berbeza, pengumuman calon juga ikut parti masing-masing

SHAH ALAM – Di sebalik kejutan DAP mengumumkan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor paling awal tanpa kehadiran rakan koalisi Pakatan Harapan (PH) iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Jumaat, Pengerusi PH Johor, Amirolhuda Hassan mengenepikan sebarang spekulasi liar mengenainya.

Amirolhuda yang juga Pengerusi Amanah Johor menegaskan langkah DAP, PKR dan Amanah membuat pengumuman calon PRN Johor bagi parti masing-masing secara berasingan adalah bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PRN Johor.

Jelas beliau, PH Johor tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan sekiranya koalisi itu berkumpul ramai-ramai bagi tujuan mengumumkan calon PRN Johor secara serentak untuk keseluruhan 56 DUN kelak.

“Kalau kita hendak kumpul ramai-ramai semata-mata untuk umumkan semua calon PH secara serentak bagi keseluruhan 56 DUN, ia akan timbul masalah dari sudut pematuhan SOP PRN Johor.

“Yalah kerajaan kata perlu adakan pilihan raya, tetapi parti-parti terpaksa terikat dengan pematuhan SOP PRN yang ketat. Jadi langkah mengadakan majlis pengumuman calon dalam bentuk kumpulan kecil terpaksa dilakukan pada saat kita berdepan pandemik Covid-19,” katanya pada Sabtu.

Pada Jumaat, PH mengambil langkah berani mengumumkan calon PRN Johor lebih awal dan secara berperingkat berbanding parti-parti lain, dimulai dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh pada Jumaat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, inisiatif mengumumkan calon PH bagi DUN Paloh iaitu penyandang kerusi itu, Sheikh Umar Bagharib Ali juga merupakan salah satu strategi PH bagi mengukuhkan koalisi itu di kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, persoalan timbul terhadap keutuhan koalisi PH yang dianggotai Amanah, DAP dan PKR susulan majlis pengumuman calon DAP bagi DUN Paloh itu tidak dihadiri oleh sebarang kepimpinan daripada Amanah dan PKR.

Mengulas lanjut, Amirolhuda turut menegaskan langkah itu dianggap satu keputusan bijaksana dengan sekurang-kurangnya setiap pengumuman calon oleh parti-parti dalam PH secara berasingan akan lebih diraikan oleh ahli-ahli parti masing-masing.

Paling penting, beliau menegaskan setiap majlis pengumuman calon PRN Johor itu akan dihadiri oleh kepimpinan tertinggi PH bagi setiap parti.

“Daripada kumpul ramai-ramai, lebih baik kita benarkan setiap parti umum calon masing-masing.

“Paling penting, kepimpinan tertinggi PH bagi setiap parti akan turun dan membantu mengetengahkan calon-calon kita kepada rakyat. Itu paling mustahak.

“(Meskipun tidak hadir) Parti-parti lain dalam PH akan sentiasa menyokong keputusan pencalonan dibuat. Bahkan hari ini (Sabtu), Amanah juga akan membuat majlis pengumuman calon PRN secara berasingan bagi Parlimen Kluang, tiada isu berbangkit,” katanya.

Ditanya mengapa pengumuman calon PRN Johor terawal dibuat DAP bagi koalisi PH, Amirolhuda menjelaskan ia sebagai penghormatan kepada DAP yang menang lebih banyak kerusi DUN Johor berbanding parti lain dalam PH pada PRU14.

“Kalau parti itu (DAP) mula umum calon mereka lambat, kebimbangan proses memperkenalkan calon-calon mereka kepada rakyat akan jadi lebih lambat,” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Ketua Penerangan PH Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali mendedahkan proses perbincangan PH dengan Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) bagi mewujudkan kerjasama menghadapi PRN Johor kini menunjukkan petanda positif.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan muktamad antara PH-Muda belum dicapai dengan beberapa perkara termasuk keperluan PH ‘mengorbankan’ beberapa kerusi DUN untuk ditandingi Muda masih dalam perbincangan.

“Sepatutnya bila selesai berbincang dengan Muda, maka kita kena ada ‘realignment (penyelarasan)’ semula agihan kerusi pilihan raya untuk dikorbankan kepada parti itu.

“Pastinya setiap parti dalam PH perlu mengorbankan kerusi masing-masing kepada Muda, namun jumlah kerusi akan terlibat masih dalam perbincangan,” ujarnya.

Sheikh Umar juga mengesahkan berlaku beberapa pertukaran kerusi pilihan raya di antara parti-parti dalam PH bagi menghadapi PRN Johor.

Berdasarkan pengumuman Presiden Amanah, Mohamad Sabu sebelum ini, jawatankuasa perundingan kerusi pilihan raya PH Johor bersepakat untuk memberikan Amanah dan PKR bertanding 20 kerusi DUN, manakala DAP bertanding pada 16 kerusi DUN pada PRN Johor.

“Ya, pertukaran kerusi pilihan raya antara parti-parti dalam PH memang berlaku. Tetapi angka pertukaran itu biarlah diumumkan kepimpinan tertinggi PH Johor sendiri,” katanya.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Keluarga Pelakon Ezzaty Abdullah Ada Dalam Kereta Api Terbakar Di Kelantan, Dukung Nenek Sekali

Lelaki cedera dibelasah kekasih gelap isteri

Wanita dihimpit lelaki tunjuk kemaluan ketika menunggang motosikal [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker