Ahmad Zahid tiba di Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tiba di Mahkamah Tinggi di sini bagi mendengar keputusan 47 pertuduhan melibatkan kesalahan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Beliau yang berpakaian sut dan kemeja biru muda dilihat tiba pada pukul 9.02 pagi menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire.

Beliau tiba diiringi beberapa penyokong dan pegawainya, bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak memberikan sebarang kenyataan sebaliknya, hanya melambaikan tangan kepada petugas media serta meluru masuk ke dalam mahkamah.

Anak beliau, Nurul Hidayah Ahmad Zahid tiba lebih awal sebagai tanda sokongan terhadap ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Ahmad Zahid, 68, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Tertuduh didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd, sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. -UTUSAN ONLINE


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kronologi Kes Perceraian Shila Amzah & Suami Yang Mengejutkan Orang Ramai

Nora Danish dituduh lakukan syirik

Berarak macam ‘lembu bodoh’ Menyusahkan orang lain – Diva AA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker