Angkara Pagar Rumah Rupanya Mengundang Sengsara
Angkara Pagar Rumah Rupanya Mengundang Sengsara
Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail
Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Pahang
Sepanjang 11 tahun terlibat dalam bidang pengubatan Islam, boleh dikatakan hampir 60-70 peratus pesakit yang saya temui ada membuat pagar pendinding, sama ada di rumah mahupun di premis perniagaan. Ada yang menanam tahi besi, jarum, paku, batang kayu, bertih, jagung di empat penjuru.
Ada yang menabur beras kunyit di keliling rumah, menanam telur angsa yang dicucuk paku ke dalam pasu, menggantung lada kering dan kuda laut di muka pintu, meletak duit 1 sen di atas alang pintu, mengikat kain atau benang tiga warna di setiap tingkap dan pelbagai lagi cara dan bahan.
Apabila ditanya tujuan berbuat demikian, mereka menyatakan ia salah satu ikhtiar untuk menghalang kemasukan jin, syaitan, hantu, iblis dan lain-lain makhlus halus yang sewaktu dengannya. Ia juga didakwa mampu menghalang perbuatan khianat orang-orang yang dengki kepada mereka.
Tetapi, tahukah bahawa antara punca gangguan misteri adalah akibat perbuatan memagar rumah dan premis dengan cara yang bertentangan dengan apa yang diajarkan dalam Islam. Berdasarkan pengalaman, ada sebahagian pesakit mengadu penyakitnya makin bertambah berat setelah rumah mereka dipagar.
Ada juga yang memberitahu terdapat kelibat lembaga di dalam rumah. Ada juga isi rumah yang sentiasa bergaduh apabila berada di rumah, katanya rumah terasa panas. Jika sembuh, mungkin ia sementara. Musibah yang datang selepas itu lebih berat daripada yang sebelumnya.
Siapa Yang Menjadi Penjaga Rumah Anda?
Apabila kediaman atau premis anda dipagar, anda perlu menjawab satu soalan mudah. Siapakah sebenarnya yang menjaga rumah anda itu? Ada responden yang mendakwa, rumahnya dijaga oleh malaikat. Buktinya, kepingan besi yang dipaku di tiang seri rumahnya tertulis nama empat malaikat iaitu Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail. Benarkah dakwaan dan kepercayaan itu?
Allah telah menegaskan, malaikat hanya takut kepada-Nya dan hanya patuh kepada perintah-Nya sebagaimana dalam surah An-Nahl: 49-50,
”Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, daripada makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat, sedang mereka (malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadah dan sujud kepada-Nya). Mereka takut kepada Tuhan mereka yang mengatasi mereka (dengan kekuasaan-Nya), serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan oleh-Nya.”
Kedatangan malaikat yang membawa rahmat tidak perlu dengan cara membuat pagar atau pendinding yang tidak diajar dalam Islam. Cukup dengan cara kita mendekatkan diri kepada Allah melalui ibadah dan zikir, pasti akan mengundang kedatangan para malaikat rahmat.
Imam Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda,
“Sesungguhnya Allah Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah. Para malaikat selalu mengelilingi bumi. Para malaikat sentiasa memerhatikan majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malaikat naik ke langit.”
Adakah Jin Islam Menjaga Rumah Anda?
Ada juga yang mendakwa penjaga rumahnya adalah jin Islam dan juga rijalul ghaib. Memang tidak dinafikan, ada sebahagian rumah yang menjadi kediaman jin berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Ubaid,
“Pada setiap rumah kaum Muslimin ada jin Islam yang tinggal di atapnya. Setiap kali makanan diletakkan, maka mereka turun dan makan bersama penghuni rumah.”
Namun begitu, itu bukanlah perkara yang dituntut. Bahkan, jika ada jin yang mendiami rumah kita, maka Rasulullah s.a.w. perintahkan agar kita minta mereka keluar daripada rumah. Sabda Rasulullah s.a.w,
“Sesungguhnya di Madinah ini ada jin yang Islam. Sekiranya kamu melihat mereka (di rumah kamu), maka berilah amaran selama tiga hari. Sekiranya dia masih berada selepas ini (selepas tiga hari), bunuhlah dia kerana itu adalah syaitan.” HR Muslim
Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah memberi panduan kepada kita agar memberi amaran kepada jin yang datang ke rumah kita supaya keluar, walaupun jin itu jin Islam. Mereka boleh melihat kita sedangkan kita tidak boleh melihat mereka.
Kita tidak tahu apakah yang mereka lakukan dalam kediaman kita. Yang lebih membimbangkan ialah sekiranya jin tersebut jin kafir yang jahat. Justeru, perbuatan memagar rumah dengan meletak makhluk halus atas nama khadam atau penjaga rumah berlawanan dengan apa yang Nabi s.a.w tunjukkan.
Pandangan Islam Terhadap Amalan Memagar Rumah
Perbuatan memagar rumah atau membuat pendinding dengan menanam, menampal atau menggantung sesuatu seperti azimat, tangkal dan wafaq di dalam premis dengan kepercayaan bahawa ia akan menjaga dan memelihara keselamatan penghuninya adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam.
Terdapat dalil yang jelas berkenaan larangan ini. Antaranya, hadis yang diriwayatkan oleh Uqbah bin Amir al-Juhaniyy, Rasulullah s.a.w. telah didatangi oleh sepuluh orang lelaki. Maka Rasulullah s.a.w. membai’ahkan sembilan daripad mereka manakala seorang lagi ditahan. Mereka bertanya,
“Wahai Rasulullah, tuan membai’ahkan sembilan dan menahan seorang?” Jawab Baginda s.a.w:
“Ada tangkal pada lelaki itu.” Lelaki itu lantas memotong tangkalnya, maka dibai’ahkan dia oleh Rasulullah s.a.w. seraya bersabda,
“Sesiapa yang mengantungkan tangkal, sesungguhnya dia telah menyekutukan Allah.”
Perbuatan memagar rumah ini juga sebenarnya akan menyebabkan rumah dan kediaman kita lebih mudah untuk dimasuki oleh jin dan syaitan yang jahat. Fakta ini boleh disimpulkan berdasarkan kisah Rasulullah s.a.w yang ternampak gelang tembaga yang dipakai seorang lelaki di lengannya.
Lelaki itu mendakwa ia tangkal untuk menguatkan tubuh. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda:
“Buanglah segera, kerana ia hanya menambah kelemahan pada tubuhmu. Maka sesungguhnya jika engkau mati sedang engkau masih memakai tangkal itu nescaya engkau tidak akan mendapat kebahagiaan selama-lamanya.”
Justeru, perbuatan memagar rumah dengan cara yang bertentangan dengan Islam akan menyebabkan rumah kita semakin terdedah kepada ancaman jin dan syaitan. Wallahu a’lam. Utv
Angkara Pagar Rumah Rupanya Mengundang Sengsara
Baca Artikel Menarik :
- SOP Tahun Baru Cina 2022 dikeluarkan
- Cop Parkir, Macam Bapak Dia Punya (Video)
- Jangan nafikan kesan mudarat selepas dos penggalak – Mufti Perlis
- Najib kecewa MIT pilih Indonesia bukan Malaysia
- Lelaki trauma digoda empat pondan
- Awas keladi kayangan beracun
- Adegan ranjang Jasmine Suraya, itu bukan saya tapi Angel
- Empat Sekeluarga Diserang Gajah Naik Minyak Nyaris Maut [VIDEO]
- Pakai baju saiz XL ke sekolah kerana kesilapan ayah
- Shuk risau isteri semakin cantik selepas tinggal berasingan
- Salji turun di Gurun Sahara
Layari Laman Facebook MYKMU</a
You must be logged in to post a comment.