Petronas capai kadar vaksinasi Covid-19 99.7 peratus



KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah mencapai kadar vaksinasi Covid-19 sebanyak 99.7 peratus untuk lebih 41,000 pekerja yang berkhidmat dengan kumpulan syarikatnya di Malaysia.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas Farehana Hanapiah berkata, kadar vaksinasi yang tinggi itu, setakat Januari 2022, atas langkah agresif yang diambil untuk menjaga kesihatan dan keselamatan serta kerjasama dan kesediaan pekerja selain mereka yang berkhidmat dalam industri serta keluarga dan tanggungan mereka.

“Keutamaan kami dari awal ialah memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja supaya operasi perniagaan kami dapat terus berjalan dengan selamat dan cekap dalam rantaian nilai serta bekalan bahan api dan tenaga kepada pelanggan kami dan semua rakyat Malaysia tidak terganggu.

“Ini penting supaya perniagaan, aktiviti ekonomi, perkhidmatan penting dan kehidupan harian dapat diteruskan dengan kurang atau tiada gangguan.

“Antara cara ke arah ini ialah memastikan pekerja kami mendapat perlindungan sebanyak mungkin daripada bermulanya pandemik dan mempercepatkan vaksinasi mereka sebaik sahaja vaksin boleh didapati untuk tenaga kerja industri,” katanya ketika dihubungi Bernama.




Susulan pelaksanaan program vaksinasi di Malaysia pada Februari 2021, Petronas, di bawah program imunisasi perkongsian awam-swasta pada Jun 2021, mengoperasikan pusat vaksinasi pertama (PPVIN) untuk industri minyak dan gas di Pengerang, Johor.

Ini diikuti lima lagi PPVIN yang sama, dibuka secara berturut-turut, iaitu di Bintulu dan Miri, Sarawak, di Kuala Terengganu dan Kertih di Terengganu dan di Sungai Udang, Melaka.

Secara keseluruhannya, lebih 30,000 orang telah mendapat vaksinasi di enam PPVIN. Ini termasuk lebih 9,000 pekerja Petronas manakala baki penerima vaksin adalah pekerja industri minyak dan gas, tanggungan mereka dan sebahagian ahli masyarakat.

“Kejayaan operasi semua PPVIN untuk industri minyak dan gas adalah hasil kerjasama besar-besaran antara Petronas dan banyak pihak termasuk pihak berkuasa kesihatan persekutuan dan negeri, rakan kongsi kami, kontraktor dan penyedia perkhidmatan,” katanya.

Selain PPVIN, Petronas turut melancarkan program capaian imunisasi luar pesisir yang menyaksikan lebih 2,000 pekerja luar pesisir dan kru di Sarawak, Sabah dan Labuan telah menerima suntikan vaksin.




Selain itu, Petronas bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri di Selangor, Perak, Kedah dan Perlis untuk menyumbang dan memudahkan suntikan vaksin kepada lebih 5,500 pekerja dan kontraktor serta keluarga dan tanggungan mereka.

Pada masa sama, pekerja digalakkan untuk mendapatkan suntikan vaksin di bawah program imunisasi kebangsaan.

Semua pekerja diberi cuti khas sehingga dua hari untuk setiap kunjungan bagi vaksinasi dan sehingga satu hari untuk menemani anak atau tanggungan mereka bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Pekerja juga boleh menuntut elaun perjalanan dan makan jika mereka melakukan perjalanan ke luar sesebuah negeri untuk vaksinasi.

“Pada asasnya, kami berusaha untuk memudahkan semua pekerja menerima vaksinasi mereka. Sehingga Januari 2022, sebanyak 41,654 pekerja di Malaysia telah mendapat vaksinasi sepenuhnya.




“Bagaimanapun, kami turut kehilangan 42 daripada pekerja dan kontraktor kami akibat Covid-19. Di peringkat antarabangsa, 22 kakitangan yang menjalankan operasi kami meninggal dunia akibat virus itu.

“Tumpuan kami kini termasuk menggalakkan semua pekerja dan kontraktor yang layak untuk mendapatkan suntikan penggalak Covid-19 untuk memberikan mereka tahap perlindungan yang lebih baik terhadap virus itu, terutamanya dengan kemunculan varian baharu.

“Ini penting untuk memastikan kita semua dalam industri dan negara selamat,” katanya. – Bernama

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:




Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Smart TAG, Touch ‘n Go lebih digemari pengguna

Blue Tears Kuala Selangor, Penemuan Luar Biasa



Leave a Reply

Your email address will not be published.