Walau apa pun yang berlaku, reputasi dah rosak…
PADA firasat Belalang, Tan Sri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dihimpit oleh pelbagai persoalan yang masih menjadi teka-teki seluruh rakyat Malaysia yang dahagakan kebenaran dan ketelusan.
Bukan beliau sahaja yang berhadapan dengan kontroversi malah Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan SriAbu Zahar Ujangturut terpalit apabila beliau dikatakan cuba mempertahankan Azam dengan mengenepikan tiga saranan yang dibuat oleh enam lagi anggota lembaga penasihat.
Nampaknya lepas satu, muncul satu lagi isu.
Yang pasti cuma satu, walau apa pun yang berlaku, reputasi dah tercemar dan satu-satunya jalan terhormat ialah untuk kedua-dua mereka melepaskan jawatan tanpa lengah lagi.
Ini kerana jawapan yang mereka berdua berikan tempoh hari bukan sahaja tidak memuaskan malah menimbulkan lagi pelbagai persoalan dan tanda tanya.
Selagi semua ini tidak terjawab atau masih timbul rasa sangsi dan seribu satu pertanyaan, selagi itulah mereka akan diasak dan terus ditanya.
Jangan kata rakyat biasa, Belalang pun mahukan kepastian dan kebenaran terjawab.
Ada seorang penganalisa jenayah dilaporkan berkata, apa salahnya seorang abang meminjamkan akaun urus niaga saham kepada adiknya sama seperti meminjamkan kereta.
Ramai yang menempelak perumpamaan yang dibuatnya itu. Mana boleh situasi yang melibatkan Azam Baki dan adiknya itu disamakan dengan situasi meminjam kereta.
Ini kerana, urusan transaksi pembelian dan penjualan saham dikawalselia oleh regulator tertentu. Ada syarat dan ada kawalan-kawalan tertentu yang wajib dipatuhi mengikut undang-undang sedangkan meminjamkan kereta tidak memerlukan semua itu.
Ada yang berhujah kenapa perlu adik Azam Baki menggunakan akaun abangnya. Jika dia seorang usahawan yang mampu membeli berjuta-juta unit saham, apakah dia tidak mampu untuk membuka akaunnya sendiri.
Dan Azam sendiri, sebagai seorang penguatkuasa undang-undang, apakah beliau tidak tahu dan sedar yang tindak-tanduknya itu di kemudian hari boleh menimbulkan fitnah, syak wasangka dan prasangka buruk jika diketahui ramai?
Ini kerana beliau adalah seorang penjawat awam yang berpangkat tinggi dan menerajui sebuah institusi yang berkaitan rapat dengan soal integriti, amanah, bersih dan jujur.
Belalang pasti siapa pun tidak kisah jika yang menjual beli saham ini adalah Syed Mokhtar Al-Bukhari atau mana-mana taikun kerana mereka adalah orang berniaga.
Tetapi jika yang membeli dan menjual saham bernilai berjuta-juta ringgit itu dikaitkan dengan seorang penjawat awam, apatah lagi menggunakan akaun atas namanya sendiri, sudah tentulah akan timbul syak wasangka yang bukan-bukan dari mana datangnya wang sebanyak itu.
Walaupun dalam kes Azam Baki ini, sudah dinyatakan yang membeli dan menjual saham-saham itu adalah adiknya sendiri tetapi apabila beliau membenarkan akaunnya digunakan untuk urus niaga tersebut beliau telah mengambil risiko yang amat besar mendedahkan dirinya kepada kontroversi seperti sedang dialaminya sekarang.
Tidakkah ini semua telah menghancurkan reputasi, imej dan integritinya sebagai seorang penjawat awam dan institusi yang diterajuinya.
Selepas ini, jika sekalipun beliau berada di pihak yang benar, beliau secara tidak semena-mena mengheret reputasi SPRM ke kancah kontroversi tidak sepatutnya.
Selepas ini, siapa nak percaya kepada SPRM lagi? Sebaliknya SPRM akan menjadi bahan jenaka ramai malahan sekarang ni pun saban hari orang membuat jenaka dan mentertawakan SPRM di media sosial. Kita baca pun sedih.
Sebab itulah pentingnya mengapa seorang penjawat awam menjaga perbuatan, tindak tanduk dan perilaku mereka.
Jika mereka cuai, abai dan mengambil ringan akan perkara-perkara tersebut maka inilah jadinya.
Seperkara lagi yang Belalang sendiri tidak setuju dengan kata-kata Azam Baki dalam sidang akhbarnya baru-baru ini ialah beliau hanya bertanggungjawab kepada Lembaga Penasihat SPRM sahaja.
Pada sudut pandangan Belalang, Azam Baki lebih bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia dan para pembayar cukai kerana beliau berkhidmat untuk rakyat dan gaji beliau sebahagiannya adalah dibayar oleh pembayar cukai.
Belalang – Tidak pernah tak bayar cukai…
Baca Artikel Menarik:
- Azam ‘sembang’ dulu cakap sokong pemberi maklumat – C4
- Banjir: E-rebat RM500 bantu mangsa banjir beli peralatan elektrik
- Caj RM600 sekali servis, 6 pelajar Afrika melacur ditahan
- Adik guna akaun Azam: Ini bukan akaun Shopee – Fahmi
- Keladi emas 916 sama harga Honda Civic
- Anya kena kecam bercium dengab Reza
- Sharnaaz risau, Emma pula obses
- Ameera Khan dikecam jual kek batik
- Maut Angkara Buat Pusingan U Mengejut
- Khalid jangan sibuk tanah orang
- Wanita letak ikan mati dalam peti surat bekas teman lelaki setiap hari
Layari Laman Facebook MYKMU.NET