Kementerian Kewangan mulakan jelajah Konsultasi Belanjawan 2021

Kementerian Kewangan hari ini memulakan jelajah konsultasi Belanjawan 2021 di Melaka sebagai negeri pertama bagi mendapatkan pandangan dan mendengar masalah dihadapi pelbagai peringkat masyarakat, persatuan dan industri khususnya yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata inisiatif itu bertujuan memastikan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 Nov depan meliputi empat tema utama yang diberi tumpuan selain mengurangkan kesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik tersebut.

“Saya berharap menerusi kaedah konsultansi ini kita mendapat pandangan daripada pelbagai pihak sebelum Belanjawan 2021 dibentangkan dan ini adalah kali pertama konsultasi bajet dilakukan bermula dengan negeri kerana sebelum ini ia bermula di Kementerian Kewangan dan Melaka ialah negeri pertama.

“Saya rasa ini adalah masa terbaik kita turun padang melakukan jelajah konsultasi kerana kita dapat mendengar masalah yang dihadapi rakyat, pihak industri dan persatuan dan kita akan sedaya-upaya mengkaji cadangan yang dikemukakan,” katanya pada sidang akhbar selepas pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali, di sini, hari ini.

Belanjawan 2021 merentasi empat tema utama iaitu mengambil peduli terhadap rakyat, memacu ekonomi, kehidupan yang mampan serta menambahbaik penyampaian perkhidmatan awam.

Terdahulu, beliau melakukan lawatan kerja ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Jalan Hang Tuah di sini dan menghadiri pertemuan dengan wakil industri pelancongan perubatan negeri.

Tengku Zafrul berkata cadangan atau pandangan yang diperoleh daripada jelajah konsultasi yang dijangka berakhir pada Oktober depan akan dikemukakan kepada kementerian berkaitan bagi tindakan selanjutnya.

Mengulas lanjut tentang jelajah konsultasi Belanjawan 2021 di Melaka, beliau berkata industri pelancongan negeri itu adalah antara yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19 dan kerajaan persekutuan akan membantu kerajaan negeri dan pemain industri membangunkan semula sektor tersebut menerusi Belanjawan 2021 selain menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan sebelum ini.

Sementara itu, beliau berkata Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka merekodkan purata bulanan kehadiran pengunjung sekitar 157,000 orang pada tahun lepas manakala hanya 42,000 purata bulanan pengunjung direkodkan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

“Pengurangan ketara kehadiran pengunjung ke UTC Melaka itu disebabkan penutupan sementara pusat berkenaan disebabkan PKP namun jumlah kehadiran pengunjung pada bulan Jun ialah sebanyak 22,672 orang.

“Kehadiran pengunjung dijangka meningkat secara berperingkat dalam beberapa bulan akan datang bagi mendapatkan perkhidmatan kerajaan,” katanya. BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker