Penduduk Kg Pulau Tiga kecewa, dakwa MB Kedah lepas tangan

Penduduk Kg Pulau Tiga kecewa, dakwa MB Kedah lepas tangan

Penduduk Kampung Pulau Tiga di Sungai Petani kecewa dengan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Mereka mendakwa Sanusi melepaskan tangan dalam insiden pengusiran penduduk dari 30 buah rumah di kampung tersebut.

Dua wakil penduduk berkata bahawa menteri besar sebagai ketua kerajaan perlu bertanggungjawab kepada isu melibatkan rakyatnya.

“Kami dikejutkan dengan berita pengusiran sebanyak 30 buah rumah di Kampung Pulau Tiga, Sungai Petani, Kedah.

“Malah, apa yang paling mengecewakan pengusiran ini dilakukan di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang dikuasai oleh parti yang mendakwa merekalah membela agama Islam dan orang Melayu.

“Walaupun kami amat memahami akan konsep pengasingan kuasa sebagaimana yang dinyatakan oleh MB Sanusi, tetapi sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab kepada rakyatnya,” kata Farid Maulud dan Nor Miswary Ramli pada satu kenyataan hari ini.

Semalam, penduduk dari 30 buah rumah dari Kampung Pulau Tiga diusir keluar oleh pemilik tanah.

Baru-baru ini, pemilik tanah swasta itu telah mendapatkan perintah mahkamah mengarahkan penghuninya mengosongkan tanah itu dengan segera.

Susulan itu, Sanusi berkata dia telah meminta pegawai daerah Kuala Muda mencari lokasi tanah kerajaan yang bersesuaian untuk membantu penduduk dari 30 buah rumah itu berpindah.

“Apabila mahkamah tinggi sudah membuat penghakiman, kerajaan tidak boleh lagi campur tangan kerana konsep pengasingan kuasa dalam sistem kita tidak membenarkan perkara itu.

“Dato pegawai daerah dan pegawai-pegawai Pejabat Tanah Kuala Muda sedang berikhtiar. Saya berharap mereka dapat menemukan apa yang kita perlukan untuk membantu selesaikan masalah ini.

“Sementara proses ini dapat diselesaikan, penduduk perlu berikhtiar sendiri mencari rumah sewa atau penempatan sementara yang ada di sekitar mereka,” katanya pada kenyataan media.

Pada 29 Oktober 2019, Mahkamah Tinggi Alor Setar membuat penghakiman bahawa tanah geran NO SP 1642, Portion 3, Mukim Sungai Petani, Daerah Kuala Muda, Kedah milik pihak swasta tersebut.

Mahkamah itu juga dalam notis bertarikh 19 Disember 2021 memberikan tempoh sehingga 3 Jan 2022 kepada penghuninya untuk mengosongkan tanah tersebut.

Pun begitu, wakil penduduk berpendapat isu berkenaan dapat diselesaikan sekiranya Sanusi campur tangan lebih awal.

“MB Sanusi wajar mengambil pendekatan yang jauh lebih bijak dan tindakan awal dengan mengadakan perbincangan dengan para penduduk bersama Pegawai Daerah bagi mengelakkan kes ini berpanjangan dan berakhir di Mahkamah.

“Perbincangan melibatkan kedua-dua pihak wajar dipermudah cara oleh MB Sanusi sekiranya benar mahu mencari jalan penyelesaian untuk rakyat yang dalam kesusahan.

“Jika MB Sanusi telah meminta pegawai daerah untuk mencari lokasi tanah kerajaan yang bersesuaian untuk membantu penduduk mendirikan rumah tempat berteduh, di manakah rumah-rumah tersebut hari ini,” soal mereka.

Wakil penduduk itu juga berkata tidak masuk akal untuk Sanusi membiarkan penduduk terpaksa berikhtiar mencari rumah sewa sendiri tanpa sebarang bantuan daripada Kerajaan Negeri.

Mereka juga menggesa Sanusi menyediakan bantuan kewangan kepada mereka untuk mendapatkan rumah sewa sementara atau sekurang-kurangnya sebuah penempatan sementara sebagai ihsan dan rasa tanggungjawab sebuah kerajaan negeri yang prihatin kepada rakyatnya. Mk

Penduduk Kg Pulau Tiga kecewa, dakwa MB Kedah lepas tangan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Azad tanya KJ, beli peranti digital dekat Shopee ke?

Rita Rudaini pertahan KJ mengenai dos keempat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker