Raja Dadah Malaysia dikesan bersembunyi di negara jiran

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti lokasi persembunyian seorang ‘Kingpin’ (Raja Dadah) warga Malaysia yang disyaki menjadi dalang terbesar kegiatan pengedaran dadah di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, lelaki yang berasal dari utara tanah air itu kini dilaporkan berada di sebuah negara di Asia Tenggara.

“Kita sudah mendapatkan kerjasama Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan kedudukan persembunyiannya dan kita juga menggunakan elemen penguatkuasaan narkotik secara bekerjasama erat dengan beberapa negara seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura, New Zealand dan Australia.

“Individu terbabit dikatakan melarikan diri ke luar negara sebaik menyedari polis mengeluarkan waran tangkap dan sedang memburunya selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas sejumlah besar dadah yang cuba diseludup ke luar negara menerusi Pelabuhan Klang, Selangor.

“Suspek juga disyaki terlibat dengan kegiatan penggubahan wang haram atau ‘cuci wang’ itu juga berselindung di sebalik perniagaan yang sah di negara ini seperti bidang perhotelan, pelancongan, perkapalan dan logistik,” ujarnya ketika sidang akhbar berkenaan kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Kompleks Narkotik, Pulapol di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini perniagaan yang dijalankan individu berkenaan termasuk kuncu-kuncunya di negara ini sudah disita pihak berkuasa.

Jelas beliau, kebanyakan ‘Kingpin’ menjadikan Malaysia sebagai transit untuk mengedar dadah ke luar negara apabila kes-kes rampasan dadah di Australia dan New Zealand mengesahkan dadah terbabit diseludup dari negara ini.

Dalam perkembangan sama, Razarudin menjelaskan, sebanyak 279 sindiket dadah berjaya ditumpaskan sepanjang tahun ini sehingga 30 November lalu membabitkan jumlah tangkapan 1,147 individu.

“Daripada 279 sindiket berkenaan, majoritinya merupakan ‘Kingpin’ yang terlibat dalam pengedaran dadah dalam negara khususnya kepada penagih tempatan dan juga menyeludup barang tersebut ke luar negara,” ujarnya. – K! ONLINE

Raja Dadah dikesan bersembunyi di negara jiran


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Aliff Syukri mohon maaf bimbang umur tidak panjang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker