Banjir adalah ‘hadiah’ dari Allah

Beberapa lokasi utama di Malaysia dikejutkan dengan bencana banjir yang turut meragut beberapa nyawa serta mengakibatkan kerugian dan kemusnahan harta benda.

Walau bagaimanapun sebenarnya segala ujian seumpama banjir adalah satu ‘hadiah’ daripada Allah buat hamba-hamba-Nya.

BANJIR BESAR NABI NUH



Al-Quran menerangkan kepada kita peristiwa banjir besar yang menenggelamkan kaum Nabi Nuh a.s lantaran keengganan mereka beriman dengan Allah SWT.

Nabi Nuh a.s menyeru kaumnya selama 950 tahun agar mengakui keesaan Allah selaku satu-satunya tuhan. Namun kesungguhan baginda yang sangat luar biasa ini tidak diendahkan oleh kaum baginda. Hanya sedikit sahaja yang beriman sepanjang 950 tahun tersebut.

Akhirnya Allah Yang Maha Adil lagi Maha Perkasa menghancurkan mereka yang tidak beriman dengan banjir yang sangat dahsyat yang menenggelamkan mereka semua kecuali yang beriman dengan Nabi Nuh a.s.

Rasulullah SAW yang sangat kasih kepada umat baginda pernah memohon kepada Allah SWT agar tidak menghancurkan seluruh umat baginda dengan mati lemas sebagaimana yang berlaku kepada umat Nabi Nuh. Demikian juga Firaun dan bala tenteranya yang mati lemas di dalam laut. Lalu Allah makbulkan permohonan baginda.



Imam Muslim meriwayatkan kisah permohonan doa baginda ini berdasarkan riwayat Saidina Sa’d bin Abu Waqqas bahawa sesungguhnya Nabi SAW telah tiba pada satu siang daripada kawasan yang dikenali dengan nama al-‘Aliyah sehingga apabila melalui masjid Bani Mu’awiyah, baginda masuk lalu mendirikan solat dua rakaat dalam masjid tersebut. Para sahabat baginda turut melaksanakan solat bersama-sama baginda.

Baginda telah berdoa kepada Allah dengan doa yang panjang. Kemudian baginda telah beredar kepada para sahabat baginda lalu baginda telah bersabda: “Saya telah meminta tuhan saya akan tiga (permintaan) lalu Dia telah memberikan kepada saya dua (permintaan) dan Dia telah menghalang saya akan satu (permintaan).

Saya telah meminta tuhan saya agar Dia tidak menghancurkan umat saya dengan kemarau lalu Dia telah memberikan saya akannya. Saya telah meminta-Nya agar Dia tidak menghancurkan umat saya dengan lemas lalu Dia telah memberikan saya akannya. Saya telah meminta-Nya agar Dia tidak menjadikan peperangan mereka (berlaku) sesama mereka lalu Dia telah menghalang saya daripadanya”.

Berdasarkan hadis ini, kita sangat yakin sekalipun ada umat Islam yang meninggal dunia akibat mati lemas, Allah tidak akan menghancurkan keseluruhan umat Islam dengan mati lemas sama sekali.



LEMAS MATI SYAHID

Orang Islam yang meninggal dunia kerana lemas adalah orang yang dipilih oleh Allah SWT untuk dianugerahkan kematian yang mulia. Mereka adalah orang yang dianggap sebagai mati syahid sekalipun jenazah mereka tidak diuruskan seperti jenazah para tentera Islam yang meninggal dunia di medan perang.

Ini dirakam daripada Abu Hurairah bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Para syuhada adalah lima (golongan): orang yang (meninggal dunia kerana) terkena taun (iaitu penyakit berjangkit), orang yang (meninggal dunia kerana) penyakit di dalam badannya, orang yang lemas, orang yang (meninggal dunia kerana) dihempap oleh runtuhan dan orang yang syahid di jalan Allah”. (Riwayat Muslim)

ANGKAT DARJAT



Ujian adalah hadiah sangat bermakna buat seorang hamba di sisi Allah. Sekalipun secara zahirnya dia menerima kekangan dan tekanan namun dia sebenarnya sedang diangkat darjat kedudukannya di sisi Allah.

Dalam sebuah hadis daripada Saidina Abu Sa’id al-Khudri dan daripada Saidina Abu Hurairah, daripada Nabi SAW, baginda telah bersabda: “Tidak akan menimpa seorang lelaki muslim [apa sahaja] daripada kepenatan, tidak (juga akan menimpanya daripada) penyakit, tidak (juga daripada) kerunsingan (disebabkan musibah yang bakal berlaku), tidak (juga daripada) kesedihan (disebabkan musibah yang telah berlaku), tidak (juga daripada) kemudaratan (yang dilakukan oleh orang lain) dan tidak (juga daripada) kesempitan jiwa sehinggakan duri yang dia ditusuk dengannya pun melainkan Allah telah menutupi disebabkan musibah-musibah itu (akan kesilapan) daripada kesilapan-kesilapannya (yang lalu)”. (Riwayat Bukhari)

Menurut al-Imam Ibnu Hajar al-‘Asqolaniyy di dalam Fath al-Bari; hadis ini menunjukkan orang yang ditimpa ujian akan diganjari oleh Allah SWT disebabkan ujian itu tidak kira sama ada dia reda dengan ujian tersebut atau tidak. Sekiranya dia reda atas ujian yang melandanya, dia akan diganjari lagi dengan pahala kesabaran.

Al-Imam al-Tirmidzi meriwayatkan hadis yang menunjukkan bahawa golongan yang paling berat menerima ujian Allah adalah para nabi dan rasul. Sekalipun mereka sama sekali tidak melakukan dosa dan kesalahan, ujian tetap dianugerahkan kepada mereka demi untuk meninggikan lagi kedudukan mereka dek kerana kesabaran mereka menerima ketentuan Allah SWT.



Daripada Mus’ab bin Sa’d, daripada bapa beliau, beliau berkata: Saya telah berkata: “Wahai Rasulullah. Mana satukah manusia yang paling dahsyat sekali ditimpa ujian”? Baginda telah bersabda: “Para Nabi. Kemudian orang yang paling menyerupai (para nabi) lalu (yang seterusnya pula adalah) orang yang paling menyerupai (orang yang paling menyerupai para nabi). Maka seorang lelaki akan diuji berdasarkan (kekuatan) agamanya. Lalu sekiranya agamanya adalah keras, nescaya ujiannya telah menjadi berat.

Sekiranya tipis yang wujud di dalam agamanya, nescaya dia telah diuji berdasarkan (hal keadaan) agamanya. Maka ujian akan berterusan (bersama) dengan seorang hamba lelaki sehinggalah ujian meninggalkannya berjalan di atas bumi dalam keadaan sudah tidak ada lagi di atas hamba lelaki tersebut sebarang kesalahan”. (Riwayat Tirmidzi)

Maka semakin kuat seseorang berpegang dengan agamanya, semakin kuatlah ujian ke atasnya yang akan menerbitkan kesabaran serta keredaan yang semestinya akan mengangkat lagi kedudukannya di sisi Allah.

MUHASABAH



Banjir yang melanda negara perlu dijadikan ruang untuk kita sama-sama menginsafi dan berubah kepada yang lebih baik. Mungkin banjir besar yang sangat mengejutkan ini adalah satu teguran daripada Allah atas kesilapan kita semua dalam mengatur negara, masyarakat, keluarga dan peribadi.

Tidak dapat dinafikan masih banyak maksiat yang berleluasa di peringkat negara mahupun individu yang perlu untuk diubah atas dasar ketakwaan kepada Allah.

Ingatlah sabda Nabi SAW bahawa Saidatina Zaynab binti Jahsh iaitu salah seorang isteri Rasulullah SAW pernah bertanya kepada baginda: “Adakah kami akan hancur binasa sedangkan orang-orang soleh ada bersama kami”? Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Ya, apabila keburukan telah banyak”. (Riwayat Bukhari)

  • PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Banjir adalah ‘hadiah’ dari Allah


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Shila Amzah mangsa keganasan rumahtangga?

Damian pertahan tindakannya sambut Krismas

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker