Penyewa mahu pindah, pemilik mahu jual rumah


Gambar dari kiri: Hamzar Razali, Fadilla Nasir, Faraliza Lias, Muhammad Kadapi
Gambar dari kiri: Hamzar Razali, Fadilla Nasir, Faraliza Lias, Muhammad Kadapi

Penyewa mahu pindah, pemilik mahu jual rumah

Penyewa kediaman di sekitar Lembah Klang yang terjejas banjir baru-baru ini berhasrat untuk mencari rumah sewa di kawasan lain kerana bimbang bencana sama berulang pada masa hadapan.

Seorang penyewa rumah teres dua tingkat di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, Muhammad Kadapi Bernad, 41, berkata, pengalaman hampir lemas ketika mahu memindahkan anak dan isteri ketika banjir baru-baru ini merupakan pengalaman buruk yang tidak mungkin dilupakan.



Menurutnya, kerosakan harta benda dianggarkan kira-kira RM8,000 tidak termasuk dua buah kenderaannya yang tenggelam dalam banjir, sekali gus satu bebanan yang sangat berat untuk ditanggung.

“Perancangan untuk mencari kawasan lebih selamat itu memang saya sedang usahakan dan tuan rumah pun sudah dimaklumkan. Isteri saya pun sudah beritahu yang dia tidak mahu menghadapi bencana seperti ini lagi pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Selasa.

Seorang suri rumah di Pangsapuri Perdana Seksyen 13, Fadilla Nasir, 58, mengakui sedang merancang untuk berpindah kerana tidak mahu menanggung kerugian harta benda.

Menurutnya, kawasan tersebut memang sering dinaiki air namun bencana yang berlaku pada kali ini adalah paling buruk pernah dihadapinya sepanjang menetap di situ sejak 20 tahun lalu.



“Saya sudah tidak mahu menyewa di sini sebab sudah serik. Sudah dua kali banjir masuk ke dalam rumah dan ini yang paling teruk,” katanya.

Sementara itu, Faraliza Lias, 37, berkata, dia turut memutuskan untuk berpindah ke kawasan lain kerana berasa tidak selamat untuk tinggal kawasan berkenaan.

Pengajar Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Sungai Buloh itu berkata, dia amat yakin kejadian banjir besar akan berulang selepas ini termasuk di kawasan rumahnya.

“Kawasan ini sangat berpotensi untuk dilanda banjir. Setiap kali hujan, banjir kilat berlaku dan kawasan depan rumah saya akan dipenuhi dengan air.



“Sekarang ini, banjir masuk dalam rumah, sebab itu saya rasa macam tidak selamat untuk terus tinggal di sini,” katanya.

Bagaimanapun, seorang peniaga, Hamzar Razali, 27, berkata, dia tiada pilihan dan kekal menetap di situ walaupun bimbang akan keselamatan keluarga terutama anaknya jika kejadian banjir besar berlaku lagi.

“Sudah tentu saya bimbang jika bencana macam ini jadi lagi sebab saya ada anak kecil yang baru berusia 8 bulan.

“Tetapi saya tiada pilihan. Harapan saya masalah banjir di kawasan ini dapat diselesaikan dengan segera supaya penduduk tidak lagi kerugian,” katanya.



SUKAR JUAL RUMAH

Sementara itu, penduduk di beberapa kawasan perumahan terlibat banjir di sini menjangkakan nilai hartanah di tempat tersebut akan merosot disebabkan oleh bencana besar yang berlaku baru-baru ini.

Seorang penduduk di Taman Sri Muda, di sini, Jayabalan Paniappan, 66, berkata, pembeli pastinya akan berfikir dua kali untuk membeli rumah di kawasan yang sudah terlibat dengan banjir dan tragedi itu mungkin berulang setiap 10 atau 20 tahun sekali.

Dia yang sudah menetap di situ selama 36 tahun berkata, disebabkan banjir besar itu, pembeli yang baru hendak mula mencari rumah juga dijangka tidak menjadikan perumahan tersebut sebagai pilihan untuk mereka tinggal.



“Sekarang kalau nak jual rumah saya ini RM50,000 pun, saya rasa orang susah nak beli, sebab orang dah tahu banjir. Jadi dah tidak ada nilai,” katanya.

Dalam pada itu, Arivalagan Gopal, 58, berkata, banjir buruk yang berlaku baru-baru ini sememangnya akan menurunkan nilai hartanah di kawasan tersebut.

Pada masa sama, dia turut memaklumkan bahawa adalah agak sukar untuk penduduk sepertinya mengambil langkah berpindah dari kawasan berkenaan memandangkan ia melibatkan kos yang agak tinggi.

“Kalau kita jual rumah ini pun, mana dapat nak tampung untuk beli rumah baharu dan saya pun dah tua. Dulu kita kerja beli rumah di sini untuk kita duduk sampai kita tua,” katanya.



Pada masa sama, dia yang telah menetap selama 15 tahun di kawasan tersebut turut mengakui bahawa pengalaman mengalami banjir besar sebanyak dua kali dengan yang pertama pada 1995 sememangnya membuatkan dia sebenarnya mahu berpindah keluar daripada kawasan tersebut.

Dalam pada itu, Muhammad Arif Ridhwan Md Rozali yang telah menetap selama 15 tahun di Taman Sri Muda berkata, nilai hartanah dan sewaan di kawasan tersebut sememangnya dijangka merosot disebabkan oleh bencana tersebut.

Tambahnya, meskipun banjir besar seperti yang berlaku baru-baru ini adalah yang kali pertama berlaku dalam sejarah kawasan tersebut, namun perumahan itu sememangnya sering kali berhadapan dengan banjir walaupun pada skala yang sederhana. Sinar

Penyewa mahu pindah, pemilik mahu jual rumah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Ibu Puteri Balqis tampil pertahankan anaknya

Nabila Huda berang dengan akak yang digelarnya bangsat

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker