Nilai hartanah kawasan banjir dijangka menyusut

Nilai hartanah di kawasan yang dilanda banjir dijangka terkesan, termasuk penurunan nilai sehingga 30 peratus membabitkan hartanah berharga lebih RM500,000 dalam tempoh setahun ke tiga tahun.

Namun, hartanah yang bernilai di bawah RM500,000 dijangka akan menyusut pada kadar minimum.

Ketua Pegawai Eksekutif ALIY Group of Companies, Datuk Mohd Ali Abdul Majis bagaimanapun menegaskan, bukan semua kawasan yang pernah dilanda banjir akan mengalami penurunan nilai, sebagaimana yang berlaku di Kelantan dan Terengganu.

“Untuk jangka masa pendek, orang akan rasa takut untuk membeli rumah yang ada sejarah banjir. Tapi, berdasarkan kejadian banjir yang berlaku sekarang ini, bukan semua kawasan yang dinaiki air ini pernah mengalami banjir.

“Bagi kawasan yang bukan biasa banjir, akan alami kesan jangka pendek iaitu orang akan takut dan mula berfikir sama ada untuk terus menetap di sana atau tidak, tapi selepas enam bulan ke setahun, ia akan cepat pulih.

“Walaupun ada yang akan berpindah, golongan yang akan datang selepas kesan jangka pendek ini akan ada kerana tak banyak rumah teres mampu milik di kawasan permintaan tinggi seperti kawasan perindustrian, kawasan banyak pekerjaan dan universiti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Jelasnya, berbanding kawasan pembangunan baharu, harga rumah lebih mahal iaitu kira-kira RM1 juta di bandar Shah Alam dan antara RM600,000 ke RM800,000 di luar bandar Shah Alam.

Justeru, kawasan yang mempunyai banyak perumahan lama dan berharga di bawah RM500,000 seperti di Sri Muda, Seksyen 19, Seksyen 23, 25 dan 27 di Shah Alam masih akan menjadi pilihan terutamanya bagi golongan B40 dan M40.

Sementara itu, pakar dalam bidang pelaburan hartanah, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, faktor bencana alam seperti tanah runtuh, banjir dan tanah jerlus merupakan antara indikator yang dinilai dalam menentukan susut nilai hartanah di sesuatu kawasan.

Namun jelasnya, turun naik sesuatu hartanah itu turut bergantung kepada lokasi kawasan berkenaan.

Mengambil contoh kawasan yang berkepadatan tinggi terutamanya di bandar besar, permintaan sewa masih lagi kekal namun daripada segi transaksi jual beli, orang akan ambil ia sebagai indikasi untuk penilaian.

“Saya percaya, orang masih perlukan rumah sewa untuk duduk, namun untuk transaksi jual beli, mungkin orang akan mula mempertimbangkan kawasan yang lebih baik dan selamat kerana hartanah bukan macam beli kereta.

“Kesan tetap ada tetapi orang akan lebih berhati-hati dan orang akan ‘marking’ kawasan itu sebagai kawasan yang pernah dilanda banjir.

“Tapi, jika dibuat perbandingan, Kelantan adalah antara negeri yang dilanda banjir setiap tahun tapi hartanah di Kelantan masih tetap tinggi, begitu juga di Terengganu.

“Jadi, selain faktor banjir, kadang-kadang faktor setempat seperti macam orang Kelantan ni, walau macam mana sekalipun, dia tetap nak balik dan menetap di Kelantan. Dia tahu akan berlaku banjir tapi dia akan buat rumah yang tinggi sedikit,” katanya.

Beliau berkata, kawasan TTDI Jaya di Shah Alam pada tahun 1990-an pernah mengalami banjir.

Bagaimanapun, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuat keputusan yang tepat dengan memperbesarkan kawasan tadahan hujan, menyebabkan kawasan itu agak lama tidak mengalami banjir.

“Jadi, seperti kawasan Sri Muda dan Seksyen 25 di Shah Alam, jika MBSA ambil tindakan yang komprehensif, mungkin sekali ini sahaja kawasan itu mengalami banjir. Apabila sungai didalamkan, kawasan tadahan hujan yang baharu ditambah, mungkin tidak akan berlaku banjir lagi.

“Nilai hartanah boleh meningkat balik kerana tiada sesuatu yang kekal. Saya yakin, terutamanya penempatan di kawasan bandar yang diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan yang sistematik, tindakan pencegahan akan dilakukan dengan cepat.

“Sebagaimana di Kuala Lumpur, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil tindakan cepat membuat Terowong SMART (Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir). Tindakan itu banyak menyelamatkan faktor harta benda,” ujar beliau.

Nilai hartanah kawasan banjir dijangka menyusut


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bodohnya pemimpin ultra kiasu pertikai ‘PM tak hadir’ acara Krismas

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker