Semaian takwa melalui makanan dan pendidikan

Sebaran :

Semaian takwa melalui makanan dan pendidikan

oleh Suria Saad

Makanan dan pendidikan dua perkara utama yang berperanan penting dalam pertumbuhan diri seorang manusia. Manusia memerlukan makanan untuk meneruskan kehidupan dengan baik. Begitu juga manusia memerlukan ilmu melalui pendidikan bagi memastikan perkembangan akal dan dirinya berada pada tahap lebih baik.

Pemilihan makanan kadangkala hanya dibuat berpandukan faktor umum berkaitan cita rasa juga selera. Begitu juga dalam pemilihan pendidikan yang kadangkala dibuat berpandukan tujuan mendapatkan ilmu demi meraih peluang pekerjaan dan kehidupan dunia yang baik semata-mata. Meskipun pilihan terhadap cita rasa bagi makanan dan peluang pekerjaan bagi pendidikan bukanlah perkara ditegah dalam Islam, namun perlu difahami ada perkara lebih penting untuk diberikan pertimbangan awal berkaitan pemilihan makanan serta pendidikan khusus setiap Muslim.



Islam menetapkan syarat dan peraturan dalam semua perkara demi memelihara kemaslahatan seluruh umatnya. Bagi memastikan setiap Muslim terpelihara daripada kemudaratan makanan, Islam memberikan panduan jelas berkaitan perkara ini. Allah berfirman dalam Surah al- Maidah ayat 88 yang bermaksud: “Dan makanlah daripada rezeki diberikan Allah kepada kamu iaitu yang halal lagi baik dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman.”

Allah juga berfirman yang bermaksud: “Oleh itu, makanlah (wahai orang beriman) daripada apa dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda halal lagi baik serta bersyukurlah akan nikmat Allah jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.” (Surah an- Nahl: 114)

Ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita perintah agar memastikan hanya makanan yang halal dan baik sahaja perlu menjadi pilihan kepada kita semua sebagai orang beriman kepada Allah .

Saban hari kita berdepan dengan pelbagai pilihan dalam kehidupan. Namun sebagai agama yang sempurna, Islam memberikan kita petunjuk dalam memastikan setiap pilihan dilakukan dalam apa sahaja urusan benar-benar terpandu mengikut kehendak syarak.



Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara kedua-duanya terdapat perkara syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh ramai orang maka siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah maka akan terjerumus dalam perkara diharamkan.” Hadis Riwayat Tirmizi

Hadis ini memberikan kita gambaran yang jelas tentang sandaran kita dalam melakukan pilihan sama ada berkaitan pilihan makanan atau lainnya.

Jika makanan yang halal dan baik menjadi perkara penting kepada kita dalam usaha menjaga kesihatan jasad maka penjagaan terhadap makanan bagi akal serta roh lebih utama kerana dengannya manusia akan memiliki fikiran dan jiwa yang baik serta mampu memandunya mengenal Allah seterusnya mampu melaksanakan perintah serta menjauhi larangan-Nya dengan sebaik-baiknya.

Pendidikan dan ilmu adalah sumber makanan utama bagi akal serta roh. Pendidikan yang baik dan benar sangat berperanan dalam membentuk sahsiah manusia menepati tujuan penciptaannya. Allah mewahyukan kepada Rasulullah SAW perintah pertama iaitu: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).” Surah al- Alaq: 1



Wahyu pertama ini menjelaskan kepada kita kepentingan ilmu disandarkan kepada Allah sebagai Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk juga dan mengajarkan manusia perkara tidak diketahuinya.

Maka perlu difahami bahawa asas pendidikan seseorang Muslim adalah ilmu yang membawa kepada pengetahuannya berkaitan Tuhannya. Rentetan ayat daripada Surah al-Alaq juga menjelaskan berkaitan sifat manusia yang ingkar sebagai panduan kepada kita. Juga perintah menjauhi mereka yang ingkar dan berusaha mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan amal soleh.

Keseluruhan larangan dan perintah ini tidak akan mampu difahami apatah lagi dilaksanakan oleh manusia tanpa memiliki ilmu agama yang secukupnya. Justeru, berada dalam pendidikan Islam yang berterusan adalah keperluan kepada umat Islam sebagai langkah selamat dan usaha memastikan segala perintah Allah dapat dilaksanakan dan segala tegahan-Nya mampu ditinggalkan demi meraih reda Allah dan syurganya. HM

Penulis Pegawai Jabatan Penyelidikan, Institut Imam Ahmad Ibn Idris, Kolej Islam As Sofa

Semaian takwa melalui makanan dan pendidikan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Aktor Taiwan beri RM302,000 kepada pembantu rumah

Ibu saksi anak dirogol bekas suami di depan mata


Sebaran :

Leave a Reply

Your email address will not be published.