Selangor bagai dibadai tsunami

SHAH ALAM: Seperti dibadai ‘tsunami’. Begitulah kesan banjir luar biasa yang melanda Selangor apabila air di tiga sungai utama negeri itu iaitu Sungai Selangor, Sungai Klang dan Su­ngai Langat melimpah sehingga menenggelamkan hampir semua penempatan di sembilan daerahnya.

Kesan banjir sejak Jumaat itu menyebabkan ri­buan rumah, kenderaan dan kilang-kilang ter­utama di Taman Sri Muda di Shah Alam ma­sih ditenggelami air sehingga semalam.

Menyedihkan lagi apabila agensi penyelamat di kawasan itu belum habis memindahkan penduduk dengan ada antara mereka mendakwa sudah menahan kelaparan berada di atas bumbung rumah selama dua hari.

Situasi sama turut menimpa penduduk di Hulu Langat apabila sebahagian besar mangsa banjir juga terpaksa menyelamatkan diri di atas bumbung rumah sementara menunggu bantuan.

Setakat semalam, banjir di Selangor dilaporkan telah meragut tujuh nyawa dan angka tersebut diramal bertambah selepas usaha menyelamat masih dilakukan.

Banjir di Selangor, berlaku apa­bila Sungai Langat dalam daerah Kuala Langat melimpah ke kawasan kediaman di Jenja­rom, Banting dan Telok Panglima Garang pada Jumaat lalu.

Pada hari sama, banjir terus meluas sehingga ke Klang apabila sungai di situ melimpah ke kawasan kediaman penduduk terutama di Pelabuhan Klang, Meru dan Kapar.

Banjir di Selangor semakin buruk apabila Sepang dan disusuli Hulu Langat turut dinaiki air secara mendadak
Setakat semalam, Selangor terus mencatatkan jumlah mang­sa tertinggi iaitu 32,044 individu dipindahkan ke 162 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) daripada lapan negeri yang sedang dilanda banjir ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di Twitternya semalam memaklumkan banjir di negeri itu melibatkan daerah Petaling, Klang, Sepang, Kuala Langat, Hulu Langat, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Gombak.

Klang mencatatkan angka tertinggi mangsa banjir dipindahkan iaitu 18,858 ke 30 PPS dengan menyaksikan Pelabuhan Klang kritikal pada hari pertama hujan lebat Sabtu lalu.

Bagaimanapun, semalam keadaan di tujuh daerah bertambah baik dengan cuaca semakin cerah kecuali Kuala Selangor dan Hulu Selangor.
Banyak kawasan yang sebelum ini tidak dapat dilalui mula dibuka seperti beberapa jalan memasuki Shah Alam seperti di Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA) berhampiran Seksyen 23 dan 24 serta Seksyen 13 berdekatan Stadium Shah Alam.Kesan daripada banjir tersebut, ratusan kenderaan tersadai di tepi jalan manakala pemilik rumah yang dibenar kembali masing-masing sibuk membersihkan rumah.

Banjir tersebut turut menjejaskan kawasan perindustrian di Taman Perindustrian Axis yang menempatkan puluhan kilang. Malah ratusan kedai serta sebuah pasar raya terkenal di Jalan Ria, Makmur, Mewah dan Damai dinaiki air sedalam lebih tiga meter.

Tinjauan Utusan Malaysia di Taman Sri Muda malam tadi menyaksikan kawasan berkenaan diibaratkan seperti ‘hendak kiamat’ apabila suasana gelap serta ribuan orang awam dilihat panik.Beberapa mangsa, ketika tiba di kawasan selamat dengan menaiki bot penyelamat, masing-masing kelihatan takut, sejuk dan lapar dengan raut wajah yang jelas menunjukkan rasa terkejut kerana tidak pernah menghadapi situasi terbabit.

Lebih menjadikan keadaan lebih tidak terurus apabila selain ahli keluarga dan jiran yang terpisah, kawasan berkenaan terputus bekalan elektrik menyebabkan kesukaran untuk berhubung akibat liputan telekomunikasi yang berkurang.

Di PAHANG, kesan banjir dilaporkan telah meragut enam nyawa. Dilaporkan mangsa-mangsa tersebut dihanyutkan air deras dalam kejadian banjir di negeri itu, dengan lapan daripadanya dipercayai melibatkan dua kejadian kepala air di Bentong dan Telemong.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ismail Abdul Ghani berkata, sehingga petang semalam ramai 32,682 mangsa di sembilan daerah telah ditempatkan di PPS di seluruh negeri.

Dalam pada itu, Laluan di Kilometer KM126 Karak-Temerloh sehingga pukul 3 petang semalam masih ditutup di kedua-dua hala.

Di KELANTAN, cuaca baik di kebanyakan tempat semalam baik namun bah tidak banyak berubah dengan 34 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan di seluruh negeri bagi menempatkan 3,388 mangsa.

Menurut aplikasi InfoBencanaJKM, jajahan Pasir Mas merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1,416 mangsa banjir diikuti Kuala Krai 1,106 mangsa, Gua Musang 765 mangsa dan Tanah Merah 101 mangsa.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir turut meningkat kepada 264 orang daripada 73 keluarga di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 242 orang daripada 65 keluarga pada pukul 8 pagi semalam.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Hilir Perak berkata, mangsa banjir yang berada di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib dekat Jalan Changkat Jong kekal 140 orang daripada 35 keluarga.- UTUSAN

Selangor bagai dibadai tsunami


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Tahanan wanita dakwa dipaksa lakukan oral seks di balai polis

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker