Warisan bukan boneka Mahathir, kata setiausaha agungnya


Warisan mungkin bersetuju dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam banyak perkara tetapi parti itu percaya jalan ke hadapan bagi Malaysia adalah melalui model Warisan iaitu ‘keharmonian bersama’.

Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua Jr menolak dakwaan bahawa presiden parti itu, Mohd Shafie Apdal dipergunakan oleh Mahathir.

“Hubungan baik antara keduanya tidak bermaksud Warisan dikawal oleh bekas perdana menteri.



“Shafie berada dalam Umno selama lebih daripada 30 tahun dan sebagai bekas pemimpin tertinggi parti itu dan bekas menteri di pelbagai kementerian persekutuan yang telah menunjukkan prestasi yang baik, kredibiliti dan komitmennya mungkin telah mendapat kepercayaan dari Mahathir, lebih-lebih lagi ketika dia (Shafie) menolak untuk bekerja sama dengan kleptokrat atau kerajaan pintu belakang.

“Tetapi ini tidak bermaksud Warisan dikawal oleh Tun Mahathir – sementara Warisan bersetuju dengan negarawan itu dan Pakatan Harapan mengenai banyak isu di Malaysia seperti rasuah, kleptokrasi dan ketelusan, Warisan percaya bahawa negara ini hanya boleh menjadi Harimau Asia sekali lagi jika Malaysia menggunakan model Warisan iaitu ‘kehormonian bersama’, “kata Loretto dalam satu kenyataan hari ini.

Dia berkata model berkenaan adalah salah satu sebab mengapa Singapura menjadi kuasa besar ekonomi global.

Malah Presiden Indonesia Joko Widodo juga menggunakan model yang sama, tambahnya.



Loretto sekali lagi menegaskan komitmen parti itu untuk membina semula ekonomi Malaysia melalui agenda perpaduan.

Katanya, walaupun ramai mengatakan mustahil, dia yakin ramai rakyat Malaysia menerima kepelbagaian.

“Menjalin hubungan antara etnik dan agama yang lebih baik di Malaysia mungkin merupakan tugas yang sukar bagi sesetengah orang tetapi saya percaya bahawa, sebagai parti dari Sabah, sebuah negeri yang terkenal dengan toleransi, Warisan dapat melakukannya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan memberi amaran bahawa malapetaka ekonomi akan berlaku sekiranya Perikatan Nasional (PN) terus mentadbir negara ini.



“Masa depan Malaysia tidak terletak di tangan PN, Muafakat Nasional atau Gabungan Rakyat Sabah – terletak di tangan pengundi muda kita yang perlu mencari pekerjaan dan seterusnya membayar pinjaman, bil, cukai, duti dan juga saman dan kompaun mereka,” kata Ahmad Hassan.

Katanya, dengan semakin ramai golongan belia bakal menamatkan persekolahan dan pendidikan tinggi, mereka harus segera mencari pekerjaan.

Namun dengan cara PN mentadbir negara sekarang, mereka mungkin menghadapi kesulitan kerana kadar pengangguran juga meningkat, katanya. Mk



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker