Abang Jo tak tamak

MASUK ke satu soalan, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), TAN SRI ABANG JOHARI TUN OPENG nampak ‘terkesan’ di wajahnya.
Menarik nafas seketika, beliau mengimbas keperitan terpaksa ditanggung rakyat Sarawak dari pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan. Kisahnya pasal hutang. Tapi bahananya ditanggung penduduk luar bandar.
Ada waktu nadanya serius. Ada ketika berseloroh menjawab tanggapan ‘larikan diri, takut Undi18 dan majoriti dua pertiga’ diajukan kami, wartawan Mingguan Malaysia ZULKIFLI JALIL dan OMAR ZIN.
Dalam pertemuan eksklusif 35 minit Rabu lalu yang turut dihadiri jurugambar, IQBAL ROSLI di Pejabat Ketua Menteri, Bangunan Dewan Undangan Negeri, Petra Jaya, Kuching itu, Abang Johari, 71, berterus terang banyak perkara. Ikuti pengamatan beliau terhadap cabaran GPS di ambang pengundian pilihan raya negeri Sarawak, Sabtu, 18 Disember ini.

Kerenah PH, bayar RM1 bilion
MINGGUAN MALAYSIA: Pakatan Harapan (PH) dikatakan banyak membatalkan projek-projek di Sarawak, benarkah?
Abang Johari: Banyak. Pada masa 22 bulan apabila Barisan Nasional (BN) kalah dan bertukar kerajaan, banyak projek kita yang telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dibatalkan oleh PH. Antaranya jambatan. Jalan coastal highway kita dibatalkan, beberapa sekolah daif juga dikata tidak cukup dana.
Jadi, saya kata ini adalah persetujuan kita dengan Kerajaan Pusat yang telah dilulus hendaklah dilaksanakan. Tetapi menteri kewangan ketika itu mengatakan Sarawak masih berhutang dengan Kerajaan Pusat. Tapi hutang kita itu state debt yang ada scheduled loan yang banyak. Dia kata bayar dulu, jadi saya bayar RM1 bilion tidak mengikut scheduled loan, jadi, saya advanced payment lah. Tetapi itu pun lambat dilaksanakan…sekolah daif, kerana sekolah itu penting, untuk anak kampung.
Dan dia datang ke sini, dia ikut bajet saya kerana sebab PH, saya gunakan dana kita mengikut model sayalah. Dan dia kata Sarawak akan bankrap dalam masa tiga tahun sebab bajet saya RM10 bilion setahun. Tapi saya ada modeling saya, saya tubuhkan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS). Kami ada cara untuk membiayai projek, jadi kalau projek batal, saya lanjutkan.
Inilah masalah kita dengan PH, tapi memang mungkin disengajakan. Banyak sekolah daif di luar bandar, macam di Daro, saya buat untuk gunakan biayai dana Sarawak, itulah masalah kita.
Menteri kewangan dia nampak banyak masalah tapi saya kata if that is the case never mindlah kita perlu teruskan dengan kehendak rakyat di luar bandar.

Adakah hutang jadi alasan PH batal projek?
Saya tak tahu apa alasan dia. Dia kata kalau hendakkan, Sarawak masih berhutang dengan kerajaan Pusat. Memanglah, kan kita ada perlembagaan, ada tanggungjawab kerajaan Pusat untuk membantu dan oleh sebab itu saya bayar advanced payment, hutang RM1 bilion.
Tetapi pelaksanaan tak nampak juga dalam masa 22 bulan. Dilambat-lambatkan, sengaja atau tak sengaja? Tak tahulah, itulah keadaannya.

4G rendah
Boleh rumuskan inisiatif GPS di Sarawak?
Yang penting bekalan api, bekalan air di luar bandar. Kita bekerjasama dengan Kementerian Luar Bandar tapi pelaksanaannya terlalu lambatlah.
Sebab itu kerajaan negeri mencukupkan dana untuk membiayai bekalan elektrik dan air di luar bandar termasuk apa yang kita sebut sebagai pendekatan Sares iaitu guna solar untuk rumah panjang dan kawasan kampung di luar bandar.
Air pula kita ada pendekatan dinamakan Sawas. Lebih kurang RM4 bilion untuk menaik taraf air di luar bandar, elektrik adalah RM2 bilion dan ini dilaksanakan sejak 2017 hingga sekarang. Ada yang sudah selesai hampir 50 peratus. Kita teruskan tapi dana sudah ada. Sebab itu banyak kawasan luar bandar termasuk rumah panjang boleh mempunyai 24 jam bekalan elektrik.
Yang penting jalan raya dan jambatan yang dibatalkan kita teruskan. Itu total jalan kira-kira 1,000 km dari selatan ke utara menyeberangi banyak sungai. Yang itu mahal, jadi kita buat inisiatif infrastruktur.
Ketiga, kita tubuhkan Sarawak Multimedia Authority dan kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM). Kita peruntukan RM1 bilion untuk menara. Tetapi apa yang kita perlukan adalah syarikat telekomunikasi yang boleh masuk di lapangan kerana kalau syarikat telekomunikasi kita, dia tak untung sebab pasaran tak besar. Jadi, apa yang kita buat, kita ada Sarawak Digital Economic Corporation (SDEC) untuk membantu.
Masalah kita adalah bentuk muka bumi. Signal tidak ada alignment jadi kita terpaksa mencari alignment yang betul. Insya-Allah sudah nampak tempat tak ada internet itu ada internet tetapi belum 100 peratus lagi disebabkan bentuk muka bumi, kita perlukan masa. 4G masih rendah dan kita harap Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dapat kerjasama untuk melaksanakan infrastruktur ini. Jadi maknanya ada bekalan air, jalan raya dan digital. Kalau ini selesai, ekonomi kita dapat berjalan dengan baik.
Sebab itu kestabilan politik penting dan kita pun main peranan kita dari sudut GPS. Kita berkehendakkan juga Kerajaan Pusat yang stabil, sebab itu keputusan kita dalam krisis nasional, kita buat keputusan kita.

Calon muda
Adakah GPS beri peluang kepada calon muda?
Ia beransur-ansurlah. Ketika ini GPS perkenalkan muka baharu 24 orang dan juga kita yang muda sekali 31 tahun. Purata GPS lebih kurang antara 40 hingga 50 tahun.
Jadi, saya nampak tiap-tiap pilihan raya kita mesti ada orang muda. Jadi orang muda ini lima tahun kalau dia 31 tahun, jadi 36 tahun. Yang muda dulu dipilih Tok Nan (Allahyarham Tan Sri Adenan Satem) sekarang pun umur dekat 40 tahun, 40 lebih.
Jadi, bermakna ini naik, kita mesti fill the vacuum yang naik itu. Kalau tak ada orang pertengahan kita kenakan orang pengalaman dengan orang muda. Kalau semua muda susah juga. Struktur politik mesti atur dengan baik. Saya pun dulu dari pemuda, saya pertama kali masuk pilihan raya umur 30. Ini penggal saya yang ke-10. Bermakna kita gandingkan muda dengan pengalaman, lepas itu kita pandukan yang muda supaya tidak ada disruption dari sudut pimpinan. Dari dulu lagi, daripada Taib lagi, memang ada.

Takut Undi18?
Adakah GPS alu-alukan Undi18?
Kita sudah pinda perlembagaan Sarawak (Untuk terima pengundi 18 tahun). Ada juga negeri belum, saya tahu beberapa negeri di Semenanjung belum lagi kan? Kita dah pinda.

Jadi, tak bimbang dengan Undi18?
Tidak. Sebab yang ini kita serah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). SPR kata belum lagi bersedia. Dia banyak lagi perundingan perlu dibuat antara agensi dengan SPR terutamanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Ada cleaning up, orang dah meninggal pun masih dalam itu kan.
Orang kata kita takut, tidak. Kerana kita dah pinda awal dan kita juga membantu golongan orang muda ini yang dari institut pengajian tinggi. Dia tahu kerajaan negeri prihatin. Umpamanya cuti balik Sarawak, kita bayar fare, tambang itu kita bantu.
Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kita beri RM30 juta untuk diskaun bantukan bayar PTPTN. Jadi, orang muda tahu apa yang kita buat. Selain itu, kita buka ruang yang berminat dengan politik. Kita asuh masuk dalam parti.

Lari ke Gedong?

Mengapa Tan Sri pindah dari Satok ke Gedong?
Ia diminta oleh masyarakat di sana menerusi wakil rakyat, Datuk Naroden Majais. Dia kata dia beri laluan, dia kata dia mengundur diri. Tapi dia minta saya kalau boleh ditimbangkan ke kawasan luar bandar, sebab pembangunan. Sebab bajet kita 70 peratus rural, jadi katanya dapat membantu kawasan, sebab akan ada coastal road, dari Gedong, Simunjan, Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, Lingga sampailah ke kawasan sana.
Memang saya ada masterplan untuk membangun kawasan-kawasan tersebut. Jadi, dia kata bagus juga saya di sana, saya sudah urban, sembilan penggal saya di urban area, jadi saya kata, if you want. Last minute, dah last-last, okaylah saya decide, tapi dia ikhlas.

Ada yang dakwa Tan Sri lari dari Satok?
Tidak, memanglah kalau orang tengok, dia kata kita lari. Spinner ini banyak.

Apa pelan Tan Sri di Gedong?
Kita buat jalan raya di Gedong, kalau dah siap, akan ambil masa 40 minit ke Samarahan. Petani dapat majukan kawasan, lepas itu bersambung ke Samarahan ke jalan coastal. Kalau dah siap dengan jambatan, Kuching ke Sibu itu dua jam setengah sahaja. Macam Kuala Lumpur ke Ipoh sahaja, dengan lebuhraya, mobiliti itu ada, akses kepada pasaran, senanglah.

Mampukah majoriti dua pertiga?

Apa sasaran Tan Sri pada PRN kali ini?
Selalunya saya tak mahu buat sasaran. Apa yang penting menang dan menang dengan selesa. Kalau menang, mesti menang selesa. Itu sahaja. Kalau dapat 72 kerusi Alhamdulillah, dapat lebih pun Alhamdulillah. Mesti menang selesa supaya kerajaan stabil. Sekurang-kurangnya dua pertiga.

PBB boleh sahaja bentuk kerajaan sendiri, dapat majoriti mudah?
Kita tak mahu begitu. Kita mahu sharing, dari dulu lagi kita share. Share itu penting, kita berbilang kaum, pelbagai agama. Walaupun kita nampak (banyak kerusi)…jangan, kita mesti berkongsi, dari dulu sampai sekarang, dari pemimpin-pemimpin terdahulu lagi, itu konsepnya. Jangan bolot. Kalau bolot itu tamak, orang tamak tak lama, betul tak?

Harapan Tan Sri pada GPS?
Mudah-mudahan pengundi akan terus bersama dengan kita menubuhkan kerajaan yang kuat demi masa depan Sarawak dan kita bekerjasama dengan pihak Kerajaan Persekutuan, ini konsep bersekutu, mudah-mudahanlah.

Cendawan lepas hujan

Mencabarkah laluan GPS dalam PRN ini?
Sembilan kali saya mengharungi pilihan raya. Kadang-kadang Sarawak ini sedap. Kalau ada election, adalah parti itu. Kecil-kecil keluar. Lepas itu habis. Dari dulu. Adalah parti baru keluar. Itu saya cakap macam cendawan lepas hujan. Masa election ada, lepas itu tidak ada. Tidak ada mesyuarat, tidak ada apa. Akan datang election, ada lagi.
Saya dah sembilan penggal, 40 tahun ini, jadi kali ini banyak parti. Parti Sedar, macam-macam parti. Jadi pada hemat saya, pengundi akan pilih parti yang established.
Bukan kerana GPS terlalu yakin, ego?
Kita mesti bekerja kuat. Never take for granted (Jangan ambil mudah).

Ini kali pertama guna lambang kenyalang, tak bimbangkah tidak dikenali?
Memang, tapi kita dah tiga tahun promote. Alhamdulillah, perkara ini sudah diusahakan, kita mahu kerja kuat, no election take for granted, tak boleh.

Hubungan GPS dengan kerajaan Pusat macam mana, okay?
Okay, hanya 22 bulan itu yang bermasalah. Yang lain, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri (Yaakob) tidak ada masalah sebab kita rakan kan. – Mingguan Malaysia.

Abang Jo tak tamak


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kerajaan tidak berdiam diri isu harga barang naik – Ismail

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker