‘Perang’ China ke atas ekonomi Australia

PERBALAHAN antara China dengan Australia semakin meningkat sejak akhir-akhir ini yang melibatkan pelbagai isu ekonomi, pertahanan, teknologi dan yang terbaharu ialah tentang penghantaran para pegawai negara kanggaru itu ke Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing pada tahun depan.

Keputusan itu dibuat sehari selepas Amerika Syarikat mengumumkan memboikot diplomatiknya terhadap sukan tersebut.

Dalam membuat keputusan itu, Perdana Menteri negara berkenaan, Scott Morrison mengulas tentang pelanggaran hak-hak asasi manusia di Xinjiang dan pembekuan Beijing terhadap hubungan antara negara komunis berkenaan dengan Australia.

Lebih dua tahun lalu, Beijing dikatakan melaksanakan sekatan ke atas barang-barang dari Australia ekoran satu perbalahan politik yang melibatkan kontrak kementerian dari negara itu dibekukan oleh China.

Ia menyebabkan hubungan kedua-dua negara berada dalam krisis yang paling serius selepas kejadian pihak berkuasa negara komunis itu melakukan tindakan memerangi para penunjuk perasaan diketuai para pelajar bagi menuntut demokrasi di Dataran Tiananmen, Beijing pada tahun 1989.

China juga dikatakan marah dengan Canberra selepas kesediaan Australia untuk menggubal undang-undang bagi menentang pengaruh operasi dari luar negara dan menghalang syarikat gergasi teknologi negara komunis itu, Huawei daripada mendapatkan kontrak 5G.

Akhbar Sunday Morning Herald pernah melaporkan bahawa Australia merupakan negara pertama di dunia yang akan mengharamkan Huawei daripada terlibat dalam sistem 5Gnya namun China menuntut supaya keputusan tersebut ditarik balik.

 

PEMINDAHAN TEKNOLOGI

Negara kanggaru itu seperti yang diketahui sebelum ini meminta siasatan bebas dilakukan bagi mengetahui asal usul pandemik Covid-19 kerana sebelum ini terdapat dakwaan bahawa sebuah makmal di Wuhan, China menjadi tempat pembocoran virus tersebut

Tambahan pula, sekurang-kurangnya dua rakyat Australlia berketurunan Cina kini ditahan di negara komunis tersebut atas dakwaan melakukan pengintipan.

China mengadakan sekatan terhadap pelbgaai jenis barang Australia termasuk daging lembu. - Foto AFP
China mengadakan sekatan terhadap pelbgaai jenis barang Australia termasuk daging lembu. – Foto AFP

 

Pada bulan November lalu, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison mengumumkan langkah-langkah untuk melindungi berpuluh-puluh teknologi sensitif di negaranya daripada campur tangan pihak asing sekali gus meningkatkan usaha-usaha bagi melindungi keselamatan negara daripada ancaman China dan negara-negara lain.

Australia juga semakin bimbang tentang pemindahan teknologi yang sensitif dari negaranya kepada kuasa ketenteraan asing khususnya China melalui kerjasama yang dibuat atas nama akademik.

Justeru, Canberra juga telah memulakan usaha untuk mengehadkan keupayaan syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan kerajaan China untuk mengendalikan infranstruktur kritikal di Australia.

Namun, keputusan untuk menghalang Huawei daripada menjalankan rangkaian 5G di negara kanggaru itu adalah pemangkin kepada keretakan hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara.

Sebelum itu, barli, arang batu, bijih tembaga, kapas, jerami, balak, undang galah batu, gula, wain, daging lembu, buah sitrus, bijirin, anggur, produk tenusu dan susu formula bayi dari Australia telah dikenakan sekatan oleh China.

 

PERANG SARAF

Menteri Perdagangan Australia, Dan Tehan dilaporkan pernah berkata, China perlu menamatkan pembekuan hubungan dengan ahli-ahli politik kanan negara itu jika ia berharap untuk menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Negara komunis itu membuat permohonan untuk menyertai CPTPP pada September lalu dan sedang melobi untuk mendapatkan konsensus daripada 11 buah negara yang menjadi anggota perjanjian tersebut termasuk Australia.

Selain Australia, anggota lain CPTPP itu ialah Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

China juga pernah mengkritik tindakan negara kanggaru itu yang memutuskan untuk mendapatkan sejumlah kapal selam berkuasa nuklear setelah menyertai pakatan pertahanan baharu dengan Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Bagaimanapun, perang saraf tercetus antara kedua-dua negara apabila Australia menyindir dan menganggap amaran daripada Kuasa Usaha China di negara tersebut, Wang Xining tentang rancangan untuk memilik kapal selam tersebut sebagai ‘sangat bodoh dan lucu’.

Ini adalah kerana Xining menyatakan Canberra tidak lagi menjadi pencinta dan pembela keamanan jika memiliki kapal-kapal selam itu.

Berikutan berlaku satu siri perbalahan itu, seorang diplomat veteran AS, Kurt Campbell baru-baru ini menganggap China telah terlibat dalam perang ekonomi yang sangat dramatik dan ia ditujukan kepada Australia.

Diplomat itu berkata bahawa di bawah Presiden China, Xi Jinping, negara itu telah menjadi lebih tegas, lebih berazam pada dasarnya untuk mengambil langkah yang akan dilihat negara lain sebagai satu bentuk paksaan. – Agensi

‘Perang’ China ke atas ekonomi Australia


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Baik, buruk ayam import

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker