Tak sempat ziarah jenazah ibu: Wanita maut disahkan mengandung

Tak sempat ziarah jenazah ibu: Wanita maut disahkan mengandung

Machang: “Kami sekeluarga berasa tidak sedap hati apabila ‘live location’ Nadia terhenti dan beberapa kali abangnya cuba menghubungi, namun tidak berjawab,” kata Nurul Asiah Yacob, 47.

Nurul Asiah adalah ibu saudara kepada Nadia Fizatul Hanim Zamani, 23, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 74 Jalan Air Sejuk, Setiu, kira-kira jam 7.15 pagi tadi ketika dalam perjalanan menziarahi jenazah ibunya di Pulai Chondong, Machang.

Menurut Asiah, Nadia bersama suaminya, Muhamad Nazirul Rameli, 23, bertolak dari Johor pada jam 6 petang semalam selepas dimaklumkan arwah ibunya, Nurul Ainun Yacob, 45, meninggal dunia kira-kira jam 5.45 petang di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai akibat penyakit buah pinggang tahap empat.

“Bagaimanapun, setibanya di Gambang, Nadia memberitahu mereka singgah berehat di sebuah stesen minyak kerana dia pening disebabkan alahan mengandung sebelum menyambung semula perjalanan. Sepatutnya mereka sampai lebih awal berbanding abangnya yang bergerak pada tengah malam.

“Kira-kira jam 4 pagi ‘live location’ Nadia terhenti dan kami cuba untuk menghubunginya, namun gagal dan akhirnya panggilan itu dijawab oleh individu tidak dikenali dan memaklumkan Nadia bersama suaminya kemalangan.

“Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa Nadia, abang sulungnya Muhammad Danial Hakim Zamani, 24, bergegas ke lokasi kemalangan namun dimaklumkan adiknya itu sudah meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Setiu,” katanya memaklumkan, Nadia yang melangsungkan perkahwinan pada 17 Oktober lalu sedang mengandung tiga minggu.

Katanya, kematian dua beranak berkenaan mengejutkan saudara mara terdekat yang tidak menyangka perjalanan yang pulang menziarahi untuk jenazah ibunya bertukar pilu apabila dia meninggal dunia dalam kemalangan.

“Selepas waktu Subuh tadi, kami memaklumkan kepada penggali kubur supaya menggalikan satu lagi liang lahad dan dan mereka terkejut apabila diberitahu Nadia meninggal dunia dalam kemalangan.

“Sepatutnya jenazah arwah adik dikebumikan selepas solat Zohor, namun pada ketika itu jenazah Nadia sudah dalam perjalanan pulang ke Machang sebaik selesai menjalani bedah siasat di Hospital Setiu dan kami mengambil keputusan untuk menunggu sebelum kedua-dua jenazah disolatkan.

“Alhamdulillah, pengebumian adik dan anak saudara berjalan baik dan mereka dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ajil pada jam 3.15 petang. Kami sekeluarga reda dengan pemergian mereka,” katanya.

Media hari ini melaporkan, hajat seorang anak untuk menziarahi ibunya yang meninggal dunia di kampung halaman di Kelantan tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan jalan raya. HM

Tak sempat ziarah jenazah ibu: Wanita maut disahkan mengandung


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Buli jalan raya rampas beg tangan (Video)

Satu Malaysia kena ‘game’ dengan Tauke

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker