Sistem kuno yang menyusahkan rakyat

Sebaran :

Sistem kuno yang menyusahkan rakyat

Perkhidmatan kaunter pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Taman Daya, Johor Bahru didapati tidak cekap dan mengamalkan sistem kuno yang tidak mesra pelanggan.

Kesimpulan itu dibuat Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang turun melawat secara mengejut dan melihat sendiri keadaan di situ.

Menerusi catatan dalam Facebook hari ini, beliau berkata, keadaan itu memerlukan anjakan paradigma ke arah digitalisasi dalam jangka panjang bagi memastikan semua perkhidmatan kaunter JPJ menjadi lebih cekap dan tidak menyusahkan rakyat.



“Memang saya tidak memaklumkan kepada sesiapa mengenai lawatan pagi ini demi membuat pengesahan laporan rasmi yang diterima daripada pegawai dan kesahihan aduan awam. Maka, saya boleh menilainya sendiri.

“Secara terus-terang, saya sedih dan terkilan melihat orang ramai beratur panjang di sekeliling Bangunan JPJ Johor. Saya terus menyiasat punca yang menyebabkan ‘queue’ (barisan),” katanya.

Berdasarkan maklum balas, Ka Siong dimaklumkan barisan panjang itu berpunca daripada Lesen Memandu Malaysia (LMM) tidak dapat diperbaharui di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan pejabat pos.

Katanya, ada pengguna mempersoalkan sistem MySikap yang transaksi dibuat secara dalam talian, namun masih perlu hadir ke JPJ untuk urusan percetakan.



“Daripada empat mesin cetak LMM yang dibekalkan Percetakan Keselamatan Nasional (PKN), hanya dua mesin berfungsi di Pejabat JPJ Johor ini.

“Ini amat mengecewakan dan saya terus menghubungi serta mengarahkan PKN segera membaiki atau menghantar mesin cetak LMM.

“Jangan buang masa orang ramai beratur panjang dan berjemur di bawah matahari yang terik. Pihak PKN berjanji akan melakukan tindakan serta-merta,” katanya.

Ka Siong turut menegur warga JPJ Johor supaya memantau kesesakan di bangunan itu, terutama pada Ahad, di samping meminta kesulitan dihadapi dilaporkan terus kepadanya.



Memaklumkan sudah memberi nombor telefon bimbitnya kepada pegawai JPJ Johor, beliau berpesan supaya orang awam tidak dibiar menunggu berjam-jam hanya untuk mendapatkan cetakan LMM.

“Saya sudah mengarahkan Ibu Pejabat JPJ mengumpulkan maklumat dari semua cawangan JPJ, UTC dan pejabat pos mengenai prestasi terkini pencetakan LMM dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) menggunakan mesin cetak dibekalkan oleh PKN.

“Selepas lawatan kerja mengejut, saya membuat kesimpulan sistem perkhidmatan kaunter JPJ sedia ada terlalu kuno (lebih 10 tahun).

“Saya akan cuba mengimbangi jurang di antara perancangan JPJ dan aspirasi rakyat. Apa yang penting, perkhidmatan yang diberikan perlulah sentiasa baik, lancar, menjimatkan masa dan memenuhi kehendak orang ramai,” katanya.

Sementara itu, dalam kemas kini terbaru jam 6 petang tadi, Ka Siong berkata, PKN mengambil tindakan segera atas tegurannya dan menghantar pasukan teknikal untuk membaik pulih serta menambah mesin cetakan LMM. BH

Sistem kuno yang menyusahkan rakyat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Buli jalan raya rampas beg tangan (Video)

Satu Malaysia kena ‘game’ dengan Tauke


Sebaran :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *